Print Friendly, PDF & Email

Setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, pasti akan ada tema binatang yang akan diangkat. Pada tahun ini pula, diberitakan tema babi yang bakal diangkat.

Walaupun tidak ada apa-apa yang negatif dalam masyarakat Islam di dunia, tetapi pada masyarakat Melayu — umumnya tidak selesa dengan babi.

Kegelisahan masyarakat Melayu terhadap babi, sama seperti kegelisahan mereka terhadap anjing. Kegelisahan ini bukan berfaktorkan agama, tetapi tidak lebih sebagai penafsiran agama sahaja.

Dari sudut kebudayaan Melayu pula, dua ekor binatang ini dianggap amat jijik – sehinggakan ungkapan “anjing” atau “babi” amat sinonim dengan maki hamun. Malahan, jikalau dipanggil sahaja anjing atau babi, pasti panggilan itu membangkitkan kemarahan.

Dilarang makan

Dalam Al-Quran, ada dua keadaan sahaja yang menyebut berkenaan dengan babi - dilarang makan daging babi, dan gelaran kecelakaan kepada Yahudi yang tidak mengikut perintah Tuhan.

Dalam Hadis pula – di samping pengharaman memakan daging babi, dinyatakan juga pengharaman jual- beli babi dan lemak babi.

Dari dua sumber ini - yang berkaitan dengan babi - para ilmuwan Islam sepakat dalam menyatakan pengharaman dari memakan daging babi dan menjual lemak babi dengan tujuan dijadikan makanan.

Pun begitu, dalam hal selain dari sudut makanan, ilmuwan Islam berbeza pendapat berkenaan dengan babi - seperti pakaian yang diperbuat daripada kulit babi (kasut, dompet dan sebagainya). Ada pihak yang membenarkan, tidak kurang juga yang melarang.

Pakaian

Perbincangan Islam tidak boleh terlepas dari dua perkara: Islam dan penafsiran terhadap Islam. Apabila disebut Islam, sudah pasti yang kelihatan adalah sumber Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Kedua-dua ini dipercayai suci. Yang satu lagi, penafsiran terhadap Islam. Ia ada kaitan dengan akal fikiran manusia.

Dari penafsiran Islam itu, maka lahir apa yang dikenali sebagai mazhab. Dalam dunia Islam ini, terdapat mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Pada masa yang sama, mazhab Syafie adalah mazhab yang mendominasi dalam pengamalan muslim di Malaysia.

Dari isu babi ini, mazhab Syafie berpendapat bahawa, babi bukan sekadar haram dimakan, malah babi dianggap sebagai najis yang berat –termasuk juga anjing- iaitu apabila tangan menyentuh babi, maka wajib dibasuh tangan itu dengan tujuh kali basuh, salah satunya dengan air tanah. Ini berbeza dengan najis yang lain, seperti air kencing, tahi dan sebagainya – ia dibasuh dengan sekadar menghilangkan tiga perkara sahaja: bau, rasa dan warna yang kadangkala cukup sekadar dengan menjiruskan air beberapa kali.

Mazhab Syafie menganggap begitu kerana beliau membandingkan hukum anjing – Hadis menyatakan bahawa untuk menggunakan bekas air yang pernah dijilat anjing, bekas terbabit wajib dibasuh tujuh kali basuh, salah satunya dengan air tanah. Pada mazhab Syafie, babi yang lebih teruk dari anjing, sudah pasti lebih perlu dibasuh dengan basuhan sebegitu.

Pendapat ini berbeza dengan sebilangan ilmuwan muslim. Mereka berpendapat bahawa tiada satu ayat dari teks wahyu yang menyatakan bahawa tangan yang menyentuh babi itu wajib dibasuh. Justeru itu, mereka berpendapat tidak salah menyentuh babi dan tidak perlu dibasuh tangan yang menyentuh babi. Adapun larangan –mereka menyatakan - ia terkhusus pada larangan makan, bukan sentuh.

Atas alasan itu juga, mereka berpendapat tidak menjadi kesalahan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit babi. Sebab itu, kita mendapati di beberapa buah negara Arab - walaupun keislaman mereka jauh lebih kuat berbanding muslim di Malaysia, tidak menjadi sebarang isu dalam masyarakat mereka apabila wujud muslim yang memakai kasut atau dompet yang diperbuat daripada kulit babi.

DNA Babi

Kebencian masyarakat Melayu terhadap babi sehingga ia dijadikan bahan makian, ditambah pula pendekatan mazhab Syafie yang menjadi pegangan masyarakat Melayu di Malaysia menjadikan sentimen mereka terhadap babi semakin menjadi-jadi. Maka dengan sebab itu, tercetusnya satu perdebatan di media beberapa tahun lalu berkenaan isu Coklat Cadbury – kononnya ada DNA babi, sehingga hangat diperbincangkan di media sosial.

Pun begitu, dalam kalangan ulama dunia - antaranya al-Qaradawi – mereka mempunyai pandangan yang berbeza dengan sentimen kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia, sehingga beliau memfatwakan bahawa DNA babi yang melekat pada sebarang makanan tidak dikira sebagai haram, malah halal dimakan.

Beliau berpendapat sebegitu atas beberapa dasar. Antaranya, dalam dunia pada hari ini, banyak benda yang sukar dielak dari terkena DNA binatang yang haram, seperti air yang digunakan seharian – umat Islam selalu menggunakannya untuk berwudu』 sebelum menunaikan solat. Apatah lagi, air yang sebelum ditapis dan diproses, sudah pasti mendapat campuran pelbagai perkara termasuk najis.

Penutup

Dari tulisan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, al-Quran, Hadis dan fatwa para ulama Islam menyatakan bahawa daging babi haram dimakan.

Kedua, walaupun al-Quran dan Hadis tidak menyatakan larangan menyentuh babi, tetapi para ulama Islam berbeza pendapat dalam hal – apakah anggota yang tersentuh babi itu wajib dibasuh? Memandangkan rata-rata muslim di Malaysia mengikut mazhab Syafie, makanya menyentuh babi difatwakan sebagai wajib dibasuh dengan tujuh kali basuh dengan air biasa – salah satu darinya mesti air bercampur tanah.

Ketiga, memandangkan ada fatwa sebilangan ulama Islam bahawa sentuh babi tidak wajib dibasuh, makanya tidak hairan terdapat beberapa kejadian di negara Arab – muslim di sana memakai kasut atau dompet yang diperbuat daripada kulit babi.

*Disiarkan di Oriental Daily (1 Februari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/277554

Facebook Comments