Baru-baru ini, kecoh di media sosial, malah dalam media arus perdana berkenaan berbuka puasa bagi muslim di rumah ibadat non-muslim. Isu ini tercetus apabila seorang ahli parlimen di Johor telah membuat program berbuka puasa di salah sebuah Gurdvara Sikh di Johor.
Kekecohan itu mendapat respon daripada Sultan Johor. Sultan Johor menyatakan sikap tidak bersetuju dengan tindakan ahli parlimen terbabit. Malah, beberapa orang mufti turut memberikan pendapat berkenaan hal ini.
Dari sudut amalan, perkara ini sudah berlaku di banyak negara. Antaranya, Dubai – sebuah Gurdvara di sana mengadakan program tersebut secara tahunan. Bukan sekadar menjemput warga muslim, malah pihak Gurdvara turut menjemput masyarakat Kristian, Buddha bahkan pelbagai penganut agama untuk berbuka puasa bersama dengan masyarakat Islam.
Di Mesir, amalan ini diamalkan di gereja. Pada 16 Mei baru-baru ini pun, sebuah gereja di Zamalik, Mesir menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menjemput beberapa orang ulama al-Azhar, seperti bekas Mufti Mesir, Dr.Ali Jumu’ah; Rektor Universiti al-Azhar, Dr.Ahmad Taib dan sebagainya[1].
Secara dasarnya, sejauh mana isu ini dilihat dari sudut penafsiran agama Islam? Apakah benar Islam melarang, ataupun sebenarnya ia bukan isu agama, tetapi ia melibatkan politik?
Di rumah ibadat non-muslim
Secara dasarnya, tidak terdapat sebarang larangan dari teks al-Quran dan Hadis bagi muslim berbuka puasa di rumah ibadat non-muslim. Dalam perdebatan ulama Islam pun, bukan sekadar isu berbuka puasa, bahkan sebilangan besar dalam kalangan ulama Islam membenarkan muslim menunaikan solat dalam rumah ibadat non-muslim. Jika menunaikan solat pun dibenarkan, sudah pasti berbuka puasa yang lebih rendah tahapnya di sisi Tuhan – lagi-lagi ia dibenarkan.
Apatah lagi, dari sudut sejarah Islam, Nabi saw sendiri pernah menunaikan solat di kaabah ketika kaabah masih lagi dipenuhi patung-patung sembahan non-muslim. Dalam sejarah selepas era Nabi Muhammad pun, iaitu pada era pemerintahan Saidina Umar, dikisahkan bahawa beliau pernah diminta untuk menunaikan solat di gereja. Memandangkan beliau “orang besar” dalam pembentukan tamadun Islam, beliau menolak, secara terang-terangan dengan menyatakan kebimbangan di masa akan datang, gereja itu bakal bertukar menjadi masjid. Penolakan beliau bukan kerana ia dilarang dalam agama.
Dari hujah-hujah ini, dapat disimpulkan bahawa amalan muslim berbuka puasa di rumah ibadat non- muslim, bukanlah sesuatu yang salah dalam agama. Apatah lagi, ulama-ulama besar Universiti al-Azhar seperti Dr.Ahmad Taib yang merupakan rektor Universiti al-Azhar dan Dr.Ali Jumaah, bekas mufti Mesir turut hadir majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh gereja di Mesir.
Jadi, mengapa perkara ini menjadi isu di Malaysia?
Isu politik
Secara dasarnya, perkara ini menjadi isu, apabila ia melibatkan salah seorang ahli parlimen parti kerajaan Pakatan Harapan, iaitu YB Akmal Nasir dari PKR. Sebagaimana yang diamati, isu ini bermula dengan permainan dari sebilangan individu ilmuwan dari ISMA yang kemudian disambut oleh media PAS dan UMNO.
Sejak dari itu, ia menjadi sentimen awam. Sejak itu, pelbagai tulisan yang berhujah untuk menyatakan larangan, sehingga lahir tanggapan bahawa pendekatan tersebut sebagai salah satu agenda pluralisme – memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan fatwa bahawa pluralisme adalah fahaman yang sesat.
Dengan itu, kalangan muslim (kebiasaannya dari kalangan ahli PAS dan ISMA, malah sebilangan ahli UMNO) mula menyatakan sikap tidak bersetuju majlis berbuka puasa diadakan di rumah ibadat non-muslim, malah menganggap ia dilarang dalam agama.
Hujah Agama Dimanipulasi
Apabila wujud sentimen itu, wujud kupasan-kupasan yang sengaja membawakan beberapa sumber wahyu, sama ada al-Quran atau Hadis, tetapi dalam konteks yang salah. Misalnya, mereka memetik ayat al-Quran yang berbunyi, “Kami tidak sembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak sembah apa yang kamu sembah.” (Surah al-Ikhlas 109:2-3)
Dari konteks ayat itu, ia menceritakan berkenaan kisah di zaman Nabi – ada beberapa anggota masyarakat Quraish yang tidak beragama Islam mahu mengadakan perjanjian dengan Nabi, iaitu mereka menyembah Tuhan secara Islam selama setahun, kemudian meminta agar Nabi menyembah Tuhan mereka pula selama setahun. Tindakan sebegitu tidak dibenarkan dalam Islam, menyebabkan Allah menurunkan surah al-Ikhlas (Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, jld 32, hlm 324).
Jikalau dilihat dari konteks ini, kami difahamkan bahawa dakwaan tersebut sudah pasti bercanggah dengan maksud ayat. Ini dilihat bahawa ayat tersebut menyatakan larangan menyembah dan beribadat dengan agama yang berbeza, sedangkan dalam kes berbuka puasa di rumah ibadat non-muslim, ia tidak bermaksud muslim melakukan ibadat non-muslim. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah muslim berbuka puasa secara agama Islam. Cuma, amalan berbuka puasa itu hanya berlaku dalam rumah ibadat non-muslim sahaja, sepertimana kes keizinan menunaikan solat dalam rumah ibadat non-muslim.
Selain dari itu,tidak ada hujah yang dikemukakan kecuali sentimen yang bercampur dengan serangan politik terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang kononnya – menurut mereka – semakin kurang keislamannya.
Penutup
Dari kupasan ini, dapat disimpulkan bahawa berbuka puasa di rumah ibadat non-muslim bukan sesuatu larangan dalam agama Islam. Ekoran itu, ulama besar seperti Dr.Ali Jumu’ah yang juga bekas Mufti Mesir, dan Dr.Ahmad Taib yang juga rektor besar Universiti al-Azhar turut sama hadir majlis berbuka puasa yang dianjurkan salah sebuah gereja di Mesir.
Walau bagaimana pun, sentimen yang tersebar dalam masyarakat Melayu muslim di Malaysia, ia tidak lebih daripada permainan politik dari kalangan yang mereka yang sejak asal lagi tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan. Justeru itu, ia dijadikan sebagai modal untuk menyerang pihak kerajaan.
[1] https://www.masrawy.com/news/news_egypt/details/2019/5/15/1568899/%D8%A8%D8%A7%D9%84%D8%B5%D9%88%D8%B1-%D8%AD%D9%81%D9%84-%D8%A5%D9%81%D8%B7%D8%A7%D8%B1-%D8%B1%D9%85%D8%B6%D8%A7%D9%86%D9%8A-%D9%81%D9%8A-%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%86%D8%B3%D9%8A%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%B3%D9%82%D9%81%D9%8A%D8%A9-%D8%B4%D9%87%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D8%B5%D9%8A%D8%A7%D9%85-%D9%84%D9%8A%D8%B3-%D9%84%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85%D9%8A%D9%86-%D9%81%D9%82%D8%B7-
*Disiarkan di Oriental Daily (8 Jun 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/06/08/293423
**Gambar dipetik daripada page Akmal Nasir, ahli parlimen Johor Bahru.
Facebook Comments