14 Februari berkunjung tiba. Tarikh ini amat terkenal dengan sambutan Hari Kekasih. Pasangan yang bercinta akan menyambutnya dengan saling memberikan hadiah. Ia menjalinkan hubungan kasih sayang antara pasangan – tidak kira mereka yang sudah berkahwin, mahupun yang tidak berkahwin.
Saban tahun, dengan kedatangan sambutan Hari Kekasih, berbagai-bagai komentar muncul dalam wacana umat Islam – bukan sekadar di Malaysia, malah seluruh dunia Islam, terutama di sekitar negara Arab. Malaysia tidak ketinggalan juga untuk berhadapan dengan isu ini. Bagi mereka yang mempunyai sifat prejudis terhadap Barat, sudah pasti dianggap bahawa sambutan hari kekasih ini sebagai terpengaruh dengan Yahudi dan Nasrani. Berbeza dengan mereka yang rasional, mengambil sikap yang agak damai, dan melihat kepada hujah, bukan sentimen dan prejudis.
Perdebatan dalam kalangan ilmuan Islam
Dalam kalangan ilmuwan muslim, terdapat beberapa pendekatan dalam menanggapi sambutan Hari Kekasih ini:-
Pertama, pendapat yang mengatakan ia dilarang dalam agama Islam. Ini adalah pendapat yang paling popular dalam dunia Islam, sama ada di Malaysia – Jabatan Mufti Pahang dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, mahupun di negara Arab seperti Saudi – Fatwa Syaikh Usaimin, salah seorang ulama Saudi yang tersohor dalam dunia.
Kedua, pendapat yang mengatakan ia tidak dilarang. Ini adalah pendapat minoriti umat Islam. Antara yang berpendapat sebegini adalah Syaikh Dr.Ahmad Mamduh, salah seorang ulama dari Universiti al-Azhar.
Bagi pendapat yang melarang sambutan Hari Kekasih, mereka mengemukakan beberapa hujah berikut:
Pertama, sambutan Hari Kekasih berasal dari ajaran Kristian. Malah, kalimah Valentine’s dikatakan berasal dari St.Valentino yang merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol, malah antara orang terpenting dalam menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Dikatakan juga bahawa Ratu Isabella yang menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan Kristian terhadap Islam. Dengan demikian, menyambut Hari Kekasih memberi gambaran ajaran Islam menyerupai ajaran agama lain. Justeru, ia diharamkan.
Kedua, Hadis menyatakan bahawa sebelum Islam, masyarakat Arab sudah mengamalkan sambutan hari raya yang diambil dari masyarakat farsi – nama perayaan itu adalah Nayrus. Lalu, selepas kedatangan Islam, Nabi saw menyatakan bahawa perayaan tersebut diganti dengan dua hari raya yang lebih baik – Aidil Fitri dan Aidil Adha. Dari itu, mereka beranggapan selain dari dua hari raya ini adalah diharamkan dalam Islam.
Bagi tanggapan bahawa sambutan itu tidak dilarang dalam agama, Syaikh Dr.Ahmad Mamduh – salah seorang ulama dari Universiti al-Azhar pula berhujah seperti berikut:
Pertama, dakwaan bahawa sambutan Hari Kekasih ini bermuarakan ajaran Kristian atau kaitan dengan seorang paderi St.Valentino adalah dakwaan yang tidak pernah mempunyai bukti yang kukuh. Ia sekadar cereka yang terkenal dalam banyak tulisan, tetapi sama sekali tidak mempunyai asas.
Kedua, larangan dari menyerupai agama bukan Islam yang dimaksudkan dalam Hadis perlu difahami secara tepat. Dalam komentar beliau, penggunaan kalimah “tasyabbuh” (Melayu: menyerupai), bukan semata-mata bermaksud kelihatan sama, tetapi perlu disertakan dengan niat mahu menjadi seperti mereka. Namun, pada kalangan anak muda yang menyambut Hari Kekasih, mereka tidak menyambutnya dalam maksud hati mereka mahu menjadi Kristian. Justeru itu, sambutan itu tidak boleh dianggap sebagai larangan dalam agama.
Ketiga, walaupun Hadis dinyatakan bahawa Islam menawarkan dua perayaan- Aidil Fitri dan Aidil Adha, ia tidak bermakna sambutan perayaan selain dua ini dilarang dalam agama Islam. Apatah lagi, perayaan tersebut tidak ada kaitan dengan keagamaan, tetapi sekadar sambutan yang diterima secara kebudayaan masyarakat sahaja. Lebih-lebih lagi, di sana terdapat beberapa perayaan yang tidak dianjurkan oleh Nabi, tetapi tetap diamalkan tanpa ia dilarang dalam Islam, seperti sambutan Maulid Nabi, sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan dan sebagainya.
Dr.Ahmad Mamduh tidak keseorangan, malahan Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kiai Ma’ruf Amin turut berpendapat bahawa sambutan Hari Kekasih tidak dilarang. Tetapi, ia boleh jadi larangan andai sambutan itu boleh melanggar adab-adab Syariah, seperti dengan sambutan itu membawa kepada penzinaan, kerosakan moral dan sebagainya.
Penutup
Dari kupasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:
Pertama, dalam kalangan ilmuwan Islam – malah menjadi ikutan bahawa sambutan Hari Kekasih itu ada dua pendekatan: (1) yang melarang, dan (2) yang membenarkan.
Kedua, pendapat yang melarang itu menganggap, sambutan Hari Kekasih bukan sekadar tidak ada dalam Islam, bahkan ia dianggap mengambil dari salah satu jenis perayaan agama Kristian. Justeru itu, ia dianggap haram kerana menyerupai agama lain.
Ketiga, pendapat yang membenarkan pula menjelaskan bahawa dakwaan sambutan Hari Kekasih diambil dari agama Kristian adalah tidak berasas. Malah mereka juga menganggap, sambutan Hari Kekasih tidak jauh beza dengan sambutan hari kemerdekaan, sambutan tahun baru dan sebagainya.
Keempat, walaupun mereka menganggap sambutan itu dibenarkan, mereka tetap beranggapan bahawa sambutan tersebut perlu menjaga aturan Syariah, iaitu jangan sampai dijadikan ruang untuk melakukan zina dan sebagainya.
*Disiarkan di Oriental Daily (14 Februari 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/278885
Facebook Comments