Print Friendly, PDF & Email

Dalam dunia Islam, nama Dr.Zakir Naik tidak asing lagi. Beliau amat dikenali dengan debat antara agama. Dengan berpihak kepada agama Islam, beliau amat terkenal dengan menjawab hujah-hujah dari pihak agama Hindu dan Kristian.

Ramai muslim memuji kepetahan beliau berdebat. Apatah lagi, daya ingatan beliau yang kuat – berkemampuan mengemukakan perbandingan antara kandungan kitab suci Islam, Hindu dan Kristian, dengan disertakan rujukan ayat dan surah.

Walaupun tidak memiliki pendidikan dalam pengajian Islam, doktor perubatan tersebut dihormati ramai tokoh ilmuwan muslim, tanpa dinafikan banyak hujah yang dikemukakan beliau mendapat kritikan — bukan dari non-muslim sahaja, malah dari kalangan ilmuwan-ilmuwan muslim.

Baru-baru ini, Datuk Dr.Mujahid Yusof Rawa mengadakan pertemuan dengan beliau. Ia mencetuskan pertikaian dalam masyarakat, kerana ramai menganggap Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu melakukan “U-Turn” dalam mengambil sikap terhadap Dr. Zakir Naik. Sebelum ini, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa pendekatan dakwah Dr. Zakir Naik tidak sesuai dengan rakyat Malaysia.

Dari jauh kedengaran suara yang tidak berpuas hati terhadap tindakan Menteri Agama yang bertemu dengan pendakwah yang berasal dari India itu, terutamanya sebilangan dari masyarakat Hindu, dan tidak ketinggalan juga sebilangan kecil dari muslim liberal.

Siapa Zakir Naik?

Dr.Zakir Naik atau nama penuh beliau, Zakir Abdul Karim Naik merupakan salah seorang pendakwah terkenal - dilahirkan di Mumbai, India pada 18 Oktober 1965. Beliau telah menubuhkan sebuah badan yang memfokuskan kajian – Islam Research Foundation (IRF) yang memiliki Siaran Peace TV, di Mumbai, India.

Pada 2017 yang lalu, dilaporkan bahawa kerajaan India telah menarik passport beliau[1] dengan alasan, kononnya beliau terlibat dengan jaringan terroris, malah dituduh bahawa ceramah beliau menghasut anak muda untuk melakukan aksi pengganasan. Menurut laporan Badan Investigasi Nasional India, sudah tiga kali pihak mereka mengeluarkan perintah penangkapan terhadap beliau[2].

Pun begitu, beliau mendapat suaka di Malaysia, dan bebas bergerak di negara ini. Malah didapati bahawa beliau sering kelihatan menunaikan solat jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. Lebih jelas lagi, pada November 2017, dilaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zahid Hamidi menyatakan bahawa Dr.Zakir Naik telah mendapat status penduduk tetap di Malaysia sejak lima tahun yang lalu lagi[3].

Lebih jauh lagi, didapati kewujudan Dr.Zakir Naik di Malaysia mendapat pengiktirafan secara tidak langsung dari pentadbiran negara. Ini dibuktikan, pada 5 November 2013, Dr.Zakir Naik telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah di peringkat kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertempat di di Dewan Plenari, PICC, Putrajaya. Anugerah tersebut diberikan atas sumbangan besar beliau kepada perkembangan Islam di peringkat antarabangsa.

Pun begitu, di awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Menteri Agama, Dr.Mujahid menyatakan bahawa pendekatan dakwah Dr.Zakir Naik tidak sesuai dengan konteks rakyat Malaysia. Kenyataan beliau itu mendapat sokongan di kalangan warganegara, terutama dari kalangan masyarakat Hindu dan sebilangan muslim liberal.

Pada Julai 2018, Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir memberi jaminan bahawa Zakir Naik tidak akan dihantar ke negara asal beliau – India, walaupun beliau sedang diburu oleh kerajaan India atas dakwaan, kononnya terlibat dengan gerakan terorisme. Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, jaminan itu diberikan kepada beliau selagi tidak melanggar peraturan negara[4].

Pendekatan Dakwah

Dalam satu wawancara, Zakir Naik menyatakan bahawa di peringkat awal, beliau fokus dalam bidang perubatan. Namun, selepas berjumpa dengan seorang pendakwah yang terkenal dengan ilmu pembandingan agama, Syaikh Ahmad Deedat pada tahun 1991, beliau mula berminat dalam bidang Islam. Lama-kelamaan, beliau menggiatkan diri dalam bidang dakwah dan meninggalkan kerjayanya sebagai seorang doktor perubatan[5].

Pendekatan beliau bukan dialog, tetapi lebih kepada debat. Apabila disebut debat, sudah pasti pendekatan beliau adalah mematahkan hujah lawan. Jika lawan debatnya adalah Kristian, sudah pasti dia akan mengemukakan seribu satu hujah untuk mematahkan hujah Kristian, sama ada dari sudut teks, mahupun dari sudut logik. Demikian juga pendekatan beliau terhadap agama Hindu, malah terhadap beberapa kalangan muslim, seperti Syiah.

Dalam kalangan muslim, ada pihak menuduh beliau sebagai penganut aliran Wahabi. Dengan sebab itu, kita akan dapati bahawa kebiasaan musuh beliau dari kalangan muslim - antaranya kalangan Syiah dan aliran Asya’irah yang amat anti kepada Wahabi.

Andai dari kalangan muslim pun ada yang memusuhi beliau, makanya tidak hairan beliau turut dimusuhi sebilangan penganut Hindu dan penganut Kristian. Apatah lagi, dua agama ini boleh dikatakan sasaran kritikan beliau dalam banyak ucapan dan ceramah beliau.

Tuduhan Terorisme

Zakir Naik mendapat tuduhan dari banyak media Barat, kononnya seorang yang menyeru kepada terorisme - dituduh terlibat dalam amalan terror yang berlaku di India, Pakistan dan Bangladesh. Walaupun dakwaan itu masih kabur, beliau telah didakwa oleh kerajaan India sebagai melanggar undang-undang negara berkenaan aktiviti “menyebarkan permusuhan atas dasar agama” dan “menganggu harmoni sosial dan keagamaan”[6].

Bukan sekadar beliau, malah badan yang dikelolakan beliau - IRF telah dituduh, kononnya terlibat dengan terorisme[7]. Dengan itu, pada tahun 2017, kerajaan India telah membekukan organisasi tersebut untuk lima tahun[8].

Kesan dari tuduhan tersebut, beliau dihalang masuk ke beberapa buah negara, seperti Britain dan Kanada.

Menurut ceritanya, asal tuduhan beliau sebagai terorisme adalah dari satu video yang dipotong sehingga melahirkan kesalahan pemahaman – difahami dalam konteks yang salah. Dalam video yang tanpa edit, beliau membahaskan definisi terorisme – kata beliau: “Terorisme adalah orang yang melakukan amalan terror”.

Beliau mendatangkan contoh: “Seseorang pencuri melihat polis, lalu dia ketakutan. Jadi, bagi pencuri tersebut, polis itu adalah teroris. Dan ini, aku ambil dari salah satu artikel di Times of India, bahawa Inspektor Angre adalah teroris bagi dunia penjenayahan.”

“Dari konteks ini, setiap muslim haruslah menjadi teroris bagi elemen anti-sosial (Maksudnya, muslim harus melawan penjenayahan).”

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa maksud terorisme yang sebenar. Kata beliau: “Orang yang melakukan amalan terror terhadap orang yang tidak bersalah. Justeru, dalam konteks ini, tidak boleh ada seorang muslim pun menjadi teroris. Ini dilarang dalam Islam.”

Dalam ucapan yang lain, beliau terang-terang berkata, “Islam mengutuk segala tindakan terorisme. Islam mengutuk pembunuhan orang yang tidak bersalah.[9]

Namun begitu, video yang panjang itu telah diedit dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab, dengan hanya mengambil separuh sahaja – dengan menukilkan dalam konteks yang salah, iaitu pada perkataan: “Setiap muslim haruslah menjadi teroris.”

Kesan dari edit video yang disebarkan tersebut, menyebabkan beliau menjadi mangsa tuduhan sehingga beliau mahu ditangkap oleh pihak kerajaan India, malah diharamkan masuk ke beberapa buah negara.

Apabila dilihat syarahan beliau berkenaan pengganasan, didapati beliau amat konsisten dalam menyerang pendekatan terorisme ini. Antaranya, apabila beliau menjawab seorang wanita dari India berkenaan amalan pengganasan, beliau menjelaskan bahawa Islam menolak sebarang amalan terorisme, malah berhujah dengan memetik ayat al-Quran –Surah al-Maidah 5:32-menyatakan celaan terhadap orang yang membunuh seseorang manusia, sama seperti membunuh semua manusia. Dalam kupasan beliau, dijelaskan yang dimaksudkan larangan dibunuh itu, sama ada muslim, mahupun non-muslim. Lebih pada itu, beliau menjelaskan juga, seseorang yang menyelamatkan sesuatu nyawa, seakan-akan dia telah menyelamatkan semua nyawa manusia. Dengan itu, beliau menolak amalan terorisme seperti amalan bom berani mati[10].

Penutup

Dari ulasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, Dr.Zakir Naik seorang pendakwah dari negara India dan terkenal di seantero dunia kerana kepetahan pidato beliau.

Kedua, memandangkan pendekatan beliau adalah debat, makanya tidak hairan dalam banyak pidato beliau, pandangan-pandangan agama yang berbeza dengan beliau dikritik dalam bentuk mematah hujah. Kritikan itu bukan sekadar tertumpu pada agama Hindu dan Kristian, malah terhadap pandangan agama dalam kalangan muslim, terutama dalam kalangan masyarakat Syiah.

Ketiga, kesan dari pendekatan itu, menyebabkan ramai pihak dari kalangan Hindu, Kristian dan Syiah, malah Sunni yang pro-Syiah yang tidak selesa dengan beliau. Dengan itu, video ucapan beliau yang diedit sehingga menyalahi konteks sebenar mudah diterima dan dipercayai dari kalangan mereka.

Keempat, dari persepsi kononnya beliau dan badan yang beliau kelolakan terlibat dengan agenda terorisme menjadikan beliau menerima beberapa kesan, seperti dianggap melanggar undang-undang di India, mahu ditangkap oleh kerajaan India dan dihalang masuk kebeberapa buah negara.

Kelima, kini beliau mendapat suaka dari kerajaan Malaysia sejak pemerintakan BN, dan kerajaan PH pula menjamin keberadaan beliau dalam negara selagi beliau tidak melanggar undang-undang negara ini.

Nota:

[1] https://www.cnnindonesia.com/internasional/20170719192011-113-229018/paspor-zakir-naik-dicabut-karena-dugaan-terorisme

[2] https://news.detik.com/internasional/3567093/cabut-paspor-zakir-naik-ini-alasan-pemerintah-india

[3] https://www.merdeka.com/dunia/jadi-tersangka-terorisme-di-india-zakir-naik-sembunyi-di-malaysia.html

[4] https://news.detik.com/internasional/4111978/zakir-naik-saya-utang-budi-pada-malaysia-tak-akan-langgar-hukum

[5] https://news.detik.com/berita/3484621/tuduhan-teroris-dan-cerita-zakir-naik-tinggalkan-india

[6] https://tirto.id/negara-negara-yang-melarang-zakir-naik-cmjJ

[7] https://www.cnnindonesia.com/internasional/20170719192011-113-229018/paspor-zakir-naik-dicabut-karena-dugaan-terorisme

[8] https://tirto.id/negara-negara-yang-melarang-zakir-naik-cmjJ

[9] https://www.youtube.com/watch?v=t7nKb7rNuTQ

[10] https://www.youtube.com/watch?v=QxJE0Ut3w3A

*Disiarkan di Oriental Daily (30 Mac 2019): https://www.orientaldaily.com.my/s/284828

Facebook Comments