Oleh: Wan Ji bin Wan Hussin
Muqaddimah
Tanggal 12 Febuari mencungkil ingatan kita kepada almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ramai yang bersedih lantaran pemergian almarhum pada 12 Februari 2015. Bukan sekadar muslim, malah non-muslim; bukan sekadar Melayu, malah masyarakat Cina dan India turut merasakan kehilangan tokoh politik Malaysia ini.
Tok Guru Nik Aziz lahir pada tahun 1931, memiliki pendidikan agama Islam yang cukup mendalam dari kecil sehinggalah ke peringkat universiti. Almarhum mula mempelajari ilmu daripada ibunya, Hajah Aminah binti Abdul Majid dan bapanya, Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar ((Hussian Yaqkub, peribadi Tuan Guru, hlmn 39)) ,di samping bersama beberapa orang ulama hebat di Kelantan seperti Tok Khurasan ((Ibid, hlmn 40 – 41)) , Tuan Guru Haji Abbas Besut dan sebagainya. Kemudian almarhum melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Hadis di India dan Pakistan; berakhir di Mesir dalam bidang perundangan Islam.
Pada peringkat awal setelah pulang ke Malaysia, beliau menjadi guru agama. Mengajar di kelas dewasa di samping mengajar Islam di masjid, di pondok yang ditubuhkan oleh bapa almarhum di Pulau Melaka yang merupakan kediamannya sehingga almarhum meninggal dunia. Tidak ketinggalan juga menerima jemputan mengajar di beberapa buah masjid di sekitar negeri Kelantan.
Walaupun tidak terlibat dengan mana-mana parti, syarahan agama almarhum sudah kelihatan tidak bersetuju dengan dasar dan pendekatan UMNO. Justeru itu, pada tahun 1967, apabila ahli parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa), Ahmad Abdullah meninggal dunia, Nik Abdullah bin Arshad (bapa kepada Datuk Nik Mohd Amar, Timbalan MB Kelantan) pun mempelawa Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk bertanding dalam pilihanraya kecil. Almarhum menerima pelawaan tersebut, menang dan kekal sebagai ahli parlimen Kelantan Hilir sehingga tahun 1974. ((ibid, hlmn 75))
Ketokohan almarhum semakin terserlah, ketika menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990. Serangan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr.Mahathir Mohamad melalui media perdana – TV1 dan TV3 ketika itu - kononnya pemerintahan ulama bakal menghuru-harakan negara, kononnya orang pakai kain pelikat tidak mampu mentadbir — kesemua ini sedikit sebanyak mempromosi ketokohan Tok Guru Nik Abdul Aziz di sebaliknya, di depan mata rakyat Malaysia.
Sudut keilmuan
Tok Guru Nik Abdul Aziz mempunyai kemampuan berbahasa Arab dengan baik. Justeru itu, almarhum mempunyai bacaan buku Islam yang agak luas, terutama dalam bidang induk ilmu Islam seperti Tafsir al-Quran, ilmu Hadis dan ilmu fekah.
Walaupun almarhum sering dituduh sebagai berfahaman Wahabi, almarhum mempunyai kemampuan dalam menghuraikan ilmu tasawwuf – walhal tasawwuf adalah sejenis ilmu yang cukup dibenci bagi mereka yang berfahaman Wahabi. Bukan sekadar berkemampuan menghurai, malah boleh dikatakan mengamalkan beberapa amalan tasawwuf dalam kehidupan harian almarhum.
Dari sudut lain pula, antara perkara menarik dari sudut keilmuan Tok Guru Nik Abdul Aziz adalah almarhum mempunyai kemampuan untuk menghuraikan sesuatu perbahasan yang rumit dalam agama Islam dengan laras yang mudah difahami. Di samping mempunyai metode berfikir tersendiri, almarhum juga sering menggunakan pendekatan analogi dalam membahaskan sesuatu perkara yang melibatkan Islam.
Almarhum pernah menjelaskan kepentingan manusia beragama dengan menyatakan bahawa perbezaan antara orang beragama dengan tidak beragama umpama layang-layang. Dalam huraian, almarhum berkata: “Bagi mereka yang beragama, seperti layang-layang yang tidak putus tali; sedangkan orang yang tidak beragama seperti layang-layang yang putus tali.”
“Orang yang ada agama, ia akan terikat kehidupan ini dengan kehendak Tuhan, makanya dia tidak akan rasuah, tidak menzalimi orang, dia akan laksanakan keadilan,” jelas almarhum.
Almarhum turut menganalogikan bahawa orang yang beragama tetapi tidak mengikut ajaran agama seperti kereta yang tiada brek. Menaiki kereta itu memang nampak baik, tetapi ia boleh mengundang bahaya kepada orang yang menaikinya.
Dalam dunia keilmuan Islam, Tok Guru Nik Aziz berhadapan dengan beberapa polemik kontroversi yang menggegarkan masyarakat Kelantan, sehingga almarhum dituduh sebagai orang berfahaman Wahabi, kerana beberapa pandangan almarhum yang berbeza dengan amalan sedia ada dalam masyarakat Kelantan.
Antaranya, almarhum agak kurang selesa dengan amalan tahlil arwah (bacaan kalimah tauhid sempena kematian), amalan talqin kepada si mati (bacaan untuk mengajar orang yang sudah mati untuk mengucap shahadah), amalan berselawat berdiri dan sebagainya; sedangkan semua amalan ini diterima dalam masyarakat Kelantan secara turun-temurun. Apa yang menarik untuk diteliti, Tok Guru Nik Aziz dapat mengatasi perkara itu dengan baik. Almarhum mampu memberikan hujah yang bukan sekadar bertepatan dengan teks Islam, malah logik dan masuk akal.
Contohnya, almarhum telah menyatakan secara terbuka bahawa Islam tidak melarang umat Islam dari memakan tupai. Memandangkan pandangan itu berbeza dengan penerimaan masyarakat Melayu Kelantan turun-temurun, pandangan yang dikeluarkan almarhum itu mencetuskan pertikaian besar. Apabila sampai sesi kuliah agama, almarhum menjawab bahawa tiada dalam nas al-Quran dan Hadis yang melarang dari makan tupai. Lebih-lebih lagi, makanan yang dimakan tupai juga adalah benda-benda elok.
Almarhum turut berhujah dengan menyatakan, masyarakat Melayu Kelantan boleh marah apabila dinyatakan tupai itu halal dimakan, walhal makanan yang dimakan tupai itu adalah benda yang baik; sebaliknya, masyarakat Kelantan boleh terima untuk makan ayam kampung, sedangkan makanan yang dimakan ayam kampung itu, selalunya tidak elok.
Contoh yang lain pula, pada akhir tahun 1990-an, Mufti Saudi ada mengeluarkan satu fatwa bahawa puasa tidak batal dengan sebab air masuk ke lubang telinga. Pada hari Jumaat minggu terbabit, Tok Guru Nik Aziz menyampaikan kuliah tafsir di Dewan Zulkifli seperti biasa – selepas selesai, almarhum membuat komentar terhadap fatwa Saudi tersebut.
Kata almarhum: “Ambo (saya) nak sebut lama dah, tetapi takut berbalah. Tiba-tiba tok peti (mufti) Saudi tak batal puasa, ambo (saya) sokong je la.”
Komentar dari kuliah almarhum itu masuk dalam satu ruangan kecil muka hadapan akhbar Harakah. Kenyataan tersebut mengundang kritikan daripada guru besar Pondok Lubuk Tapah, Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdul Rahman. Kritikan itu sampai ke pengetahuan Tok Guru Nik Aziz. Selang beberapa hari kemudian, Tok Guru Nik Aziz menziarahi Tuan Guru Haji Abdullah di pondok beliau – di Pasir Mas – untuk berbincang.
Hasil perbincangan itu diberitahu kepada pelajar-pelajar pondok yang hadir – saya antara yang hadir ketika itu – dengan menyatakan bahawa pendapat yang mengatakan air masuk ke telinga — pendapat yang mengatakan batal puasa mempunyai asasnya tersendiri; sepertimana pendapat yang mengatakan tidak batal puasa juga mempunyai asasnya tersendiri. Justeru, kedua-dua pendapat tersebut adalah benar.
Setelah Tok Guru Nik Aziz pulang dari Universiti al-Azhar, almarhum mengajar kitab Fiqh al-Sunnah karangan Syed Sabiq. Menurut cerita dari cikgu Muhamed Zainal Abidin bin Hussin yang pernah menyandang jawatan Pengarah Kajian Strategi Kerajaan Kelantan di era Tok Guru menjadi Menteri Besar, bekas Mursyidul Am PAS ini pernah menyebut bahawa cara orang Kelantan memahami Islam adalah (mazhab) syafie – seolah-olah hanya mazhab Syafie yang wujud dalam Islam. Sehinggakan mereka yang berfahaman selain dari Syafie, dianggap seakan-akan tidak beragama Islam. Makanya, Tok Guru Nik Aziz mengajar kitab Fiqh al-Sunnah yang turut memperkenalkan mazhab selain Syafie.
Walaupun pada peringkat awal, Tok Guru mendapat tentangan dari sebilangan rakyat Kelantan sehingga almarhum digelar sebagai Wahabi. Namun, berkat kesabaran dan sikap keterbukaan fiqh yang ditonjol almarhum, sedikit demi sedikit memberi kesan kepada pengamalan fiqh di Kelantan, sehinggakan kini masyarakat Kelantan sudah boleh menerima mazhab selain Syafie sebagai mazhab dalam pengamalan harian.
Pendekatan politik
Walaupun mengekalkan pakaian dan perwatakan ulama, dari sudut politik, Tok Guru Nik Aziz mempunyai kebijaksanaan, berjiwa terbuka dan amat berstrategi dengan sepak terajang politik.
Semasa konsert Tautan Kasih anjuran kerajaan Kelantan menjemput Mawi sebagai tetamu persembahan, Dewan Ulama PAS Pusat yang diketuai Allahyarham Ustaz Harun Taib tidak bersetuju. Bagi menolak pandangan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu, Tok Guru Nik Aziz berhujah dengan menyatakan bahawa Mawi itu umpama cacing bagi orang yang memancing ikan – apa yang kita hendak adalah ikan, bukan cacingnya. Maknanya, dengan menjemput Mawi, ia dapat menarik ramai artis untuk menyokong PAS.
Antara contoh lain, seperti dalam peringkat awal kemenangan Pakatan Rakyat di beberapa negeri, antara isu yang menjadi bualan rakyat adalah isu cadangan tulisan bahasa Mandarin di beberapa tempat pelancongan di Pulau Pinang. Dalam satu ceramah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Tok Guru Nik Aziz memberi komentar dengan menggunakan logik induktif (dalam mantiq disebut Istiqra’).
Kata almarhum, “Di Malaysia, dibenarkan radio Cina. Di Malaysia, ada suratkhabar Cina. Di Malaysia, ada filem Cina. Tiba-tiba, tidak boleh buat papan tanda tulisan Cina. Tidak rasa pelik ke?”
Dengan pengaruh politiknya, almarhum berhujah untuk memastikan amalan Islam tidak dicampur-adukkan dengan tradisi Melayu. Justeru itu, bagi orang yang meneliti dan memerhati secara dekat pendekatan Tok Guru Nik Aziz dalam membawa Islam, jelas almarhum tidak terikat dengan pengaruh sesuatu aliran atau kaum tertentu. Contohnya, almarhum pernah menyindir amalan “lenggang perut” bagi perempuan mengandung yang menjadi kepercayaan dalam masyarakat Kelantan.
“Kita kata lenggang perut bagi anak kita comel. Anak Cina jauh lebih comel dari anak kita, tak buat lenggang perut pun,” sindir Tok Guru Nik Aziz dalam satu kuliah almarhum.
Ternyata wajah Islam dalam warna politik yang cuba diketengahkan oleh Tok Guru merentasi batas kaum – agenda almarhum amat kelihatan bersifat rahmat sekalian alam, tanpa melibatkan perkauman Melayu sempit. Tok Guru Nik Aziz pernah memuji bangsa Cina, bahkan pernah menyebut tidak kisah Cina untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa akan datang - asalkan dia muslim dan adil.
Bahkan, almarhum selalu mengungkap: “Kita semua ini asal dari Tok Adam (nabi Adam). Kita adalah adik-beradik. Kita berbeda sebab faktor geografi.” Sikap sebegitu dipamerkan dalam bentuk yang lebih jelas, apabila almarhum sendiri mencadangkan Kelantan agar dibina sebuah masjid Beijing di Rantau Panjang.
Tanpa boleh diabaikan bahawa kehebatan Tok Guru Nik Aziz juga ada kaitan dengan penasihat-penasihatnya yang bertanggungjawab. Di samping Husam Musa dan cikgu Wan Rahim, Haji Annual Bakri boleh dianggap antara orang yang banyak memberikan inspirasi terhadap pendekatan politik Tok Guru Nik Aziz. Dengan minat yang mendalam dalam bidang seni dan sastera, dan berjiwa agak kesufian, menampilkan keserasian antara Haji Annual Bakri dengan Tok Guru Nik Aziz dalam membawa agenda politik.
Sebagai kawan, secara peribadi saya menilai Haji Annual Bakri seorang yang amat berminat dalam bidang seni dan jiwanya agak kesufian. Beliau pernah mengungkapkan satu perkataan yang menyebabkan saya terkesima, iaitu apabila beliau berkata, “Gula ini rasa manis, sebab kita letak di lidah. Kalau letak pada tangan, kita tidak dapat tahu rasa manisnya. Begitu juga zikrullah semata-mata di lidah, tanpa di hati.”
Pendekatan kesufian dan kebijaksanaan dalam membuat analogi, saya berkeyakinan bahawa perbincangan dan perkongsian idea dan pandangan – sedikit sebanyak memberi kesan dalam Tok Guru Nik Abdul Aziz ketika membuat keputusan politik. Antara contohnya, isu yang melibatkan Arif Fahmi, menantu Tok Guru Nik Aziz dalam isu PMBK (Perbandanan Menteri Besar Kelantan) – ketika itu, timbul isu apakah menantu Tok Guru itu perlu dilucutkan jawatan, atau perlu dikekalkan jawatannya dalam PMBK. Ketika diminta untuk memberikan pandangan, Haji Annual Bakri berkata kepada Tok Guru, “Doktor gigi yang mempunyai banyak Phd pasal gigi, tetap dikira sebagai doktor yang salah, jika dia cabut gigi yang salah.” Rentetan daripada itu, menantu Tok Guru, Arif Fahmi dilucutkan dari jawatannya.
Epistemologi Tok Guru Nik Aziz
Antara perkara yang jarang dibincangkan adalah epistemologi — cara dan gaya Tok Guru Nik Aziz berfikir. Secara dasarnya, saya dapati bahawa almarhum mempunyai beberapa gaya berfikir; seperti berfikir positif, kemampuan mengimbangi antara berfikir negatif dengan berfikir positif, sentiasa mencari nilai terhadap sesuatu kejadian, malah andai diperhatikan pada ucapan almarhum, agak kerap juga almarhum menggunakan pendekatan mantik induktif – sama ada dalam tradisi rasional, mahupun dalam tradisi sufisme.
Gaya berfikir pertama:
Berfikir positif adalah - apabila seseorang itu melihat sesuatu, dia akan berfikir dari sudut yang baik, berguna, menguntungkan, berfaedah, mengapa ia berjaya, mengapa ia akan dapat dilaksanakan. Gaya berfikir begini menyebabkan dia sentiasa mencari pelbagai peluang dan alasan yang logik supaya percaya sesuatu itu boleh dilaksanakan, berjaya dan dapat menghasilkan keuntungan. Contohnya, apabila dia melihat ular, dia tidak berfikir untuk ular itu dibunuh, sebaliknya dia akan berfikir bagaimana ular itu boleh dijadikan sumber kewangan.
Dalam kes Tok Guru Nik Abdul Aziz, Husam Musa pernah bercerita bahawa suatu hari almarhum ternampak anak-anak muda merempit. Tok Guru Nik Aziz pun komen, bahawa anak-anak muda yang merempit ini kelihatan pandai berkenaan enjin. Jika berjaya dibentuk, anak-anak muda ini boleh jadi pereka kenderaan bermutu.
Gaya berfikir kedua:
Mencari jalan keluar ketika wujud sesuatu kesalahan yang terjadi. Ia dimulai dengan berfikir secara negatif - iaitu mementingkan kebenaran dan realiti, di samping melihat sesuatu dengan ancaman. Pun begitu, berfikir negatif ini tidak boleh terlalu kuat. Tetapi, perlu diimbangi berfikir positif. Contohnya, apabila dilihat basikal yang laju boleh membawa bahaya, lantas ia memerlukan sistem brek yang lebih baik.
Dalam kes Tok Guru Nik Aziz, gaya berfikir itu wujud pada diri almarhum. Maka dengan sebab itu, walaupun pada tahun 1990 – pada peringkat awal almarhum menjadi MB Kelantan, almarhum mengharamkan permainan snooker; tetapi pada tahun 2008, almarhum sendiri membenarkan permainan itu. Ketika ditanya wartawan, Tok Guru Nik Aziz menjawab bahawa di awal dirinya menjadi MB Kelantan, snooker amat sinonim dengan judi. Dengan itu, almarhum melarang permainan tersebut. Namun, lama-kelamaan rakyat Kelantan sudah faham bahawa snooker adalah sukan yang baik, bahkan boleh sahaja main tanpa melibatkan judi. Apabila masalah judi dalam snooker dapat diatasi, almarhum pun mengizinkan permainan itu dalam negeri yang ditadbirnya.
Gaya berfikir ketiga:
Berfikir nilai - kadangkala luar dari kerangka rasional dan logik; kadangkala ia melibatkan sentimen dan jiwa manusia. Contohnya, mangkuk tandas – ia tidak digunakan untuk letak makanan, walaupun ia dibasuh dengan beratus kali. Dari sudut logik dan rasional, setelah dibasuh, ia sudah pasti bersih. Tetapi, dari sudut nilai, bersih macam mana pun mangkuk tandas tersebut, ia tidak akan diterima untuk diletakkan makanan.
Dalam banyak siri ucapan Tok Guru Nik Aziz, amat kelihatan bahawa almarhum sentiasa mencari sesuatu nilai yang baik terhadap sesuatu kejadian. Contohnya, almarhum pernah berkata: “Kita tidak dijadikan diri kita dan (kita tidak) tentukan untung nasib kita sendiri. Kita mahukan anak lelaki, tiba-tiba kita dikurniakan anak perempuan. Kita mahukan yang cerdik, tahu-tahu dapat yang bebal. Kita mahukan yang baik, sedar-sedar anak kita dikurung di balai polis. Kita kira-kiranya mahu kaya, tapi sampai ke hari ini, masih miskin. Ini menunjukkan, kita ada Tuhan dan kita perlukan Tuhan 24 jam. 24 jam kita diuji Tuhan.”
Gaya berfikir keempat:
Menggunakan pendekatan mantik induktif – iaitu membuat kesimpulan umum berdasarkan kesamaan unsur pada setiap “particular”. Seperti kita kata, puasa ada rahmatnya; solat ada rahmat; zakat ada rahmat. Apabila puasa, solat dan zakat adalah perkara Islam, makanya Islam adalah agama rahmat.
Dalam kes Tok Guru Nik Aziz, almarhum pernah berkata, “Orang miskin pun Dia datangkan bala (ujian). Orang kaya pun Dia datangkan bala (ujian). Negeri dan negara pun sama (datangkan ujian). Orang baik pun kena, orang jahat pun kena; semua ini kerana Allah suka menguji hambaNya.”
Gaya berfikir kelima:
Kaedah debat ada menyebut, “Jika itu adalah jawapan kamu, maka itu juga adalah jawapan aku ((
Dalam sebutan Arab: فما هو جوابكم فهو جوابنا)) .”
Contoh gaya berfikir ini, seperti satu kejadian yang melibatkan Imam Abu Hanifah, iaitu diceritakan bahawa ada beberapa individu dari kalangan yang berfahaman khawarij tanya soalan kepada Abu Hanifah dalam keadaan pedang dihunus ke lehernya. Sepertimana yang kita tahu, fahaman khawarij meletakkan asas bahawa orang yang berzina dikira sebagai terkeluar dari Islam – kafir.
Khawarij terbabit mahu Imam Abu Hanifah menjawab soalan selaras dengan kehendak mereka. Jika tidak, mereka mahu memancung kepala imam Abu Hanifah.
“Seorang wanita yang berzina sehingga mengandung. Apakah agamanya? Muslim atau kafir?”tanya si Khawarij tersebut.
Abu Hanifah tanya balik, “Apa agama wanita itu?”. Dijawabnya, “Islam”.
Abu Hanifah pun berkata, “Ya, kamu sendiri yang menjawabnya.”
Dalam kes Tok Guru Nik Aziz pula, almarhum pernah bercerita bahawa semasa dirinya baru pulang dari Mesir, pengamatannya terhadap masyarakat Kelantan mendapati – apabila mereka selesai dari solat berjemaah, mereka akan berdoa sebanyak dua kali.
Mengikut pengajian almarhum, berdoa sebanyak dua kali tidak pernah didapati dalam amalan Nabi Muhammad dan sahabat, malah para imam mazhab. Untuk mengatasi perkara itu, almarhum tidak menegur amalan tersebut dalam syarahan atau ceramah, sebaliknya almarhum mengatasinya dari sudut perbuatan, iaitu ketika almarhum menjadi imam solat, apabila selesai, almarhum berdoa hanya sekali. Tok Guru Nik Aziz menjelaskan, sengaja almarhum melakukan sedemikian agar ditanya. Tidak lama kemudian, memang ada seorang yang bertanyakan almarhum, mengapa almarhum tidak melakukan doa selepas solat seperti kebiasaan masyarakat Kelantan – doa sebanyak dua kali?
Almarhum bertanya balik kepada orang yang bertanya itu, “Kamu berdoa dua kali tu pula, kenapa?” Apabila tidak dapat dijawab, almarhum terus menjelaskan berkenaan amalan doa mengikut aturan Nabi Muhammad saw.
Almarhum pernah bercerita – antara amalan masyarakat Kelantan yang almarhum anggap tidak pernah diajar oleh Nabi adalah berselawat kepada Nabi Muhammad saw dalam keadaan berdiri. Amalan ini dilakukan ketika sambutan Maulid Nabi dan ketika bercukur kepala bayi sempena mendapat kelahiran yang dikenali sebagai “tahnik”.
Tok Guru Nik Aziz menjelaskan, andai ditegur, dikhuatiri melahirkan kemarahan masyarakat. Dengan itu, ketika ada sebarang majlis melibatkan selawat kepada Nabi, almarhum tetap hadir. Namun, semasa sampai sesi berselawat, almarhum tidak berdiri sepertimana orang ramai. Almarhum berkata, “Pisah (sengaja) ambo (saya) tidak berdiri, sebab nak bagi orang tanya.” Apabila ada orang bertanya, kenapa Tok Guru tidak berdiri, almarhum bertanya balik, “Doh bakpo (Kenapa) demo (kamu) berdiri?”
Gaya berfikir keenam:
Tok Guru juga menggunakan pendekatan logik tanaqudh (terjemahan Melayu bermaksud pertembungan). Contoh tanaquhd, “Jika hujan turun, jalan mesti basah. Tetapi, jalan tidak basah. Maknanya, hujan tidak turun.”
Dalam kes Tok Guru Nik Aziz, almarhum pernah berkata; “Orang dok cakap, lenggang perut (masa bersalin) nak bagi anak jadi cantik. Anak Cina, jauh lebih comel (cantik) dari anak kita, tak lenggang perut pun?”
Ungkapan almarhum ini seakan-akan mahu mengatakan: “Lenggang perut, nanti dapat anak cantik. Tetapi, anak Cina lebih cantik daripada anak Melayu tanpa mereka lenggang perut. Bermakna, nak anak cantik bukan dengan cara lenggang perut.”
Gaya berfikir ketujuh:
Pendekatan logik sufism – iaitu menggunakan logik untuk melahirkan elemen zaouq (terjemahan Melayu adalah rasa atau intuisi). Contohnya, dalam kes Saidina Umar membawa tawanan perang kepada Nabi. Ada seorang ibu sedang memberikan susu kepada anaknya. Kemudian, ada seorang budak menangis. Ibu itu ambil budak dan susukan juga. Lalu Nabi saw bertanya, “Apakah ibu ini sanggup campak anaknya ke dalam api?” Sahabat jawab, “tidak sanggup”. Lalu Nabi saw nyatakan, “Allah lebih sayangkan hambaNya, lebih dari ibu ini sayangkan anaknya. ((
al-Bukhari, hadis no : 5999 «لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا»)) ”
Dalam kes Tok Guru Nik Aziz, ada beberapa kenyataan almarhum yang mempunyai pendekatan logik sufism, seperti almarhum pernah berkata: “Saya takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat yang Amat Berhormat, tahu-tahu di akhirat kelak, gelaran itu menjadi terbalik. Daripada al-Aziz (terjemahan Melayunya kemulaan) menjadi yang amat hina; daripada yang amat setia menjadi yang amat derhaka.”
Juga pernah almarhum berkata: “Nyawa kita ini macam api lilin. Bila-bila masa boleh terpadam.”
Penutup
Tok Guru Nik Aziz adalah seorang tokoh yang menarik untuk dikaji, terutamanya dari sudut pemikiran dan cara almarhum membuat sesuatu keputusan politik. Ia menjadi menarik kerana almarhum seorang yang kelihatan agak konservatif dalam berpakaian, tetapi beberapa keputusan politik almarhum merentasi kebudayaan masyarakat Melayu muslim di Malaysia.
Di samping keberaniannya menolak pendekatan rasisme, almarhum boleh dikatakan antara yang terawal di Malaysia untuk menolak sebarang elemen-elemen yang menampilkan kekastaan yang berasaskan kaum. Maka dengan sebab itu, almarhum berulang kali mengungkapkan bahawa almarhum boleh menerima calon Perdana Menteri dari orang yang berbangsa Cina, asalkan dia muslim sahaja. Almarhum antara yang terawal menolak amalan penamaan “bin Abdullah” kepada non-muslim yang memeluk agama Islam dan banyak lagi.
Tok Guru Nik Aziz antara tokoh yang cuba mengubah pradigma muslim di Malaysia dalam amalan muslim menziarahi rumah ibadat non-muslim. Sebelum itu, amalan tersebut hanya dianggap sebagai menyalahi agama, tetapi tindakan almarhum hadir di rumah-rumah ibadat Buddha bagi masyarakat Siam di Kelantan telah membuka satu sudut pandang bahawa Islam bukan agama yang memusuhi masyarakat non-muslim.
Pendekatan almarhum ini, walaupun mengundang kontroversi, tetapi sedikit sebanyak membuka wacana baru dalam lingkungan muslim dalam membawa agenda keharmonian antara kaum dan sesama penganut agama di Malaysia.
Facebook Comments