Bagaimana sesebuah negara boleh maju seandainya bangsanya menganggap diri sebagai mangsa, malah berebut-rebut untuk menjadi mangsa, dan mahu menjadi mangsa selama-lamanya?
Fenomena ini pelik tetapi lumrah di Malaysia. Melayu gusar bumi yang dipijaknya menjadi milik orang (Cina), ekonominya dikuasai Cina dan kini kuasa politiknya semakin tergugat. Cina merungut dirinya dilayan bagai rakyat kelas kedua, disekat daripada mengembangkan potensinya dalam sistem negara yang didominasi Melayu-Muslim.
India pula mengeluh, teriakan protesnya tidak kedengaran – dianggap terlalu minoriti (apatah lagi berpecah belah sesama diri) oleh media tempatan, dan tiada nilai berita berbanding kaum orang asal dari lensa kamera media antarabangsa. Orang asal barangkali “bumiputera” yang lebih teruk kedudukannya ekonomi dan politiknya berbanding bukan bumiputera.
Sentimen ini berlegar-legar dalam satu kitaran untuk saling menebalkan prejudis masing-masing. Dari kaca mata Cina, kegusaran Melayu itu sekadar alasan untuk menutup “kemalasan” sendiri, dan mahu terus bergantung kepada “tongkat”. Untuk Melayu pula, Cina umpama dapat betis mahu paha – tidak pernah bersyukur dengan kemurahan hati “tuan milik bumi ini”, malah menuntut lebih tanpa sehiris kesediaan untuk menerapkan dirinya ke dalam budaya masyarakat Melayu-Muslim.
Jurang lebar meninggalkan komuniti India yang terpinggir merasakan dirinya tidak memiliki apa-apa, lantas nothing to lose jikalau bangkit menentang – menjelaskan pendekatan perjuangan mereka yang ada kalanya, nampak keras dan ganas, sebagai reaksi minoriti terhadap sang penguasa. Orang asal yang diperah sumber semula jadinya, hanya mampu mendoakan agar trak besar tidak mencerobohi tanah adat mereka, memunggah balak dan kemudian meninggalkan mereka dalam habuk yang berterbangan.
Sentimen-sentimen ini terus menghantui Malaysia, sungguhpun kita bebas dari cengkaman kuasa Umno-BN pada 9 Mei 2018. Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), ratifikasi Icerd, malah rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang berakhir dengan tragedi kematian seorang anggota Bomba, Muhammad Adib – kesemuanya menemui jalan buntu dalam perbincangan ke arah penyelesaian. Antara puncanya, masyarakat kita diselubungi sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”.
Persoalannya, tidakkah kita sebagai warga Malaysia harus khuatir, bahawa kitaran sentimen sebegini jikalau dibiarkan terus berkisar, bakal jadi pusaran deras yang akhirnya menenggelamkan Malaysia pada masa depan?
Hilang yakin diri
Biasanya “mangsa” merujuk kepada pihak yang dizalimi, ditindas malah dikorbankan, dan sebagaimana yang sedia maklum, ia dari pihak yang “lemah”. Mentaliti “mangsa” ini akan menghakis keyakinan dalam diri satu bangsa. Memandang diri sebagai mangsa bermakna tidak yakin dengan kemampuan diri untuk melawan, atau bersaing dengan pihak yang lain.
Apabila sesuatu bangsa enggan menguji kemampuan diri, sudah tentu ia gagal membuktikan kemampuan diri. Misalnya, pilihan raya tempatan ditolak di Malaysia dengan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai bandar-bandar besar, dengan andaian bahawa Melayu-Muslim gagal menyaingi calon Cina di gelanggang pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan).
Persoalannya, bagaimana Sadiq Khan boleh menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di London pada tahun 2016, jikalau tiada pilihan raya tempatan? Mengapa Muslim sebagai minoriti di United Kingdom mampu menampilkan keyakinan untuk memimpin di Barat, sebaliknya Muslim sebagai majoriti di Malaysia, sering rasa tergugat dengan demokrasi tempatan?
Sesungguhnya Sadiq Khan menjadi lambang kemegahan dunia Muslim, kerana kepimpinannya diiktiraf oleh masyarakat non Muslim di Barat. Namun, tatkala masyarakat Muslim mengagumi dan berbangga dengan kehebatan Sadiq Khan, pernahkah masyarakat Melayu-Muslim merenung sejenak, bukankah ia juga mencerminkan “kehebatan” masyarakat non muslim untuk menobatkan seorang pemimpin dari kalangan minoriti yang berbeza anutan agama dengan majoriti?
Di sini bezanya antara bangsa yang berkeyakinan diri dengan bangsa yang melihat dirinya mangsa. Untuk masyarakat yang matang dan berkeyakinan, kaum majoritinya akan memilih pemimpin mereka tanpa dikaburi sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan keyakinan bahawa sistem demokrasi yang utuh mampu mewujudkan persaingan untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber. Komuniti minoriti pula merasakan dirinya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum majoriti, diberi peluang yang sama rata untuk menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya. Hak asasi mereka terjamin di bawah sistem demokrasi yang mantap.
Akhirnya, Kristian sebagai majoriti dalam masyarakat ditampilkan sebagai bangsa yang bukan sahaja tidak menindas komuniti minoriti, malah memberi hak kepada yang berhak, dan kedudukan yang sama rata sesama manusia. Sementara Muslim sebagai masyarakat minoriti di kota London, membuktikan potensi dan pengaruhnya, dengan kepimpinan yang diiktiraf manusia sejagat. Warga kota London hidup bermaruah di depan mata antarabangsa.
Kuasa besar, jiwa besar?
Alangkah indahnya negara dan masyarakat sebegitu, yang mana warganya sudah tentu mengharungi liku-liku sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini. Mustahil ia dicapai dalam jangka sekelip mata, sungguhpun dengan kepantasan teknologi 5G pada hari ini. Cuma, tepuk dada tanya selera, apakah ia matlamat yang dikongsi bersama dalam masyarakat Malaysia, untuk kita menuju ke destinasi ini pada masa depan?
Jikalau itulah destinasi yang dikongsi bersama, maka kita perlu menghentikan kitaran sentimen tersebut dari mana-mana titiknya, tanpa sehiris rasa apologetik bahawa diri kita sebagai pengecut yang “berganjak langkah”, atau pengkhianat yang menggadaikan kepentingan bangsa.
“Kuasa yang besar disusuli dengan tanggungjawab yang besar.” Demikianlah quote dalam filem Spiderman. Bukan itu sahaja, bangsa yang bercita-cita untuk menggarap kuasa yang besar, seharusnya juga berjiwa besar. Bagaimana seseorang pemimpin politik boleh menjadi negarawan di Malaysia, jikalau perjuangannya hanya disempitkan untuk satu-satu kaum tertentu? Bagaimana seseorang pemimpin politik meraih penghormatan seluruh rakyat, andainya beliau hanya mampu menggertak dengan kuasa yang ada dalam tangan, dan bukannya memukau dengan aura ketokohannya?
Di sini kita terperangkap. Bukan sahaja tokoh, malah komuniti kaum tertentu menuntut kuasa yang lebih besar, tanpa kesediaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh atau bangsa yang beramanah, berjiwa besar dan bertanggungjawab. Kuasa yang dihambat dipergunakan untuk mengayakan diri, mengugut mereka yang mendedah dan mempersoalkan penyelewengan diri, kemudian mengerah kaum diri untuk menutup skandal dan menegakkan benang basah atas semangat assabiyah.
Kegagalan ini menghakis asas moral kepimpinan Melayu, khususnya, lantas diambil kesempatan sesetengah komuniti minoriti yang lain untuk menghalalkan pendekatan protesnya yang keras. Mereka memandang rendah bangsa Melayu lantaran pemimpin Melayu yang korup; mereka menolak budaya Melayu kerana prejudisnya bahawa bangsa ini tidak berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri, sebaliknya menuntut hak istimewa untuk menutup kemalasan dirinya.
Semakin kaum bukan Melayu menolak kepimpinan dan kebudayaan Melayu, semakin kuat penolakan Melayu terhadap kaum lain. Kitaran ini berlaku bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Pergeseran dan pergolakan sedemikian melahirkan ketidakpercayaan antara satu sama lain, yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian dan permusuhan. Kesemua sentimen ini bertakung bagai minyak tanah, yang menunggu masa untuk dinyalakan apabila ada pihak memetik api hasutan, sama ada kaum mahupun agama.
Apakah rakyat Malaysia mahu meneruskan ketegangan sedemikian, untuk dekad-dekad akan datang? Sejauh manakah Malaysia boleh pergi, andainya setiap warganya diselubungi sentimen “mangsa”, diperdayakan untuk bermusuhan sesama diri agar “pemangsa” sebenar tidak dikesan? Bagaimana Malaysia mara ke depan, jikalau kaum majoritinya hilang keyakinan, dan kaum minoritinya pula hilang semangat kekitaan, kerana tidak merasakan bumi ini dimilikinya, sungguhpun “tanah tumpahnya darahku” keluar dari bibirnya setiap kali lagu kebangsaan didendangkan?
Yakinlah, mustahil masalah boleh diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lain. Jangan sesekali kita mengemis simpati dengan memainkan sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”, padahal ia hanya alasan untuk menyembunyikan kelemahan, kejahatan, kegagalan, dan prejudis dalam diri kita. Kita menagih simpati dengan menampilkan diri kita sebagai mangsa, malah mangsa yang lebih kasihan berbanding mangsa lain. Tidak pernah kita menggariskan tempoh bila ia harus dihentikan, kerana nampaknya tiada mana-mana pihak yang yakin dengan kemampuan dirinya.
Tiada mangsa yang akan berjaya. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membebaskan dirinya dari sentimen “mangsa”. Tiada sesiapa yang harus menjadi mangsa di bumi ini, andainya kita ingin menjayakan Malaysia.
*Disiarkan di Malaysiakini (31 Disember 2018): https://www.malaysiakini.com/columns/458288
Facebook Comments