Print Friendly, PDF & Email

“Disebabkan dia kafir, dia buat baik macam mana pun, tetap masuk neraka.” Ungkapan ini amat popular dalam kalangan muslim ketika diberitahu bahawa ada non-muslim yang lebih menjaga kebersihan berbanding muslim, non-muslim lebih beramanah berbanding muslim, non-muslim lebih “tidak rasuah” berbanding muslim.

Ungkapan ini umpama “ubat pelali” agar muslim selesa dengan tidak amanah, terlibat dengan rasuah, tidak memastikan kebersihan perlu diusahakan. Dengan itu, perasaan malu kepada non-muslim yang lebih “Islamik” pun hilang.

Semua makhluk perlu sedar, penentuan kelayakan masuk ke syurga atau neraka bukan ditentukan oleh manusia, tetapi ditentukan oleh Tuhan. Manusia tidak ada hak dalam menentukan seseorang itu ahli syurga atau ahli neraka. Jikalau ada manusia yang cuba menentukan pun, dia sendiri tidak dapat menjamin bahawa dia sendiri ahli syurga. Inikan pula dia mahu menentukan orang lain.

Dalam saheh al-Bukhari, Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi saw pernah bersabda, “Seorang pun tidak dapat menyelamatkan diri (dari neraka) dengan semata-mata amalannya”. Sahabat yang ada bersama Nabi ketika itu bertanya, “Bagaimana dengan kamu?” Jawab Nabi Muhammad, “Walaupun aku, kecuali Allah melimpahkan rahmatnya.” (Hadis no: 6463)

Menerusi Hadis ini, dapat disimpulkan bahawa sesiapa pun tidak dapat mendakwa dirinya sebagai ahli syurga. Malahan, dirinya sendiri tidak dapat masuk ke syurga kecuali dia dilimpahkan rahmat dari Allah. Keadaan ini bukan berlaku pada manusia biasa, malahan berlaku pada diri Nabi Muhammad saw.

Non-muslim

Dalam kitab “Faisal al-Tafriqah Bain al-Islam wa al-Zandaqah”, al-Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat sebilangan non-muslim yang boleh masuk ke syurga:
A. Non-muslim yang tidak pernah mendengar langsung berkenaan Islam;
B. Non-muslim yang hanya tahu berkenaan Islam secara umum sahaja, tanpa diberikan penjelasan terperinci.

Menurut seorang ulama dari Jordan bernama Syaikh Wasim Yusuf, sememangnya wujud non -muslim yang masuk ke syurga, iaitu mereka yang tidak memeluk agama Islam disebabkan mendengar kupasan Islam dalam kerangka yang salah, seperti ISIS.

Beliau berhujah dengan merujuk kepada Hadis saheh bahawa Nabi saw pernah bersabda, “Tidak seorang pun dari kalangan umatku, atau Yahudi atau nasrani yang mendengar dariku, kemudian mati tanpa beriman denganku kecuali dia akan masuk neraka.” (al-Nasaie, al-Sunan al-Kubra, Hadis no: 11177)
لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ أُمَّتِي، أَوْ يَهُودِيٌّ، أَوْ نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ لَا يُؤْمِنُ بِي إِلَّا دَخَلَ النَّارَ

Menurut Syaikh Wasim lagi, Hadis ini menyebut “dariku (Nabi)” yang beliau nyatakan bahawa ia berfaktorkan Nabi - dari sudut kebijaksaanan, kekuatan hujah, akhlak yang baik, mukjizat dan sebagainya. Dengan itu, neraka itu diberikan kepada mereka yang tidak beriman dengan Nabi selepas mereka mendengar Islam dari Nabi.

Kupasan yang hampir sama oleh Syaikh Dr.Salman Auda, seorang ulama terkenal dunia yang berasal dari Saudi. Cuma, beliau turut berhujah dengan merujuk kepada ayat al-Quran bahawa terdapat non-muslim yang masuk ke syurga, walaupun mereka itu dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Beliau merujuk kepada firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran kepada mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah 2 : 62)

Amal Ibadat

al-Quran menjelaskan berkenaan orang munafiq. Mereka dijanjikan neraka oleh Allah, sehinggakan digambarkan tempat mereka di neraka adalah yang paling bawah sekali, iaitu merujuk kepada tempat yang paling azab.

Orang munafiq adalah orang yang menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat, seluruh amal ibadat yang saleh dilakukan mereka. Tetapi, mereka tetap dijanjikan neraka.

Ini amat jelas bahawa amal ibadat, bukan penentu kelayakan seseorang itu masuk ke syurga. Kelayakan manusia ke syurga, apabila dia telah mendapat rahmat dari Tuhan. Orang munafiq, walaupun membuat amal ibadat, mereka tetap masuk ke neraka.

Ia bukan bermakna amal ibadat tidak perlu dilakukan. Tetapi, amal ibadat yang dilakukan itu perlu ada keikhlasan. Ia sebagai cara manusia memberi komitmen kepada Tuhan dengan jujur. Komitmen yang jujur untuk membuktikan kecintaan diri kepada Tuhan. Dengan komitmen itu, semoga Tuhan memberikan rahmatNya. Apabila Tuhan telah memberi rahmat, baru seseorang itu layak masuk ke syurga.

Komitmen yang dilakukan demi mencapai rahmatNya, sudah pasti disertakan dengan perasaan ikhlas. Tanpa keikhlasan itu menyebabkan ibadat orang munafiq tidak berharga. Dengan sebab itu, al-Quran menyatakan bahawa orang munafiq beribadat dalam keadaan malas, sambil lewa dan dengan tujuan untuk mendapat pujian dari manusia sahaja. (Surah al-Nisa’ 4 : 142)

Komitmen yang dilakukan dengan sepenuh hati ini menyebabkan kelayakan mendapat rahmat Allah. Dengan itu, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Firman Allah:
“Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan.” (Surah al-Zukhruf 43 : 72)

Begitu juga dalam firman Allah dalam ayat yang lain:
“Masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Nahli 16 : 32)

Mereka masuk syurga bukan kerana ibadat, tetapi kerana rahmat dari Allah. Ibadat bukan tidak dilakukan, tetapi ibadat dilakukan sebagai komitmen dalam proses mendapat rahmat dariNya.

Buat baik

Islam menyuruh penganutnya melakukan kebaikan. Semua muslim tidak dibenarkan untuk melakukan kejahatan. Malah, kepada pelaku kejahatan, dijanjikan azab di akhirat kelak.

Islam juga tidak pernah menafikan kebaikan yang dilakukan oleh non-muslim. Al-Quran sendiri pernah mengakui bahawa kebaikan yang dilakukan oleh non-muslim dalam kalangan mereka, Tuhan memberi jaminan bahawa negara, kerajaan atau tempat tinggal mereka tidak akan dibinasakan. Firman Allah:

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Hud 11 : 117)

Dalam menafsirkan ayat ini, al-Imam Fakr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa maksud “negeri-negeri” dalam ayat ini adalah penempatan yang diduduki kalangan yang tidak beragama Islam. Mereka mensyirikkan Allah.

Dengan kata lain, penduduk yang tidak beragama Islam, jika mereka saling melakukan kebaikan, Tuhan menjamin bahawa penempatan mereka tidak akan dibinasakan. Sebaliknya, kebinasaan akan menimpa mereka, andai mereka melakukan kejahatan, kezaliman dan saling menyakiti. (Mafatih al-Ghaib, jld 18, hlmn 410)
وَالْحَاصِلُ أَنَّ عَذَابَ الِاسْتِئْصَالِ لَا يَنْزِلُ لِأَجْلِ كَوْنِ الْقَوْمِ مُعْتَقِدِينَ لِلشِّرْكِ وَالْكُفْرِ، بَلْ إِنَّمَا يَنْزِلُ ذَلِكَ الْعَذَابُ إذا أساؤا فِي الْمُعَامَلَاتِ وَسَعَوْا فِي الْإِيذَاءِ وَالظُّلْمِ

Di samping tidak mengetahui Islam - mungkin berfaktorkan mereka tidak pernah mendengar Islam, atau mereka tidak pernah mendengar penjelasan terperinci berkenaan Islam, atau mereka mendengar dari komentar yang salah, seperti Islam dikaitkan dengan perkauman, Islam yang dikaitkan dengan pengganasan – dalam masa yang sama, mereka adalah kalangan yang melakukan kebaikan, adalah tidak mustahil bagi Allah untuk memberikan syurga kepada mereka. Terutama, al-Quran sendiri ada menyatakan rahmat yang merupakan sebab utama melayakkan ke syurga itu amat dekat kepada orang yang melakukan kebaikan. Firman Allah:

“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Araf 7 : 56)

Penutup

Sebagai muslim, sewajibnya merasa malu apabila tidak dapat melakukan kebaikan pada saat kebaikan itu boleh dilakukan oleh non-muslim. Dengan semata-mata beragama Islam, tidak wajar dianggap sebagai diri sudah layak ke syurga. Terutama, masih dalam bergelumang dengan kejahatan, rasuah, buat zalim, seleweng dana negara dan sebagianya. Ini kerana, syurga tidak akan diberikan kecuali kepada orang yang mendapat rahmat Allah. Sudah pasti Allah tidak redha amalan kejahatan ini, walaupun ia dilakukan oleh seorang muslim.

Memandang lekeh kepada non-muslim yang melakukan kebaikan juga tidak wajar. Tertama, perbincangan al-Quran dan Hadis juga ada menjelaskan bahawa mereka tidak mustahil boleh mendapat rahmat dari Allah.

Facebook Comments