Print Friendly, PDF & Email

Beberapa tahun lalu, seorang penganut Hindu mencadangkan agar muslim tidak menyembelih binatang korban, terutamanya lembu di ruang awam pada Hari Raya Korban, walhal amalan itu telah dilakukan sejak sekian lama.

Ketika itu seorang wartawan meminta pandangan saya. Saya menjelaskan bahawa sikap saling menghormati dan menjaga keharmonian sesama warga negara yang wujud dalam masyarakat berbilang agama wajib menjadi teras dalam pemikiran rakyat Malaysia. Justeru itu, cadangan penganut Hindu agar sembelih korban yang menjadi ritual tahunan agama Islam tidak dilakukan secara terbuka, dikhuatiri akan mencungkil reaksi muslim untuk mencadangkan agar sambutan Thaipusam yang merupakan ritual tahunan agama Hindu di Batu Caves juga dilarang.

Dalam bab agama, apabila sentimen diusik, kebanyakan masanya rasional terpaksa mengalah. Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh mencetuskan prejudis sesama masyarakat, wajar dielak sama sekali.

Hina Nabi

Menghina mana-mana agama adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku. Muslim wajib hindari dari menghina agama non-muslim, demikian juga non-muslim terhadap agama Islam. Amat menyedihkan, perkara sebaliknya yang berlaku dalam bulan ini – terdapat non-muslim yang menghina Nabi Muhammad, sementara ada juga muslim yang menghina agama Hindu.

Setakat ini, pesalah non-muslim yang menghina Islam telah dijatuhkan hukuman – penjara 10 tahun 10 bulan. Di pihak pesalah muslim pula, perbicaraan masih belum dimulakan.

Dalam keadaan ini, saya bimbang wujud perasaan tidak puas hati terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan kepada muslim nanti. Malah kita boleh membayangkan – jika dijatuhkan hukuman yang kurang dari kadar 10 tahun 10 bulan, dibimbangi non-muslim tidak akan berpuas hati; jika dijatuhkan hukuman lebih dari kadar 10 tahun 10 bulan, dibimbangi muslim pula yang tidak berpuas hati. Kalau ini keadaannya, prejudis sesama warga negara yang berbeza agama semakin menebal.

Maka dengan sebab itu, di samping pandangan bekas mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya yang menyatakan hukuman 10 tahun 10 bulan penjara itu sebagai keterlaluan, pandangan mufti Pulau Pinang, Dr.Wan Salim yang menekankan pendekatan pendidikan dan memupuk kesedaran diri dalam atasi perkara ini adalah wajar diberi perhatian penting.

Pada saya, bukan kepada pesalah sahaja, malah setiap warga negara Malaysia dalam apa jua anutan agama dan apa jua bangsa dan kaum; kita semua perlu ada rasa tanggungjawab dan kesedaran bahawa kita adalah rakyat Malaysia – hubungan kita umpama hubungan adik-beradik; wajib saling menghormati, dan wajib menjaga perasaan sesama kita.
Rasa bertanggungjawab ini, tidak cukup sekadar pembentukan polisi dan dasar dari sudut agama dan pendidikan oleh kerajaan, bahkan setiap rakyat perlu menanam sikap ini dalam diri mereka.

Silibus Pendidikan Islam

Dalam isu penghinaan terhadap Nabi, setelah diteliti, saya dapati penghinaan itu pada topik yang konsisten - melibatkan isu perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisyah yang kononnya Aisyah ketika itu masih berumur kanak-kanak. Lantas, berlaku tuduhan kononnya Nabi seorang yang pedofilia.

Sebenarnya, perkara ini sudah lama saya fikirkan. Apatah lagi, tuduhan terhadap Nabi dalam isu berkahwin dengan Aisyah ini sudah berlaku di banyak negara, termasuk di beberapa buah negara Arab.

Justeru itu, dalam satu pertemuan untuk membincangkan agenda reform institusi Islam yang dianjurkan YB Saari Sungib yang bertempat di Kampung Baru pada 26 Januari yang lalu, secara terang-terang saya mencadangkan agar fakta berkenaan perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisyah pada umur kanak-kanak yang wujud dalam silibus pendidikan Islam di Malaysia perlu diubah.

Saya mencadangkan begitu kerana terdapat kritikan besar dalam kalangan ilmuwan Islam di dunia berkenaan umur Aisyah ketika berkahwin dengan Nabi. Terdapat beberapa fakta dari sumber yang berbeza, menjelaskan bahawa ketika perkahwinan itu berlaku, umur Aisyah mencecah 19 tahun. Dengan itu, dakwaan bahawa Nabi mengamalkan pedofilia adalah tidak benar sama sekali.

Untuk saya, jika ini tidak diubah, usaha untuk hindari penghinaan terhadap Nabi dalam isu ini tidak akan berakhir. Ia umpama seorang doktor yang merawat pesakit, tetapi tidak merawat pada punca penyakit. Mungkin pesakit itu kelihatan sihat, tetapi ia hanya bersifat sementara sahaja.

Kesimpulan

Perbincangan ini boleh dirumuskan seperti berikut:
Pertama, perlu ditegaskan bahawa penghinaan terhadap Nabi wajib dielak. Begitu juga dengan penghinaan terhadap mana-mana agama.

Kedua, semua warga negara wajib ada rasa tanggungjawab untuk memastikan hubungan harmoni dan saling menghormati menjadi antara perkara utama dalam kehidupan. Justeru itu, sebarang elemen dan tindakan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang, atau yang boleh melahirkan prejudis, dalam apa jua keadaan sekalipun ia wajar dielak.

Ketiga, untuk atasi penghinaan terhadap agama, tidak cukup sekadar undang-undang, tetapi perlu ada penerapan dari sudut pendidikan dan memupuk kesedaran dalam diri rakyat. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak, terutama kerajaan yang memerintah.

Keempat, dalam hal hukuman terhadap penghina Nabi - sebagai muslim, saya beranggapan dengan hukuman yang dianggap ramai sebagai berat ini, dibimbangi mengundang reaksi masyarakat non-muslim yang semakin membenci dan prejudis terhadap Islam. Maka dengan sebab itu, pendidikan perlu menjadi dasar untuk menyelesaikan perkara ini.

*Disiarkan di Oriental Daily (15 Mac 2019) : https://www.orientaldaily.com.my/s/282819

Facebook Comments