Semenjak PAS menarik saman terhadap Sarawak Report, pelbagai skandal yang melibatkan PAS semakin terbongkar. Dokumen berkepala surat UMNO - kemasukan wang jutaan ringgit kepada PAS juga tersebar, malah dikeluarkan oleh Sarawak Report sendiri.
Audio pengakuan Nik Abduh makan duit UMNO juga tersebar kembali. Ditambah pula, tiga orang - antara yang hadir dalam pertemuan tertutup dalam pengakuan Nik Abduh itu turut menampilkan diri masing-masing. Pengakuan mereka bukan sekadar tersebar di ruangan media sosial – Facebook dan Whatsapp sahaja - malah menjadi bahan berita sehingga masuk dalam beberapa laman web berita terkenal di Malaysia seperti Malaysiakini, Free Malaysia Today dan sebagainya.
Dalam pada itu, YB Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan Timbalan Presiden PAS tampil menuduh orang yang merakam suara itu sebagai pengkhianat. Ketika audio ini mula disebarkan, YB Nik Abduh menafikan bahawa suara dalam audio itu adalah suaranya. Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS, YB Takiyuddin keluar kenyataan mengesahkan bahawa audio suara Nik Abduh itu adalah benar. Dengan itu, ramai yang menyimpulkan bahawa Nik Abduh sudah berbohong dahulu.
Dalam satu ucapan, Ustaz Hashim Jasin yang pernah mengaku bahawa kereta Porsche dibeli atas namanya semasa beliau menjadi ahli parlimen dahulu - tetapi mendakwa dipunyai anaknya – turut mempertahankan tindakan Nik Abduh yang berbohong kepada media. Mursyidul Am PAS itu turut menggunakan beberapa kisah zaman Nabi untuk mengatakan tindakan berbohong itu mengikut “piawaian syariah”.
Walaupun sebelum itu mengakui tidak pernah mendengar audio YB Nik Abduh itu, Haji Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS mengatakan bahawa kandungan ucapan Nik Abduh itu adalah sekadar perbincangan akademik sahaja. Tidak lama kemudian - dalam kenyataan yang lain pula - dalam mempertahankan tindakan Ustaz Nik Abduh, Haji Hadi Awang menyatakan bahawa demi maslahat, berbohong adalah wajib.
Apabila Presiden PAS menjelaskan bahawa Islam tidak menghalang berbohong demi mencapai maslahat, ia melahirkan kekecohan dalam media sosial. Dalam kalangan non-muslim, rata-ratanya terkejut – kerana menyangka wujud konsep bohong dalam agama Islam. Bagi kalangan muslim pula terbahagi kepada dua: ada yang menganggap benar apa yang diungkapkan oleh Presiden PAS itu, malah memberikan hujah agama; di samping satu pihak lagi menolak dan mengkritik keras kenyataan tersebut.
Hujah 1: Tipu daya
Dalam kalangan muslim, terdapat dua sikap terhadap pembohongan Nik Abduh ini: (1) beranggapan bahawa bohong Nik Abduh adalah haram, dan (2) beranggapan bahawa bohong Nik Abduh adalah wajib.
Golongan pertama berhujah bahawa berbohong adalah ciri-ciri munafiq yang dibenci dalam Islam. Ini jelas disebut dalam Hadis bahawa - antara ciri-ciri orang munafiq adalah, apabila bercakap, mereka berbohong.
Golongan kedua pula berhujah, Hadis menyebut bahawa perang adalah tipu daya dan pembohongan. Memandangkan mereka melihat hubungan PAS dalam politik Malaysia diumpamakan perang, menyebabkan mereka menganggap PAS perlu berbohong untuk menang dalam peperangan ini.
Golongan pertama menjawab - dalam Al-Quran, tujuan perang adalah hindari fitnah (Surah al-Baqarah 2 : 193). Ini berbeza dengan isu Nik Abduh. Ini kerana, isu Nik Abduh ini melibatkan penerimaan duit UMNO - sudah pasti lebih mendatangkan fitnah. Justeru itu, pembohongan yang dilakukan oleh Nik Abduh adalah salah.
Hujah 2 - Maslahah
Mereka berhujah lagi dengan kisah seorang sahabat Nabi bernama Ammar bin Yasir sehingga diturunkan ayat al-Nahl ayat 106 - iaitu Ammar bin Yasir diseksa dalam keadaan dia dipaksa murtad. Memandangkan dia mahu diselamatkan dari dibunuh, makanya dia mengungkap bahawa dia murtad, walhal hatinya kekal dengan Islam.
Dalam kisah ini, menampilkan Ammar bin Yasir berbohong - menzahirkan kekufuran, walhal yang disembunyikannya adalah keimanan. Dengan itu, mereka beranggapan bahawa tindakan Nik Abduh itu benar, sepertimana dalam kes Ammar bin Yasir ini.
Jawapan kepada hujah ini - konsep ini sebenarnya ada dalam fahaman syiah. Ia disebut sebagai Taqiyyah (takut dibunuh sehingga dibenarkan berbohong). Pada asalnya, konsep ini adalah menzahirkan ketidak-islaman, dengan menyembunyikan kebaikan (Islam). Ia lahir ekoran suasana masyarakat Arab ketika itu – non-muslim membunuh muslim.
Ini berbeza dengan tindakan Nik Abduh, kerana amalannya terbalik - iaitu menzahirkan kebaikan dengan menyembunyikan kejahatan. Dengan ini jelas bahawa konsep yang diamalkan oleh Nik Abduh ini bukan taqiyyah, tetapi munafiq sepertimana tokoh munafiq pada zaman Nabi yang bernama Abdullah bin Ubai - dia menyembunyikan ketidak-Islamannya dengan menzahirkan kononnya dia beragama Islam.
Dalam kes Nik Abduh, beliau menyembunyikan dari pengetahuan awam amalan kejahatan beliau - menerima duit UMNO. Lalu berbohong atas nama agama, dengan menzahir dakwaan palsu - kononnya suara audio itu bukan suara beliau – yang kemudiannya beliau mengaku bahawa itu adalah suaranya.
Penutup
Mencampur-adukkan polemik politik dengan agama, kadangkala memberi implikasi yang amat besar – iaitu agama akan diperalatkan sesuka hati demi kekuasaan. Dengan sebab itu, lahirlah dakwaan kononnya berbohong sebagai salah satu eleman yang dibenarkan dalam ajaran Islam.
Dakwaan terang-terang sebegini adalah amalan memperalatkan Islam. Ia wajar dihindari. Apatah lagi, amalan sebegini sedikit sebanyak menconteng arang pada wajah Islam. Dengannya, ia akan melahirkan kekeliruan manusia terhadap wajah Islam yang sebenar.
Dalam Hadis, Nabi saw memberitahu bahawa mana-mana pemimpin yang memimpin, lalu dia mati dalam keadaan membohongi rakyatnya, Tuhan akan pastikan dia tidak masuk ke dalam syurga. (al-Bukhari, Hadis no : 7151)
*Disiarkan di Oriental Daily (22 Februari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/279936
**Kredit gambar: Malaysiakini
Facebook Comments