Print Friendly, PDF & Email

Memanggil non-muslim sebagai kafir adalah suatu kebiasaan masyarakat muslim di dunia, terutama di Malaysia. Namun begitu, satu organisasi ilmuwan Islam terbesar dan tertua di dunia, Nahdatul Ulama Indonesia (NUI) mengeluarkan satu pesanan baru-baru ini – jangan lagi memanggil non-muslim sebagai kafir. Cukup dipanggil sebagai non-muslim sahaja.

Pandangan NUI itu mendapat respon besar dari kalangan umat Islam di Indonesia - tidak ketinggalan juga muslim di Malaysia. Ada yang menyokong, malah tidak kurang juga yang membantah.

Cadangan NUI ini bukan perkara baru. Dalam tempoh hampir 500 tahun dahulu, seorang ulama dari Mesir bernama Ibn Nujaim al-Misri pernah mencadangkan keperluan undang-undang – hukuman takzir - kepada muslim yang memanggil non-muslim – khususnya Yahudi dan Nasrani – dengan panggilan “Wahai Kafir”. Pada beliau, memanggil “wahai kafir” kepada orang Yahudi dan Nasrani boleh menyebabkan hati mereka terluka, lantas menjejaskan hubungan sesama warga negara.

Pada tahun 2004, cadangan hampir sama juga pernah diluahkan oleh ulama terkemuka dunia, Dr.Yusuf al-Qaradawi yang turut berasal dari Mesir. Apa yang membezakannya dengan Ibn Nujaim, cadangan beliau itu tidak sampai perlu menetapkan undang-undang, tetapi cukup sekadar mekanisme mewujudkan hubungan baik antara warga muslim dan non-muslim.

Kafir

Dalam pemahaman al-Quran dan Hadis, kalimah kafir memberi maksud yang amat negatif – ia merujuk kepada orang yang melakukan kejahatan dan tidak menunaikan tanggungjawab agama — tidak kira sama ada mereka adalah penganut Islam, mahupun yang tidak menganut agama Islam.

Justeru itu, al-Quran menyatakan bahawa orang yang melakukan kezaliman dikira sebagai kafir (Surah Al-Fath 38:29), orang yang tidak menunaikan ibadat haji sebagai kafir (Surah ali-Imran 3:97), orang yang tidak menunaikan solat sebagai kafir (hadis Tarmizi:2621(, orang yang berbunuhan sesama sendiri sebagai kafir (al-Bukhari: 48) dan banyak lagi.

Walau bagaimana pun, masalah berlaku apabila penafsiran kalimah “kafir” dalam budaya masyarakat Melayu tidak berasaskan al-Quran dan Hadis. Penafsiran kafir itu tidak lebih sekadar penerimaan persepsi yang diterima turun temurun. Dengan sebab itu, pemahaman kalimah “kafir” itu ditujukan kepada penganut agama selain Islam sahaja.

Kira-kira 900 tahun yang lalu, seorang ulama Islam terkemuka dunia yang berasal dari Iran, al-Imam al-Ghazali pernah menjelaskan bahawa, di samping orang-orang yang jahat, gelaran kafir tidak boleh diberikan kecuali terhadap orang yang menentang setelah diberikan penjelasan yang mantap dan bijaksana. Kupasan beliau ini amat selaras dengan ayat al-Quran - Surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.

Maka dengan sebab itu, beliau mengklasifikasikan non-muslim itu kepada dua: (1) non-muslim yang kafir, dan (2) non-muslim yang tidak kafir.

Dengan sebab itu, difahami dari kupasan beliau bahawa bukan semua non-muslim itu adalah kafir. Maknanya, apabila didapati amat ramai non-muslim yang mempunyai akhlak yang baik, etika yang tinggi, menghormati kepelbagaian anutan agama, malah mempunyai nilai kemanusiaan yang jauh lebih baik dari kebanyakan muslim.

Al-Quran tidak panggil “Wahai Kafir”

Dr.Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama terkemuka yang berasal dari Mesir dan kini menetap di Qatar turut memberi komentar dalam hal ini, melalui salah sebuah karya besar beliau. Menurut ceritanya, karya beliau kemukakan ini sebagai respon terhadap fenomena Islamphobia – iaitu rentetan dari serangan 11 September pada tahun 2001.

Dalam karya tersebut, beliau menjelaskan berkenaan penolakan terhadap amalan pengganasan (terorisme) yang melibatkan orang Islam. Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan beberapa perkara penting berkenaan hubungan harmoni dalam kehidupan antara muslim dengan non-muslim. Dengan itu, beliau mencadangkan agar tidak lagi digunakan panggilan “kafir”, sebaliknya digantikan dengan non-muslim; malah, digantikan panggilan “zimmi” kepada panggilan “warganegara”.

Menarik untuk direnung, walaupun pandangan beliau itu tidak disetujui ramai ulama Islam di negara Arab, beliau tetap mempertahankan pandangan beliau dengan beberapa hujah. Antaranya - dijelaskan bahawa al-Quran tidak pernah memanggil masyarakat non-muslim dengan panggilan kafir kecuali terhadap mereka yang mempunyai sikap berlawan dan bermusuhan.

Dalam komentar beliau lagi - apabila memanggil warga non-muslim yang baik, malah jauh dari melakukan kejahatan, al-Quran akan menggunakan panggilan “Wahai Manusia”, atau “Wahai Ahli Kitab”, atau “Wahai Anak Adam”.

Penutup

Dari penjelasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, panggilan “kafir” dari sudut bahasa al-Quran mengandungi maksud negatif – merujuk kepada amalan kejahatan, kezaliman dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh Tuhan.

Kedua, memandangkan terdapat non-muslim yang baik, makanya tidak wajar gelaran “kafir” itu diberikan kepada warga non-muslim secara umum. Maka dengan sebab itu, NUI mencadangkan agar tidak lagi dipanggil warga non-muslim dengan panggilan “kafir”.

Ketiga, sebenarnya pandangan NUI ini bukan perkara baru. Ratusan tahun yang lalu, ia pernah dikemukakan dari beberapa orang ulama terkemuka dunia, seperti Ibn Nujaim al-Misri, al-Imam al-Ghazali. Di samping NUI, tokoh terkini yang mengemukakan pandangan ini adalah Dr.Yusuf al-Qaradawi.

Keempat, walaupun mendapat tentangan, tetapi ia dilihat bertujuan untuk mewujudkan hubungan harmoni dan menghindari prejudis antara muslim dan non-muslim dalam hidup aman damai.

*Disiarkan di Oriental Daily (8 Mac 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/281864

Facebook Comments