Politik identiti – kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya, antara cabaran Malaysia Baru setelah pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018. Suka atau tidak, PRU14 sekadar menyempurnakan misi bersama untuk menghumbankan penguasa yang korup, tetapi masyarakat berbilang kita ini kekal berbeza pandangan dalam babak politik identiti.
Antaranya, kewujudan aliran sekolah yang pelbagai dalam sistem pendidikan kita. Dari tuduhan “penghalang perpaduan”, hinggalah pertikaian “peruntukan dana” – sekolah aliran bahasa Cina dan Tamil sering dijadikan sasaran. Mustahil isu sebesar ini dapat dirungkaikan dalam ruang sekecil ini. Namun saya cuba mengetengahkan beberapa pengamatan dan pandangan dari sudut berbeza, untuk rujukan sebelum kita melanjutkan perbincangan.
Mungkin kita perlu meninjau kembali sejarah menjelang kemerdekaan. Generasi nenek moyang kita terpaksa berkompromi dalam beberapa isu, antaranya kewarganegaraan. Di sini kita perlu membezakan antara politik dengan budaya, sungguhpun kedua-dua konsep ini tidak boleh dipisahkan sepenuhnya.
Dari segi politik, masyarakat Cina bersetuju untuk mengalihkan kiblat kesetiaan kepada bumi yang sedang dipijak, maknanya dari Benua China kepada Semenanjung Malaya. Namun, dari segi budaya, mereka ingin mengekalkan identiti mereka – sebagai seorang Cina yang boleh berbahasa Cina, dan mengamalkan budaya Cina.
Dengan kata lain, mereka tidak mahu diasimilasikan. Alasannya, mereka tidak yakin bahawa mereka akan dilayan dengan adil dari segi politik, sungguhpun diasimilasikan dari segi budaya. Teori ini bertambah kukuh, lebih-lebih lagi selepas tragedi pembunuhan terhadap warga Cina di Indonesia pada tahun 1998. Kaum minoriti ini tetap dikambing-hitamkan sungguhpun warga Cina di Indonesia telah diasimilasikan sepenuhnya sebelum tahun 1998.
Ia menjelaskan psikologi masyarakat Cina yang “berwaspada” dengan kerajaan. Mereka bimbang usaha untuk menghimpunkan murid-murid di bawah satu bumbung sebagai konspirasi untuk mengubah identiti sekolah Cina. Justeru itu, mereka mempertahankan “autonomi” sekolah Cina melalui lembaga pengurus, yang diwarisi sejak berdekad-dekad lagi.
Jadi timbul persoalan di kalangan masyarakat Melayu, sekiranya sekolah Cina mahu mempertahankan autonominya, mengapa masih memohon peruntukan dana daripada kerajaan? Lebih-lebih lagi, terdapat bangunan sekolah Cina yang kelihatan serba lengkap, malah ada yang nampak “mewah”.
Saya cuba menjelaskan fenomena ini. Masyarakat kaum minoriti biasanya diselubungi “rasa tidak selamat”, kerana bimbang dengan nasib masa depan mereka. Antara jalan keluarnya, mereka melabur dalam pendidikan. Mereka percaya, bahawa seandainya generasi muda mereka dididik dengan baik, mereka tidak akan ditindas. Itu cara mereka menyelamatkan diri mereka. Justeru itu, kutipan derma yang dilancarkan atas nama “pendidikan” akan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Mereka yang menderma, bukan sahaja jutawan, tetapi rakyat jelata yang tidak hidup mewah. Derma kepada pendidikan Cina telah diberi nama jolokan sebagai “cukai kedua” untuk masyarakat Cina.
Di sini kita nampak “kitarannya”. Masyarakat Cina menganggap diri mereka menumpahkan kesetiaan terhadap tanah air ini, tetapi mereka sering dituduh sebagai “pendatang”, “tidak patriotik” dan sebagainya. Fenomena ini menyebabkan mereka rasa tidak dihargai, malah sering dianak-tirikan – lantas zahir penolakan terhadap bumi ini. Apabila ada tawaran yang lebih baik, maka mereka memilih untuk meninggalkan bumi Malaysia.
Fenomena ini sebaliknya juga mempengaruhi masyarakat Melayu, mengukuhkan persepsi bahawa warga berketurunan Cina ini tidak taat kepada negara. Mereka menolak bahasa Melayu, mereka tidak mahu belajar di bawah satu bumbung bersama anak-anak Melayu, dan mereka memilih untuk berhijrah ke luar negeri apabila ada peluang.
Di sini tersepitnya kita. Cina mendahagakan pengiktirafan daripada tanahair ini, namun sering dinafikan dengan tuduhan atau label sebagai “rasis”, “cauvinis”, “pengkhinat” dan sebagainya. Melayu pula menuntut penerimaan bahasa dan budaya Melayu oleh Cina, namun penolakan lantaran kesangsian itu masih ada. Jadi kita berlegar-legar dalam satu kitaran yang tiada jalan keluar.
Saya tidak mempertahankan semua pandangan masyarakat Cina, tetapi pada masa yang sama, saya lebih cenderung untuk meraikan kepelbagaian bahasa dan budaya yang ada di bumi ini. Saya bersetuju bahawa penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi itu penting, bukan kerana ianya bahasa kebangsaan, tetapi ia adalah bahasa yang paling memudahkan komunikasi saya dengan masyarakat Melayu di bumi ini.
Justeru itu, perlu ada pendamaian semua pihak dalam babak politik identiti ini. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi tidak semestinya kita perlu saling melontarkan label “rasis” ketika berdialog. Penguasaan bahasa adalah untuk kita saling memahami. Apa megahnya kita andai bahasa yang kita kuasai ini digunakan untuk menyemarakkan pertelingkahan dan permusuhan?
*Disiarkan di Malaysia Dateline: https://malaysiadateline.com/sekolah-cina-perlu-perdamaian-dalam-politik-identiti/
Facebook Comments