Print Friendly, PDF & Email

Dalam satu artikel tulisan Presiden PAS, amat jelas beliau menolak amalan pilihanraya PBT (pihak berkuasa tempatan). Huraian yang panjang ini dapat disimpulkan bahawa PAS menolak amalan tersebut kerana dua faktor besar:

Pertama, PAS beranggapan bahawa dengan adanya pilihan raya PBT, bandar besar tidak akan dikuasai oleh bangsa Melayu;

Kedua, PAS percaya bahawa bangsa Melayu tidak ada kemampuan untuk bersaing dengan bangsa lain.

Tulisan Presiden PAS itu mengingatkan saya pada Mei 2016, bahawa seorang muslim berbangsa Pakistan, Sadiq Khan telah menang dalam pilihan raya pemilihan Datuk Bandar bagi ibu kota England.

Ahli politik berusia 45 tahun itu menewaskan calon Parti Konservatif, Zac Goldsmith dengan memperolehi sokongan sebanyak 57% atau kira-kira 1.3 juta undian, lebih 9% berbanding lawannya.

Dari apa yang berlaku di kota London itu, kita diberikan satu gambaran bahawa konsep pilihan raya diperkenalkan untuk memberi peluang kepada rakyat memilih sesiapa sahaja untuk berkhidmat kepada mereka. Mana-mana calon yang tidak menunaikan tanggungjawabnya dengan baik, sudah pasti tidak terpilih.

Mampu dan Amanah

Pengamalan ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Lebih-lebih lagi, Islam adalah agama yang menekankan pemilihan orang yang berkhidmat semestinya mempunyai sifat bertanggungjawab dan disenangi oleh rakyat yang disimpulkan dalam dua perkara dasar, iaitu berkemampuan dan sifat beramanah.

Asas kepada dua perkara ini dapat dilihat dalam kisah Nabi Musa yang diambil bekerja oleh Nabi Syuaib. Dikisahkan dalam Al-Quran dengan menyatakan:

“Salah seorang dari kedua wanita itu (anak nabi Syuib) berkata: “Wahai bapaku, ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita) kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat (ada kemampuan) lagi beramanah.” (Surah al-Qasas 28 : 26)

Bukan sekadar dalam kisah Nabi Syuiab dan Nabi Musa, malahan Nabi Yusuf juga meletakkan dua asas ini dalam meminta jawatan dalam menjaga perbendaharaan negara. Firman Allah:

“Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga (beramanah), lagi berpengetahuan (tahu mengurus kewangan).” (Surah Yusuf 12 : 55)

Diandaikan tidak diceritakan dalam Al-Quran, secara fitrahnya, semua manusia menerima konsep dua perkara ini. Ini kerana, dengan dua konsep ini, menghasilkan kerja yang berkualiti.

Persaingan sihat

Melihat dari sudut kualiti juga, ia dapat tercapai dengan persaingan. Ia diumpamakan seperti di sesebuah taman, terdapat beberapa orang peniaga nasi lemak. Dengan kewujudan beberapa orang peniaga itu, sudah pasti setiap mereka akan memikirkan cara untuk memastikan nasi lemak mereka dibeli. Makanya, dalam gelanggang persaingan, setiap mereka akan memastikan nasi lemak yang dijual yang paling kualiti, iaitu paling sedap dan dijual dengan harga yang murah. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti yang untung itu adalah pembeli.

Perumpamaan ini menggambarkan bahawa persaingan antara peniaga boleh melahirkan keuntungan kepada pembeli. Gambaran ini tidak berbeza dengan keperluan pilihan raya dalam memilih Datuk Bandar di kota London. Rakyat di sana memilih Sadiq Khan bukan kerana apa anutan agamanya, tetapi kualiti kerja yang ditawarkannya kepada rakyat.

Rakyat di sana sedar, memilih calon yang beragama Kristian atau calon berbangsa England tidak menjamin mereka mendapat Datuk Bandar yang baik. Tetapi, dengan pilihan raya, mereka dapat memilih Datuk Bandar yang kompetitif dan menjamin kualiti kerja, walaupun mereka beragama Kristian dan Datuk Bandar mereka beragama Islam; walaupun mereka berbangsa England sedangkan Datuk Bandar mereka berketurunan Pakistan.

Di Malaysia

OKU (Orang Kelainan Upaya) adalah golongan yang mempunyai kemampuan yang berbeza dengan masyarakat awam. Dengan sebab itu, mereka tidak dapat bersaing secara sihat. Makanya, wujud hak istimewa yang perlu diberikan kepada golongan OKU, untuk dipimpin tangan mereka dalam memastikan mereka mampu bersaing bersama dengan orang ramai.

Di Malaysia, bangsa Melayu sering dimomokkan oleh pemimpin Melayu sendiri sebagai bangsa yang tidak mampu bersaing dengan bangsa lain. Cara pemimpin Melayu tampilkan itu seakan-akan mereka mahu menyamakan bangsa Melayu setahap dengan OKU.

Maka dengan sebab itu, orang Melayu selalu digambarkan oleh pemimpin Melayu sendiri sebagai bangsa yang tidak boleh berdiri kecuali perlu mendapat hak istimewa. Tanpa hak istimewa, seakan-akan bangsa Melayu tidak ada kemampuan dalam persaingan.

Dari sudut ajaran Islam pun, tidak pernah dipamerkan hak istimewa itu diberikan berdasarkan sesuatu kaum; sebaliknya yang diperkenalkan Islam adalah hak istimewa kepada orang yang memerlukan, sama ada mereka orang miskin, ataupun orang yang kelainan upaya.

Maka dengan sebab itu, sesiapa sahaja yang tidak ada kemampuan, maka mereka perlu diberikan hak istimewa, tidak kira dia Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban. Yang penting, hak mereka itu perlu dibela dan mereka perlu mendapat bimbingan tangan dari kerajaan agar mereka dapat bersaing secara sihat bersama dengan kalangan yang sedia asal sudah ada kemampuan.

Apabila orang Melayu selalu dianggap oleh pemimpin Melayu sebagai bangsa OKU, secara tidak sedar ia telah membina satu psikologi Melayu sebagai bangsa tidak mampu bersaing. Apabila mereka dianggap sebagai bangsa tidak mampu bersaing, maka lahir perasaan takut dalam persaingan. Dengan sebab itu, cadangan pilihanraya PBT, mereka menganggap sebagai ancaman bukan peluang.

Di negara Barat, muslim di sana melihat pilihanraya sebagai peluang, bukan ancaman. Dengan sebab itu, orang seperti Sadiq Khan yang beragama Islam dan berbangsa Pakistan berjaya menjadi Datuk Bandar di negara yang majoritinya Kristian dan berbangsa England.

Penutup

Dari artikel ringkas ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang mandom, tetapi sentiasa ditanam oleh pemimpin Melayu perasaan takut dengan persaingan. Ini telah dapat dibuktikan berapa ramai anak-anak Melayu dapat mencipta nama di luar negara dengan faktor kebijaksanaan.

Kedua, pilihanraya PBT berasaskan persaingan dalam memilih mana-mana calon yang terbaik dalam memberi khidmat kepada rakyat. Dengan cara itu, Melayu pasti akan terpilih andai mereka berjaya menawarkan kerja yang berkualiti.

Ketiga, dengan sebab itu, andai mengikut naratif Presiden PAS, sudah pasti individu seperti Sadiq Khan tidak akan mendapat peluang menjadi Datuk Bandar di Kota London tersebut.

Kredit gambar: https://www.roketkini.com/2013/12/16/pilihan-raya-tempatan/

Facebook Comments