Print Friendly, PDF & Email

Al-Quran menjelaskan bahawa Adam adalah manusia pertama diciptakan Tuhan. Tidak berapa lama kemudian, Tuhan menciptakan pasangan hidupnya, iaitu Hawa. Membaca kisah al-Quran ini, kadangkala saya terfikir, bagaimana komunikasi bahasa yang digunakan oleh Adam dan Hawa ketika itu. Apakah mereka sekadar menggunakan bahasa isyarat, atau mereka menggunakan ungkapan kata, atau bagaimana?

Kepuasan berbahasa

Saya berpendapat, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, iaitu, satu pihak mahu menyampaikan sesuatu maklumat kepada pihak yang lain. Tetapi, dalam komunikasi tersebut, terdapat kepuasan dalam mengungkapkan kata. Pendapat saya ini berasaskan kepada beberapa pengalaman:

Pertama, suatu hari itu, seorang teman bertanya terjemahan Melayu bagi maksud perkataan “idealisme”. Andai diterjemah sebagai pemikiran, ia bukan tidak benar, tetapi dirasakan maksudnya tidak capai kepuasannya. Andai dimaksudkan sebagai fikrah, juga membawa masalah yang sama. Tiba-tiba, seorang rakan saya yang lain menyebut bahawa Dr Syed Hussin al-Attas pernah menyatakan bahawa terjemahan Melayu bagi kalimah “idealisma” itu adalah “citra sempurna”, saya mula merasakan kepuasan dalam memahami terjemahan tersebut.

Kedua, walaupun saya berpendidikan dari negara Arab, tetapi semasa saya bercinta dengan seorang gadis Arab yang juga mampu berbahasa Melayu, saya dapat rasakan komunikasi kami agak terbatas dengan sebab faktor bahasa Arab. Lalu, apabila gadis Arab itu bercakap dalam bahasa Melayu, saya merasakan kepuasan dalam komunikasi kami tersebut. Saya yakin, gadis itu pula merasakan keterbatasan dalam menggunakan bahasa Melayu, kerana bahasa ibundanya adalah bahasa Arab.

Ya, mengungkapkan sesuatu dalam bahasa ibunda masing-masing, ia mempunyai kepuasan tersendiri. Sejak dari kecil lagi, jika percakapan hariannya adalah bahasa Melayu, sudah pasti kepuasan penggunaan bahasa adalah bahasa Melayu. Demikian juga, bagi mereka yang biasa dengan bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan sebagainya.

Bersaudara

Dalam satu forum, seorang hadirin bertanya kepada saya bahawa apakah prejudis rakyat Malaysia boleh hilang jika semua bangsa di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu. Mendengar soalan itu, saya teringat pengalaman saya belajar di dua buah negara, iaitu Pakistan dan Mesir.

Pakistan adalah sebuah negara hampir 98% rakyatnya berbangsa India dan berbahasa Urdu, malahan beragama Islam; tetapi masyarakat mereka tidak juga bersatu, malah mereka berbalah dan berlaku pertumpahan darah sesama warganegara. Demikian juga berlaku di Mesir, yang walaupun rakyat mereka satu bangsa dan bahasa, tetapi mereka sering berbalah.

Oleh yang demikian, atas alasan dua negara ini, saya rasa dakwaan yang menyatakan faktor satu bahasa sahaja (bahasa Melayu) untuk menyatukan rakyat Malaysia sebagai kurang tepat.

Ada pula pihak berpendapat bahawa kesatuan berlaku dengan faktor agama Islam. Mereka berhujah dengan merujuk kesatuan antara Aus dan Khazraj di Madinah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. Pada saya, dalam konteks masyarakat Arab ketika itu, mungkin ia benar. Tetapi, ia tidak semestinya benar dan sesuai di semua negara, termasuk Malaysia.

Contohnya, di India pernah berlaku perbalahan sesama bangsa India berasaskan kepada agama Islam dan Hindu. Syed Ahmad Khan dan Mahatma Ghandi, walaupun mereka pengamal agama masing-masing yang baik, tetapi mereka tidak pernah membawa naratif agama dalam menyatukan masyarakat India. Tindakan itu diambil kerana, apabila naratif agama Islam diambil, sudah pasti masyarakat Hindu akan marah. Begitu juga dengan sebaliknya. Maka, mereka membawa naratif nasionalis India.

Demikian juga naratif di Malaysia, yang wujud kepelbagaian kaum dan anutan agama. Naratif bahawa satu-satu bahasa dan agama sebagai asas kesatuan rakyat Malaysia, saya kira bukan jalan penyelesaian yang baik.

Pun begitu, saya berpendapat bahawa naratif bagi negara ini adalah memupuk budaya dan sikap saling hormat menghormati, saling mahu faham memahami dan mewujudkan sikap saling hormat budaya masing-masing. Yang semua ini bermula dengan mewujudkan perasaan mahu kenal mengenali antara satu dengan yang lain. Hujah saya adalah:

Pertama, perbezaan bukan semestinya permusuhan. Dengan demikian, Al-Quran menyatakan bahawa manusia itu diciptakan Tuhan dengan kepelbagaian bangsa dan etnik. Dengan kepelbagaian itu, Tuhan suruh manusia saling kenal-mengenali. Faktor kenal-mengenali yang ditekankan al-Quran itu amat penting untuk dihayati. Lebih-lebih lagi, dengan konsep kenal-mengenali itu akan melahirkan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati.

Kedua, setiap bangsa, tidak boleh dipaksa untuk menghapuskan bahasa ibunda mereka. Pada setiap bangsa, bahasa mereka adalah benteng dan kubu bagi kebudayaan dan identiti mereka. Bahasa Melayu adalah kubu bagi identiti bangsa Melayu, demikian juga identiti masyarakat Cina, India, Arab, Turki dan sebagainya. Dengan demikian, pemaksaan tidak wajar berlaku dalam hal yang melibatkan bahasa. Setiap bangsa perlu berkongsi kebijaksanaan yang wujud dalam budaya masing-masing.

Penutup

Manusia itu - pada hakikatnya - bertindak berdasarkan keperluan. Justeru, sesuatu bahasa akan sentiasa hidup dan digunakan, apabila ia sudah menjadi sesuatu keperluan. Atas asas itu, tidak hairan kita dapati bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin sudah menjadi bahasa tumpuan dunia. Kedua-dua bahasa ini sudah berjaya dijadikan sebagai bahasa keperluan manusia, iaitu dari sudut ilmu dan ekonomi.

Dengan demikian, atas asas kepuasan, setiap pihak wajar mempertahankan bahasa ibunda mereka. Di samping itu juga, setiap bangsa perlu berusaha untuk menjadi bahasa mereka sebagai bahasa keperluan dunia.

Disiarkan di Oriental Daily (7 Disember 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/270489

Facebook Comments