Print Friendly, PDF & Email

Saban tahun apabila menjelang hari Krismas, umat Islam di Malaysia akan berpolemik: apakah boleh mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakan-rakan Kristian? Polemik ini bukan sekadar berlaku dalam kalangan muslim bawahan, malah berlaku dalam kalangan ilmuwan Islam; bukan sekadar berlaku di Malaysia, malahan di seluruh dunia Islam.

Sejak turun-temurun ulama Malaysia memfatwakan bahawa mengucap selamat hari natal adalah haram. Lebih dahsyat lagi, mereka menyatakan bahawa ia boleh merosakkan akidah. Maknanya, muslim boleh terkeluar dari Islam andainya mengucapkan selamat hari Natal kepada warga Kristian.

Polemik ini berlaku lantaran tiada peruntukan yang jelas dalam al-Quran dan Hadis. Justeru itu, para ilmuwan memfatwakan sebegitu berdasarkan pandangan dan pendapat mereka sahaja.

Realiti

Namun demikian, kebelakangan ini, ramai ilmuwan Islam di Negara Arab, atau mereka yang sudah terkesan dengan globalisasi mengambil pendekatan yang berbeza dari kalangan ilmuwan Islam yang mengharamkan. Keadaan ini juga berlaku dalam kalangan ilmuwan Islam di Malaysia.

Faktor pergaulan dan hubungan baik antara muslim dengan penganut Kristian di beberapa buah negara Arab, sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan fatwa ilmuwan Muslim, terutamanya di negara yang mana nisbah orang Kristian agak tinggi. Keadaan ini berbeza dengan negara Arab yang tiada orang bukan Islam seperti Saudi. Lantaran daripada itu, mereka masih kekal dengan pandangan melarang muslim dari mengucapkan selamat hari Natal.

Selain Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Majlis Fatwa Mesir dan seorang ulama kontemporari dari Mesir, Yusuf al-Qaradawi antara yang pernah memfatwakan keizinan muslim mengucapkan selamat hari Natal kepada warga Kristian.

Saling Menghormati

Bagi membantah pandangan yang melarang, mereka berhujah bahawa Islam adalah agama yang menyeru manusia agar hidup saling hormat-menghormati sesama manusia merentasi anutan agama dan bangsa.

Sikap ini diambil dengan merujuk kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah menyuruh agar sesuatu ucapan itu perlu diberikan dengan baik, dan apabila membalas sesuatu ucapan, hendaklah dibalas dengan yang lebih baik dari apa yang diucapkan kepadanya. (Surah al-Nisaˇ 4 : 86)

Mereka turut berhujah dengan ayat al-Quran bahawa Allah tidak pernah melarang untuk muslim melakukan kebaikan dan keadilan kepada non-muslim yang tidak menyerang agama Islam, malahan menyuruh agar muslim bertindak baik kepada non-muslim tersebut. (Surah a-Mumtahanah 60 : 8).

Juga dengan sikap Nabi saw yang berdiri memberi penghormatan ketika satu jenazah orang Yahudi lalu di hadapan Baginda. Ketika itu, seorang sahabat bertanya, apakah patut Nabi bertindak sebegitu? Nabi menjawab dengan menyatakan, “Bukankah dia seorang manusia?” (al-Bukhari, Hadis no: 1312).

Larangan tidak jelas

Mereka menjelaskan lagi bahawa pandangan yang melarang mengucapkan selamat hari Natal itu sebenarnya merujuk kepada sesuatu yang tidak jelas. Antara hujahnya adalah seperti berikut:

Pertama, golongan yang melarang itu merujuk kepada satu kisah bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi saw. Sahabat itu mahu menyembelih korban di suatu tempat bernama Buwanah. Dia bertanya kepada Nabi tentang hal itu. Nabi menyatakan bahawa dia boleh menyembelih korban dengan syarat, ia bukan untuk tujuan dipersembahkan kepada Tuhan sembahan orang bukan Islam, dan bukan untuk merayakan perayaan agama non-muslim. (Abu Daud, Hadis no: 3313)

Bagi menjawab hujah ini, dijelaskan bahawa larangan Hadis ini adalah dalam kerangka jika muslim itu percaya bahawa agama kristian sebagai benar sepertimana dipercayai benar oleh orang Kristian. Tetapi, jika hati muslim itu tidak ada kepercayaan tersebut, tetapi sekadar berucap sebagai tanda saling hormat-menghormati, maka ia tidak termasuk dalam larangan Hadis ini.

Kedua, golongan yang melarang merujuk perkataan Saidina Omar yang meminta agar muslim hindari dari perayaan musuh-musuh Allah. (Baihaqi, Hadis no: 18862)

Bagi menjawab hujah ini, dijelaskan bahawa sumber Islam adalah wahyu dari Tuhan, iaitu al-Quran dan Hadis. Adapun larangan ini datang dari Saidina Omar, tidak lebih sebagai kenyataan seorang sahabat yang kata-katanya tidak setahap wahyu.

Dengan demikian, ia tidak boleh dijadikan sandaran pengharaman secara mutlak. Tambahan pula, bukan semua non-muslim adalah musuh Allah. Ini kerana, maksud “musuh” Allah yang diceritakan dalam al-Quran adalah sesiapa sahaja yang menyerang agama Islam, dan berusaha untuk mengeluarkan muslim dari negara mereka. (Surah al-Mumtahanah 60 : 8)

Ketiga, golongan yang melarang itu berhujah bahawa ucapan itu memberi maksud mengiktiraf kandungan agama Kristian, iaitu Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Dengan itu, mereka (yang melarang) menganggap bahawa ia menampilkan agama Islam tidak benar berbanding Kristian, secara tidak langsung.

Untuk menyanggah hujah ini, perlu kita sedar bahawa ucapan ¨selamat hari Natal〃 tidak semestinya mengakui dalam hati bahawa Isa sebagai anak Tuhan seperti dalam kepercayaan Kristian. Ia sekadar salam yang dihulurkan untuk menghormati dan mewujudkan suasana yang harmoni.

Penutup

Dari tulisan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, polemik berkenaan larangan muslim dari mengucapkan selamat hari Natal adalah sekadar pendapat ilmuwan Islam sahaja, bukan bersumberkan al-Quran dan Hadis. Ini kerana, perkara ini tidak pernah disebut dalam dua teks Islam itu secara jelas.

Kedua, golongan ilmuwan Islam yang berada dalam lingkungan muslim majoriti agak cenderung melarang muslim dari mengucapkan selamat hari Natal. Berbeza untuk ilmuwan Islam yang terkesan dengan arus globalisasi, atau mereka yang bercampur-gaul dengan non-muslim, mereka berpendapat bahawa mengucapkan selamat hari Natal tidak dilarang.

*Disiarkan di Oriental Daily (28 Disember 2018): https://www.orientaldaily.com.my/s/273142

Facebook Comments