Baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan menyeru agar wanita muslimah tidak berpakaian ketat, berwangi-wangian dan berhiasan melampaui batas.
Bagi kalangan muslim, seruan sebegini dianggap biasa. Namun, bagi masyarakat non-muslim, mungkin dianggap janggal. Lebih-lebih lagi, didapati ramai wanita muslim yang berwangi-wangian dan tidak kurang juga yang tidak memakai tudung kepala.
Malah, terdapat beberapa gambar yang melibatkan isteri atau anak perempuan kepada ulama-ulama di dunia yang tidak memakai tudung. Kalau ada memakai pun, masih kelihatan rambut lagi. Seperti isteri Buya Hamka, isteri Dr.Jaser Auda dan sebagainya.
Aurat
Dalam wacana Islam, isu ini dilihat pada dua perkara, iaitu aurat dan pakaian. Aurat bermakna aib, sedangkan pakaian adalah penutup kepada beberapa anggota badan untuk memastikan keaiban tidak terdedah. Contohnya, kemaluan jika terdedah kepada penglihatan manusia, maka itu mengaibkan. jadi, wajib dipakai pakaian agar keaiban tidak terdedah kepada penglihatan manusia.
Dalam wacana umat Islam, ada beberapa anggota tertentu — jika dipamerkan, ia dianggap sebagai aib. Makanya disuruh tutup. Bagi orang lelaki, anggota badan antara pusat dan lutut - seperti paha, kemaluan, ari-ari — semua itu dianggap sebagai aib. Makanya, wajib ditutup dan dilarang untuk dilihat.
Demikian juga bagi wanita - anggota badan yang wajib ditutup adalah semua anggota badannya kecuali muka dan tangan sahaja.
Teks wahyu
Semua kewajipan menutup anggota badan ini adalah hasil pemahaman ulama-ulama Islam terhadap teks wahyu.
Bagi anggota lelaki, ia merujuk kepada beberapa Hadis - seperti Nabi saw pernah menyuruh Saidina Ali agar menutup anggota antara pusat dan lutut. Baginda turut melarang melihat pada anggota tersebut. Anggota badan wanita pula, dirujuk kepada ayat Al-Quran - Surah al-Ahzab, ayat 59 dan Surah al-Nur, ayat 31- kedua-dua ayat ini menyebut tiga perkara dasar:
Pertama, disuruh menutup semua badan kecuali yang zahir (ulama tafsirkan muka dan tangan). Kedua, melabuhkan tudung kepalanya sehingga sampai bawah dada. Ketiga, melarang wanita menghentakkan kaki (yang ulama ditafsirkan tujuannya untuk menarik perhatian lelaki).
Penafsiran
Dari sumber teks wahyu ini, terdapat dua penafsiran dari kalangan umat Islam:
Pertama, suruhan menutup anggota-anggota badan dalam teks wahyu itu bersifat keagamaan secara mutlak. Justeru, di mana sahaja mereka berada, dianggap berdosa jika mereka membuka anggota-anggota badan terbabit. Pandangan ini dipegang hampir semua ulama Islam di dunia — dari dahulu hinggalah sekarang.
Kedua, ada pula menganggap kandungan ayat Quran dan Hadis tersebut bersifat kontekstual. Dengan kata lain, ia merujuk kepada konteks masyarakat Arab yang menganggap anggota-anggota yang terbuka sebagai aib. Justeru, dalam adat resam masyarat lain, tidak semestinya boleh dianggap sebagai aurat andai ia tidak dianggap sebagai aib.
Mereka berpendapat sebegitu, kerana melihat kepada beberapa hujah berikut:
Pertama, tidak semua kandungan teks wahyu itu bersifat keagamaan. Contohnya, perang memang disuruh dalam Al-Quran, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam negara aman. Apatah lagi, perang itu adalah lumrah bagi sesebuah kerajaan andai mendapat serangan dari musuh. Tanpa wahyu pun, manusia boleh tahu keperluan perang apabila diserang musuh.
Kedua, terdapat banyak teks Hadis menyebut bahawa Nabi Muhammad berjubah, berserban, berselendang, semua itu bukan merujuk kepada amalan keagamaan. Ia sekadar kebudayaan Arab, kerana Nabi Muhammad seorang yang berbangsa Arab. Lebih-lebih lagi, pakaian tersebut dipakai juga oleh masyarakat non-muslim dari kalangan masyarakat Arab.
Kebudayaan
Dengan hujah-hujah ini, Tahir Ibnu Asyur dari Tunisa, Adnan Ibrahim dari Palestin, Muhammad Shahrur dari Syria dan Quraisy Shihab dari Indonesia — yang kesemua ilmuwan Islam ini menganggap penentuan anggota badan yang dinyatakan dalam teks wahyu itu bukan bersifat keagamaan. Ia sekadar konteks adat resam dan kebudayaan masyarakat Arab sahaja.
Walaupun pandangan mereka agak kontroversi dan berbeza dengan pegangan umum muslim dunia, mereka tetap mempunyai hujah tersendiri:
Andai ia perkara keagamaan, sudah pasti amalan hamba dan orang merdeka adalah sama. Contohnya, ibadat solat dan puasa — mereka tunaikannya secara sama; solat lima waktu, dan berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan.
Namun, dalam tajuk pakaian, Hadis berkenaan aurat hamba wanita menyebut bahawa wajar ditutup anggota dari pusat hingga lutut. Al-Quran pula menyatakan, seluruh badannya kecuali muka dan tangan. Dengan demikian, mereka menafsirkan bahawa maksud ayat al-Quran itu adalah dalam konteks masyarakat Arab sahaja, bukan satu suruhan keagamaan.
Hujah lain, melihat kepada konteks ayat yang diturunkan untuk memberi isyarat kepada lelaki Arab ketika itu yang suka mengganggu hamba wanita. Justeru, berpakaian menutup seluruh badannya kecuali muka dan tangan kepada wanita merdeka sebagai membezakan mereka dari hamba wanita. Dengan itu, mereka tidak diganggu.
Walau bagaimanapun, pendapat ini ditentang hebat oleh ramai ulama Islam di dunia.
Penutup
Dari kupasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:
Pertama, aurat dimaksudkan sebarang keaiban bagi seseorang manusia. Dalam wacana Islam, ia merujuk kepada beberapa anggota yang jika tidak ditutup, maka terhilang kehormatan dan boleh melahirkan keaiban. Justeru, ia wajib ditutup dengan pakaian.
Kedua, hampir seluruh ilmuwan Islam menganggap menutup anggota badan bagi lelaki dan perempuan dengan pakaian sepertimana yang tersebut dalam teks wahyu adalah tuntutan agama. Tetapi, sebilangan kecil mereka menganggap ia sebagai tuntutan budaya sahaja. Dengan kata lain, andai budaya sesuatu masyarakat anggap membuka tudung itu mengaibkan, maka wajib ditutup. Jika tidak mengaibkan, mereka anggap sebagai tidak salah jika tidak memakai tudung. Dengan demikian juga, kita dapati tidak sedikit ulama yang membenarkan lelaki memakai seluar pendek semasa bersukan.
*Disiarkan di Oriental Daily (12 Januari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/275023
Facebook Comments