Pasca 5 Mei 2013
Ramai antara kita yang pernah melawat ke Putrajaya mempunyai pengalaman sebegini. Destinasi yang sedang kita tujui sudah kelihatan di depan mata. Namun, seandainya kita terlepas di simpang jalannya, maka kita terpaksa melalui perjalanan yang agak jauh sebelum kembali ke titik asal.
Pakatan Rakyat terlepas di simpang jalan ketika menuju ke Seri Perdana pada malam 5 Mei 2013. Pilihan Raya Umum ke-13 dianggap peluang terbaik dalam sejarah untuk menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (Perikatan sebelumnya). Misi ini digagalkan dengan sistem pilihan raya yang memenangkan minoriti. Kemarahan menahan air mata yang berlinangan pada malam itu.
“Lain kali-lah.” Slogan gubahan dari “Ini Kali-lah”, diujar dengan nada sindiran. Apapun yang diretorikkan untuk membakar semangat sesama kita, hakikatnya kita sedar bahawa “kuasa” (atau “harapan untuk berkuasa”) yang menyatukan Pakatan Rakyat. Memang dijangkakan bahawa gandingan parti pembangkang dengan pegangan idealisme yang saling bertentangan dalam bab tertentu ini akan berpecah, selepas harapan untuk menawan Putrajaya berkecai.
Pergolakan politik pasca PRU13 mengesahkan keresahan sebelumnya. Anwar Ibrahim dipenjarakan pada Februari 2015, disusuli dengan perpecahan PAS dalam muktamar pada Jun 2015, dan akhirnya disempurnakan dengan pembubaran Pakatan Rakyat. Dua tahun selepas 5 Mei 2013, kita semakin percaya bahawa kita sudah semakin jauh dari Putrajaya.
Kebuntuan Politik
Dua minggu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat, skandal RM2.6 bilion dibongkarkan Wall Street Journal. Inilah detik saat paling rapuh untuk Najib-UMNO-Barisan Nasional. Andainya Pakatan Rakyat bertahan untuk dua minggu lagi, dan bersatu-padu sebagai satu kuasa untuk mendesak agar Najib berundur, sudah tentu ia lebih berkesan untuk menggoyah kedudukan Najib. Puak Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan sekutunya akan lebih yakin untuk menyeberang, setelah hilang percaya terhadap kepimpinan Najib Razak yang terpalit dengan skandal RM2.6 bilion. Kuasa untuk menggulingkan Najib akan bergolek dan berkembang, sehingga Najib semakin terpinggir keseorangan untuk mempertahankan kedudukan kuasanya.
Namun kemurungan terus menyelubungi pembangkang, sungguhpun kelemahan musuh politik terpampang jelas di depan mata. Himpunan BERSIH 4 dianjurkan, namun kehadirannya yang tidak seimbang dari segi etnik lantaran tidak disertai PAS, diambil kesempatan untuk dimanipulasikan dengan isu perkauman. Lebih-lebih lagi, tekanan yang asalnya ditumpukan kepada Najib, berjaya dialih oleh Jamal Yunos bersama baju merahnya, dengan ugutan untuk merusuh di Jalan Petaling selepas itu.
Bercerai roboh. Pembangkang cuba menyelamatkan keadaan, menyusun semula langkah dengan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan membentuk gandingan baru bergelar Pakatan Harapan. Namun usaha-usaha ini kelihatan tidak kena pada tempatnya, atau tidak sempat diterjemahkan kepada impak politik yang diharapkan. Dengan kemenangan yang memihak kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei 2016, seterusnya Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, ramai yang meragui, apakah harapan yang ada pada Pakatan Harapan, selain namanya?
Tidak sukar untuk kita membaca bahawa kesemua ini padahal adalah plot sang penguasa untuk mematahkan serangan pembangkang. Jikalau BERSIH 4 dialih fokusnya oleh Jamal Yunos dengan retorik perkaumannya, BERSIH 5 dicuri tumpuannya dengan usul yang dikemukakan Presiden PAS Haji Hadi Awang, iaitu RUU355, tiga hari selepasnya. Berdekad-dekad gandingan pembangkang dirobekkan dengan isu agama (Negara Islam, Hudud dsbnya), dari Angkatan Perpaduan Ummah (APU)- Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, hinggalah Pakatan Rakyat. Isu ras (perkauman) dan agama telah dipergunakan untuk menyelamatkan pemimpin yang tercalar dengan skandal rasuah.
Seandainya kita menganalisis polanya dalam kerangka yang lebih besar, kita akan dapati bahawa formula yang direka UMNO-Barisan Nasional ini, mengekalkan kuasa mereka dari dulu, kini dan selamanya. UMNO-BN sentiasa mencapai keseimbangan yang diperlukan untuk menang dalam pilihan raya. Petuanya, menakut-nakutkan Melayu dengan perubahan, dan menakut-nakutkan bukan Melayu dengan rusuhan. Apabila Cina ingin berubah (PRU8, PRU13), Melayu ditakut-takutkan dengan ugutan hilang kuasa; apabila Melayu bangkit memberontak (PRU10), Cina pula ditakut-takutkan dengan rusuhan dan Negara Islam.
Bukan sahaja sistem pilihan raya, tetapi seluruh sistem negara dimanipulasi untuk memusatkan kuasa pada satu parti, malah seorang Perdana Menteri sebelum PRU14. Institusi yang seharusnya bebas dan berkecuali, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan sebagainya, penyandang jawatan tertingginya ditentukan tangan PM. Jadi apabila berlaku skandal sebesar 1MDB, “anggota” dalam struktur ini terlalu lemah untuk melakukan sesuatu.
Tiada ruang untuk bernafas dalam sistem yang mencengkam ini. Media dikawal, dan digantung terus seandainya berani untuk melaporkan kebenaran. Demonstrasi jalanan menjadi pilihan terakhir, untuk menggulingkan regim yang korup. Namun, masyarakat majmuk seperti Malaysia memustahilkan “revolusi”. Kita gagal mencapai muafakat dalam pembentukan Malaysia baru pada masa depan. Sudah tentu Melayu tidak sanggup bermandi darah seandainya jatuhnya UMNO, Cina-DAP yang mengambil alih tampuk kuasa negara, kononnya. Begitu juga dengan non-muslim, yang semestinya tidak sanggup menanggung risiko untuk mengulingkan BN, dan kemudian diperintah di bawah hukum Hudud, sebagaimana yang diuar-uarkan. Perbezaan pegangan politik menambat langkah kita bersama ke jalan raya, tatkala semua saluran dalam sistem menemui kebuntuan.
Malaysia seolah-olah “ditakdirkan” untuk diperintah UMNO-BN sehingga hari kiamat. Cahaya yang pernah menyinar seketika selepas Tsunami Politik 8 Mac mengombak pada tahun 2008, semakin malap. Kami mula bergurau di kalangan sahabat. Agak-agak Singapura dulu, atau Malaysia dulu yang tukar kerajaan (persekutuan)? Malah ada yang menambah, regim komunis China yang tumbang dulu, atau UMNO-BN di Malaysia yang jatuh dulu?
Dilema “Mahathir”
Situasi ini diimbas semula untuk membayangkan betapa murungnya suasana politik di ambang PRU14. Penampilan susuk Mahathir Mohamad untuk memimpin gerakan pembangkang mungkin menjadi titik pusingan yang “memberangsangkan” di kalangan masyarakat Melayu, tetapi mencetuskan pertikaian yang hangat dalam komuniti Cina.
Sesetengah aktivis sosial bersikap sangsi terhadap PM keempat yang pernah menerajui tampuk kuasa untuk 22 tahun ini. Mahathir Mohamad dipertanggungjawabkan ke atas kebobrokan dan kepincangan sistem yang berlaku ketika zaman pemerintahannya, yang diwarisi sehingga sekarang. Ketegangan itu semakin ketara apabila Mahathir dilihat enggan memohon maaf, atau dipertikaikan keikhlasan beliau memohon maaf, atas kesalahan yang dilakukan. Pemimpin pembangkang yang menerima pimpinan Mahathir ketika itu dituduh menggadaikan prinsip perjuangan, demi merampas kuasa dari UMNO-BN.
Tiada kata sepakat. Tiada juga jalan penyelesaian yang sempurna. Pemimpin Pakatan Harapan dikatakan buat U-turn (pusingan-U) sebagai jalan singkat ke Putrajaya. Mahathir terpaksa menarik balik tuduhan yang pernah dilontarkannya terhadap DAP dan beberapa orang tokoh pembangkang; sementara DAP, PKR dan AMANAH juga dilihat “menjilat ludah sendiri”, oleh penyokong tradisi mereka. Kita tidak pasti, apakah hasil eksperimen untuk menggabungkan kedua-dua pihak musuh ketat ini – Adakah 1+1 ini akan berakhir dengan nilai yang bersamaan dengan 2, atau sekurang-kurangnya lebih besar daripada 1?
Pertikaian ini meletihkan, membuatkan ramai daripada kita hampir pasrah, dan ingin menyerah begitu sahaja. Kita cukup sedar, bahawa Malaysia akan menjadi bahan lawak satu dunia andainya PM yang terpalit dengan skandal RM2.6 bilion masih bertahan pada tempatnya, malah berkemungkinan menang dengan majoriti yang lebih besar. Begitu juga di sebaliknya, apakah harapan yang ada pada Malaysia, andainya satu negara terpaksa menyandarkan harapan ke atas seorang bekas diktator yang berusia 92 tahun untuk menyelamatkan negara?
Tiada jawapan ditemui. Mereka yang anti Mahathir, gagal menawarkan alternatif jikalau enggan bekerjasama dengan Mahathir dan sekutunya. Di samping itu, mereka yang menerima kerjasama dengan Mahathir, juga gagal menjawab apakah Plan B-nya jikalau Mahathir mengkhianati perjuangan kita selepas mengambil alih tampuk kuasa. Dilema ini menyuburkan sinisisme. Ruang media sosial sarat dengan sindiran, ejekan, maki-hamun, perbandingan siapa lebih berprinsip dan sebagainya. Kempen “Undi Rosak” menjadi manifestasi ketidakpuasan, kemarahan dan kekecewaan terhadap parti politik.
Keajaiban berlaku
Suasana sedemikian sudah tentu melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk memperjuangkan perubahan. Pengamatan saya mengandaikan api pemberontakan dalam hati rakyat Malaysia semakin malap, malah hampir terpadam. Perbalahan PAS-PH lantaran perbezaan politik gagal menemui kesepakatan; kegusaran komuniti masing-masing dalam isu agama dan kaum gagal dileraikan. Rakyat jemu dengan pertelingkahan yang sarat dengan emosi, mual dengan politikus yang terlebih politiking. Maka saya menggariskan matlamat untuk PRU14 – paling buruk pun, majoriti dua pertiga BN wajib dinafikan, agar kita tidak kembali ke situasi sebelum PRU12 tahun 2008. Usaha satu dekad yang kita curahkan itu, tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
Dari hati kecil saya, benar saya gembira apabila munculnya petanda-petanda yang membuktikan bahawa bacaan saya mungkin tersasar. Saya sedikit terperanjat apabila pengundi yang bermastautin di kota mula beratur untuk membeli tiket sebaik sahaja pengumuman tarikh hari pengundian, yang jatuh pada Rabu. Saya cuba menahan “keterujaan” diri saya, kerana mengikut logik akal, mereka yang berhasrat untuk mengundi semestinya lebih menonjol diri, berbanding mereka yang mengambil keputusan untuk mengecualikan diri kali ini. Lagipun, iktibar diambil dari pengajaran lalu – semakin tinggi dilambung harapan, ada risikonya semakin sakit dihempas kekecewaan.
Tanpa disedari, arus bawah menderas di dalam masyarakat kita. Saya terserempak dengan satu klip video dua anak muda Cina yang tergagap ketika memberi penerangan kepada seorang pengundi warga emas berhubung pilihan raya. Jelas, anak muda itu bertutur dalam dialek yang mereka tidak fasih – mungkin itu sahaja bahasa yang difahami warga tua yang berada di depan mereka. Rakannya mentertawakan dialeknya yang berkarat, tetapi semua kita terasa, pujian dan kekaguman yang tersirat di sebalik “sindiran” itu.
Kemudian, satu klip video diviralkan, menayangkan bagaimana seorang anak mengajar ibunya yang berusia 90-an untuk memangkah kertas undi. Dilukisnya logo parti yang bertanding, dengan susunan yang berbeza pada kertas yang berlainan, dan dilatihnya berkali-kali untuk memastikan orang tua itu memangkah dengan betul dalam petak di sebelah logo PKR yang digunakan calon PH.
Ia mencuit hati jikalau ditonton sepintas lalu. Tetapi apabila sampai ke hujung tempoh kempen, di ambang hari pengundian, tiba-tiba air mata saya yang ditahan kemarahan pada lima tahun lalu, tumpah akhirnya. Saya membaca bagaimana rakan-rakan dalam sosial media yang bermastautin di luar negeri, berhempas-pulas untuk menghantar kertas undi mereka ke Malaysia, setelah menyedari bahawa ia mungkin digagalkan kerana kesuntukan masa.
Apakah nilai 7,979 undi pos, berbanding kira-kira 15 juta pengundi keseluruhannya? Hampir tiada impak, jikapun undi pos ini tidak sampai ke tanahair sebelum jam 5 petang pada 9 Mei 2018. Namun, mereka yang saling tidak mengenali sebelum ini, menaruh kepercayaan antara satu sama lain, hanya kerana berkongsi identiti bersama sebagai “rakyat Malaysia” – telah melakukan sesuatu yang paling terharu dalam PRU14.
Semangat “bergotong-royong”, “tidak berputus asa” terserlah melalui misi ini. Hanya dengan rangkaian media sosial, mereka berjaya mengumpulkan kertas undi pos di negeri yang mereka berada, kemudian diterbangkan ke Malaysia. Warga Malaysia yang menunggu di KLIA, menggalas misi untuk menghantar kertas undi ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya SPR (RO) di setiap pelosok Malaysia. Rupa-rupanya, mereka tetap tidak mengalah, malah enggan menyerah kalah sehingga ke saat-saat akhir – sungguhpun bumi ini seolah-olah disumpah untuk diperintah UMNO-BN buat selama-lamanya!
9 Mei gantikan 13 Mei
Secara jujur saya tidak menjangkakan kejatuhan UMNO-BN. Paling optimis pada hitungan saya, parlimen tergantung (hung parliament), dengan PAS sebagai king-maker, dan katak dari Pakatan Harapan – yang akhirnya memihak kepada UMNO-BN. Jadi, apabila “impian yang paling diidam-idamkan” selama dua dekad ini termakbul pada awal pagi 10 Mei 2018, kegembiraan saya agak “terkawal”.
Apakah Najib sanggup melepaskan kuasa? Apakah kemenangan Pakatan Harapan tidak akan dirompak atau dicuri? Atau, apakah ada rundingan di sebalik tabir, yang bakal merombak situasi sedia ada apabila saya bangun dari tidur pada pagi esok? Jikalau itu berlaku, apakah reaksi kita?
Persoalan-persoalan ini berlegar-legar dalam otak saya, sebelum saya tidur pada jam 5 pagi. Saya bangun kira-kira empat jam kemudian, dikejutkan mesej dari whatsapp. Seorang sahabat menghantar file audio Negaraku. Tiba-tiba penglihatan saya menjadi kabur ketika mendengar lagu kebangsaan yang dinyanyikan sejak zaman kanak-kanak. Ya, kita telah menang! Sekali lagi saya berbangga sebagai anak Malaysia, sejak saya mengungkapkan ini kepada rakan saya pada 10 tahun lalu, malam 8 Mac 2008.
Tiba-tiba whatsapp bekas pensyarah saya masuk, memanjangkan status Facebook netizen kepada saya. “My parents told me about May 13, now I get to tell my kids about May 9.” (Ibu bapa saya mengisahkan 13 Mei kepada saya. Sekarang saya menceritakan 9 Mei kepada anak-anak saya.) Saya terus menangis di atas katil. Tragedi 13 Mei yang menghantui Malaysia dari satu generasi ke satu generasi, akhirnya diroboh. Rakyat Malaysia telah menjaya melakar sejarah sendiri atas robohan 13 Mei, dan kita mendirikan Malaysia Baru pada 9 Mei 2018 – tanpa pertumpahan setitis darah, cuma dengan air mata yang berlinangan.
Kita telah berjaya memecah kebuntuan politik Malaysia. Sesungguhnya, ia tidak bermakna perjuangan kita telah selesai, dan rakyat akan hidup aman damai dan bahagia untuk selama-lamanya. Perjuangan menumbangkan kerajaan lebih sukar berbanding perjuangan menuntut kemerdekaan, kerana lebih mudah kita menentang penjajah asing daripada melawan diktator bangsa sendiri. Perjuangan seterusnya lebih sukar, kerana kita akan berdepan dengan rakan seperjuangan kita pada hari ini – yang berpotensi untuk menjadi korup seandainya sistem semak-imbang menjadi tempang. Bagaimanapun, andainya regim yang memerintah untuk 61 tahun pun mampu kita tumbangkan, apa lagi yang ditakutkan pada masa depan?
Kita berjaya membuktikan bahawa “Cash is not king”. Wang bukan raja, dan wang bukan segala-galanya. Wang boleh membeli segelintir hakim, menteri, polis, pegawai dan lain-lain seketika dahulu, tetapi wang gagal membeli maruah semua rakyat Malaysia. Kita berjuang bukan kerana nampak harapan, tetapi kita berjuang untuk menampakkan harapan. Untuk berdekad-dekad, kita ditewaskan, kita ditipu, kita diperdaya – tetapi, selagi kita berjuang, kita tidak kalah sepenuhnya. Walaupun nyalaan obor hanya tinggal bunga api, tetapi ia tetap meledakkan kegelapan apabila tiba masanya.
Kemenangan ini milik kita bersama, sama ada yang mengundi Pakatan Harapan, mahupun Barisan Nasional, PAS dan lain-lain. Kesemua kita menunjukkan sikap yang matang dan rasional untuk menerima keputusan rakyat pada malam 9 Mei 2018, dan menyambut kelahiran Malaysia Baru. Sesungguhnya, masih terdapat perbezaan di kalangan kita, yang sudah tentu memerlukan masa untuk kita mencari persefahaman dan muafakat. Apapun di akhirnya, jangan sesekali kita meminggirkan mereka yang turut sama mengambil bahagian untuk melakar masa depan Malaysia.
Ya, kita telah mencapai kemenangan yang bermakna dalam PRU14. Dan bermulalah misi kita untuk memaknai kemenangan ini.
*Disiarkan dalam buku Revolusi Tanpa Darah, muka surat 186-193.
Facebook Comments