Print Friendly, PDF & Email

Ada perbezaan besar antara Islam, dengan penafsiran terhadap Islam. Sifat Islam adalah wahyu yang datang dari Tuhan. Namun, satu lagi adalah penafsiran terhadap Islam – sifatnya tidak terlepas daripada proses berfikir dan pengalaman hidup orang yang menafsirkan Islam.

Masalah timbul apabila Islam yang diamalkan dalam dunia Islam kini lebih kepada penafsiran yang sudah bercampur dengan sentimen agama dan politik. Di negara Arab, sudah ada penafsiran agama bercampur dengan sentimen kearaban. Demikian juga di Pakistan, Indonesia, di malah Malaysia.

Di Malaysia, ada dua istilah yang amat sinonim, iaitu kalimah Islam dan Melayu. Apabila disebut muslim, yang tergambar adalah Melayu. Demikian juga di sebaliknya. Kepercayaan ini ada tempangnya - Islam adalah agama yang dipercayai bersumberkan wahyu Tuhan, sedangkan Melayu adalah bangsa yang berasaskan keturunan.

Di Indonesia, boleh sahaja kita berjumpa dengan Melayu yang beragama Hindu dan Kristian. Demikian juga di Filipina. Malah di Malaysia, terdapat golongan berketurunan India dan Cina yang beragama Islam. Maknanya, Melayu tidak semestinya beragama Islam; dan beragama Islam tidak semestinya berketurunan Melayu.

Gabungan antara Islam-Melayu, kadangkala melahirkan banyak salah faham terhadap Islam. Lebih-lebih lagi, apabila wujudnya beberapa badan - samada parti politik mahupun NGO, yang sering mengangkat sentimen Islam - Melayu di tengah-tengah masyarakat. Kesannya amat buruk, iaitu melahirkan prejudis berasaskan kaum dan agama sesama warga negara.

Memahami Islam

Jikalau seseorang berpenyakit, maka menjadi tanggungjawab dirinya untuk diubati. Demikian juga prejudis sesama warga negara yang merupakan penyakit masyarakat. Lantaran daripada itu, Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA telah bekerjasama dengan Tan Kah Kee Foundation untuk mengadakan kursus “Mengenali Islam dan Muslim” bagi menghilangkan salah faham yang wujud dalam masyarakat Malaysia – terutama antara muslim dengan non-muslim.

Sejak pulang dari luar negara, kebiasaan kelas pengajian Islam yang saya kendalikan hanya melibatkan masyarakat muslim. Namun kali ini berbeza dari kebiasaan yang bukan sekadar dapat mengenali teman-teman berketurunan Cina, malah saya dapat menjelaskan kepada teman-teman non-muslim berkenaan Islam.

Penjelasan saya berkenaan Islam kemungkinan tidak sepertimana yang dilakukan pendakwah Islam lain - mereka lebih cenderung menceritakan perkara yang positif sahaja. Penjelasan saya kali ini lebih bersifat berterus-terang dan tanpa berselidung, serta mengakui sebarang kelemahan yang terjadi dalam sejarah umat Islam dari sudut politik dan fenomena muslim. Untuk saya, keyakinan terhadap agama perlu berpijak pada sikap jujur terhadap fakta.

Mendengar soalan dari hadirin dalam empat siri kuliah, saya dapati selama hari ini teman-teman yang berbangsa Cina telah mendapat gambaran yang salah berkenaan beberapa perkara yang melibatkan agama Islam. Mungkin mereka mendapat gambaran sebegitu kerana Islam di Malaysia banyak dikaitkan dengan kaum (baca: Melayu) dan parti politik.

Antara misalnya, berkenaan konsep Negara Islam - sebenarnya, bukan sekadar masyarakat Cina, malah masyarakat Melayu dan muslim di dunia pun menganggap bahawa ia wujud dalam teks suci Islam. Hakikatnya, ia tidak lebih sekadar satu konsep yang direkacipta oleh ulama Islam yang terlibat dalam gerakan Islam - mereka mendambakannya di atas kejatuhan dinasti umat Islam yang berdiri sejak sekian lama.

Prejudis kerana tidak kenal

Dalam al-Quran terdapat satu ayat -Surah al-Hujurat, ayat 13- menyatakan bahawa Allah telah menciptakan manusia itu berasal dari lelaki dan perempuan. Dari dua jantina berbeza ini, menyebabkan manusia beranak dan berketurunan sehingga manusia menjadi berpuak, berkabilah dan beretnik. Dengan kepelbagaian itu, Al-Quran menekankan agar manusia mengamalkan perbuatan “saling mengenali”.

Kepelbagaian kaum, etnik dan anutan agama - semua ini tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan. Kepelbagaian bukan asas permusuhan, tetapi boleh melahirkan kebijaksanaan. Apatah lagi, setiap bangsa mempunyai hikmah dalam budaya masing-masing, yang sudah tentu dengan silang budaya, manusia dapat berkongsi kebijaksanaan.

Berbeza dengan apa yang diharapkan – kepelbagaian sering dijadikan alasan permusuhan. Dimulai dengan prejudis yang berakhir dengan kebencian. Semua ini terjadi, kerana tidak ada silang budaya; setiap warganegara hanya mahu memahami budaya sendiri, tanpa cuba memahami budaya pihak lain.

Dengan sebab itu, program “Memahami Islam dan Muslim” diadakan – sebagai usaha ke arah menghilangkan prejudis sesama warga negara Malaysia. Apatah lagi, masih ramai lagi muslim di Malaysia tidak berasa bertanggungjawab dalam memberikan gambaran sebenar terhadap Islam. Mereka masih warnakan unsur kaum dan sentimen politik kepartian dengan agama. Dengan sebab itu, amat ramai non-muslim di negara ini masih kabur terhadap maksud Islam.

Penutup

Negara aman apabila penduduknya saling berkasih sayang, saling membantu, saling menghormati, tidak kira apa bangsa, anutan agama dan jantinanya. Tetapi semua ini boleh hancur, jika wujud prejudis sesama warga negara.

Sebab itu, kesediaan masyarakat Cina –juga non-muslim untuk memahami Islam wajar dipuji. Dalam kalangan muslim di Malaysia, sering sangat menuduh non-muslim sebagai anti-Islam, walhal apa yang berlaku dalam realiti, mereka kelihatan bersungguh-sungguh untuk belajar dan nak mahu mengenali Islam. Muslim pula, tidak sewajarnya sekadar mendabik dada sebagai baik, tetapi tidak ada kesediaan untuk mendengar dan memahami berkenaan agama lain.

Dengan itu, secara peribadi saya pernah berfikir berkali-kali – untuk diwujudkan amalan ziarah antara rumah ibadat, seperti muslim menziarahi tokong, kuil atau gereja. Demikian juga non-muslim menziarahi masjid dan surau. Tujuannya untuk menjalinkan budaya saling mengenali, seterusnya terwujud warga negara yang saling lengkap-melengkapi.

*Disiarkan di Oriental Daily (1 Mac 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/280915?fbclid=IwAR1Dw1nfBS5WYuv7yMSAF-c9ih4VkxLBIYQCVZaO-vq3bMgEj0MhQ9b4dyk

**Kursus “Memahami Islam dan Muslim” akan diteruskan di Pulau Pinang, anjuran bersama SAUDARA dan Ruang Kongsi, dengan ustaz Wan Ji bin Wan Hussin sebagai pensyarah. Empat sesi akan dijalankan, dengan dua sesi (9:30am-12.00pm, 2.00pm-4.30pm) setiap hari (16 Mac dan 17 Mac 2019). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Low (019-6652477).

Facebook Comments