Print Friendly, PDF & Email

Oleh: Wan Ji Bin Wan Hussin

Pada 29 Disember 2018, Jabatan Peguam Negara Brunei bersama jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama memaklumkan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah akan mengumumkan pada 3 April 2019 pelaksanaan hukuman rejam sampai mati bagi pesalah zina dan seks sejenis.

Pengumuman ini diulang-siar pada 28 Mac baru-baru ini, mengundang perdebatan wacana awam di media sosial dalam kalangan masyarakat Muslim, bahkan masyarakat non-Muslim di dunia.

Lantaran daripada keputusan kerajaan Brunei itu, tercetus respon daripada beberapa individu terkenal dunia, seperti pelakon Amerika Syarikat, George Clooney yang menggesa agar sembilan hotel milik Brunei diboikot. Kemudiannya, bintang pop legenda Britain, Elton John turut membuat gesaan yang sama.

Tidak dinafikan bahawa dalam dunia ini, hukuman rejam sudah diamalkan di beberapa buah negara dan wilayah. Antara negara yang pernah melaksanakannya termasuklah Pakistan, Sudan, Afghanistan dan Nigeria. Taliban dan kini ISIS, antara yang pernah melaksanakan hukuman ini, masing-masing memfokuskan kesalahan zina muhsan (lelaki atau perempuan yang berzina dalam keadaan mereka pernah merasai persetubuhan dalam pernikahan).

Walaupun tidak pernah dilaksanakan, Kelantan dan Terengganu antara negeri di Malaysia yang telah mengkanunkan hukuman rejam bagi pesalah zina muhsan dari sudut perundangan, iaitu sejak tahun 1993 di Kelantan, dan tahun 2002 di Terengganu. Hukuman rejam dikanunkan di kedua-dua negeri ini pada era pemerintahan PAS.

Hukuman Rejam

Untuk sekian lama, hukuman rejam dipercayai sesuatu yang ada dalam agama Islam. Walaupun ia tidak termaktub dalam al-Quran, tetapi kepercayaan itu diterima oleh majoriti muslim di dunia, malah dalam kalangan ilmuwan muslim.

Kepercayaan itu berubah, apabila seorang ulama Islam terkenal dunia – berasal dari Mesir, al-Imam Abu Zuhrah mengeluarkan satu kenyataan berani. Beliau menyatakan bahawa hukuman rejam hingga mati kepada pesalah zina muhsan tidak ada dalam Islam.

Pada peringkat awal, kenyataan beliau mendapat serangan hebat daripada ulama-ulama Islam di seluruh dunia. Mereka mendakwa, al-Imam Abu Zuhrah kononnya mahu membuang sesuatu perkara yang wujud dalam Islam. Walau bagaimanapun, semakin hari, pendapat beliau semakin diterima dalam kalangan muslim. Malah terdapat ulama Islam sendiri sudah berhujah dan menganggap pandangan beliau itu bertepatan dengan ajaran Islam.

Menurut Dr.Yusuf al-Qaradawi yang juga muridnya, kenyataan beliau itu dilontarkan dalam satu himpunan ulama antarabangsa di Libya pada awal tahun 1970-an. Dalam ucapan yang dihadiri ratusan ulama dari seluruh dunia, al-Imam Abu Zuhrah dengan yakin berkata bahawa amalan hukuman rejam yang dipercayai ramai muslim itu sebenarnya bersumberkan ajaran Yahudi – diamalkan sebelum kedatangan Islam.

Hujah Menolak Rejam

Jika mahu dihuraikan segala hujah beliau, sudah pasti memerlukan satu artikel yang terlalu panjang. Mungkin sahaja mencapai sebuah buku. Dalam artikel ini, diperjelaskan beberapa hujah-hujah dasar terhadap pendapat al-Imam Abu Zuhrah tersebut.

Pertama, bagi kesalahan zina, al-Quran hanya menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan adalah 100 sebatan. Hukuman yang dilakukan itu pula bersifat amat ehsan – sebatan yang tidak melukakan, malah semasa sebatan dilakukan, pesalah perlu memakai pakaian yang tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal. Ini sudah pasti bercanggah dengan hukuman rejam yang bersifat sadis.

Kedua, hukuman rejam ini terdapat dalam Hadis. Pun begitu, didapati Hadis terbabit bercanggah dengan prinsip al-Quran yang menjelaskan kewajipan menjaga nyawa manusia (Surah al-An’am 6:151 dan Surah al-Isra’ 17:33). Dalam kaedah atau metode untuk memahami teks Islam, Hadis sebagai sumber kedua tidak boleh bercanggah dengan al-Quran yang merupakan sumber pertama dalam Islam. Dengan itu, Hadis berkenaan rejam adalah diragui.

Ketiga, rejam manusia dengan batu sehingga mati adalah bersifat sadis. Ini sudah pasti bercanggah dengan asas ajaran Islam – Nabi saw pernah berpesan agar menyembelih binatang ternakan pun perlu hindari daripada sifat sadis – Inikan pula, bertindak sadis terhadap manusia.

Keempat, al-Quran menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan kepada hamba dan orang merdeka adalah berbeza. Contohnya bagi kesalahan zina – bagi penzina yang merdeka, dikenakan hukuman seratus sebatan, sedangkan bagi penzina hamba, dikenakan separuh, iaitu 50 sebatan sahaja.

Andai penzina muhsan yang merdeka dijatuhkan hukuman rejam, sudah pasti tidak masuk akal untuk melaksanakan hukuman separuh rejam kepada penzina muhsan dari kalangan hamba. Dengan itu, dipercayai amalan rejam dalam Hadis itu diragui keabsahannya.

Semenjak al-Imam Abu Zuhrah mengeluarkan pandangan itu, terdapat beberapa orang ulama Islam yang terkenal dalam dunia Islam menyokong pandangan beliau. Antaranya adalah Dr.Yusuf al-Qaradawi yang berasal dari Mesir dan kini tinggal di Qatar yang juga bekas Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa; Dr.Mustafa al-Zarqa’ yang berasal dari Syria yang juga salah seorang ahli jawatankuasa kesatuan Ulama Antarabangsa; Dr.Mahmud Syaltut yang berasal dari Mesir yang pernah menyandang jawatan Rektor Universiti al-Azhar dan beberapa orang ulama Islam terkemuka dunia.

Penutup

Dalam Hadis, Islam menegaskan bahawa hukuman tidak boleh bersifat “double standard”. Malah, Nabi Muhammad pernah menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan membawa kepada kehancuran.

Amalan “double standard” ini ternyata berlaku di Brunei, iaitu apabila perkara 84A (2) dalam perundangan mereka menyatakan bahawa Sultan terkecuali dari dikenakan hukuman kerana perlembagaan mereka mengatakan bahawa Sultan TIDAK PANDAI melakukan kesalahan.

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa dakwaan pelaksanaan hukuman rejam kononnya tuntutan Syariah di Brunei itu, bukan sekadar tidak berasaskan hujah agama yang kuat, malah bercanggah dengan prinsip dasar Islam yang menolak amalan double standard dalam pelaksanaan undang-undang.

Facebook Comments