Print Friendly, PDF & Email

Baru-baru ini, Syaikh Dr.Ahmad Taib yang juga rektor Universiti al-Azhar dilaporkan berbicara tentang betapa banyaknya kes poligami, melibatkan kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.

Dengan itu, wujud saranan agar poligami tidak diamalkan lagi secara meluas. Sebaliknya, beliau lebih menganjurkan agar perkahwinan secara monogami dijadikan sebagai amalan dalam masyarakat muslim, khususnya di Mesir.

Cadangan Syaikh Dr.Ahmad Taib tersebut mendapat liputan meluas, terutama dalam akhbar berbahasa Arab dan Inggeris. Agak ramai juga yang menerima saranan terbabit, malah tidak kurang juga yang membantah.

Amalan poligami

Poligami bukan berlaku dalam perbincangan Islam sahaja, malah berlaku dalam tradisi manusia sejak turun-temurun. Poligami telah diamalkan oleh bangsa di seluruh dunia – Yunani, Cina, India, Babilon, Syria, Mesir dan sebagainya. Malah, para Nabi sebelum ini pun, kebanyakan mereka berpoligami.

Masyarakat Arab dahulu adalah masyarakat yang berkabilah. Mereka menjadi kuat dengan sebab mempunyai keturunan yang besar dan anak yang ramai. Dengan sebab itu, bagi masyarakat Arab, monogami hampir tidak dikenal dan tidak terbiasa. Pada mereka, poligami adalah penting untuk membina kekuatan kabilah. Pada mereka, wanita tidak lebih sekadar “kilang” untuk membina kekuatan kabilah mereka – wanita dipandang remeh.

Keadaan ini pernah diungkapkan oleh Khalifah Islam kedua, Umar bin al-Khattab. Beliau menyatakan bahawa sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab menganggap wanita sebagai sesuatu yang remeh - tidak lebih seperti barangan sahaja. Tetapi dengan kedatangan Islam, beliau merasakan bagaimana wanita itu diangkat kemuliaannya. Apatah lagi, hak-hak dan pembelaan terhadap wanita disebut secara jelas dalam kitab suci al-Quran. (al-Asqalani, Fath al-Bari, jld 9, hlm 282)

Semasa kedatangan Islam, ada dari kalangan sahabat Nabi yang mempunyai isteri yang ramai. Contohnya, seorang sahabat bernama Ghailan bin Salamah yang sebelum memeluk Islam, isterinya seramai 10 orang. Apabila dia memeluk Islam, Nabi saw menyuruh dia memilih 4 sahaja isteri dari 10 orang tersebut. (Tarmizi, Hadis no: 1128). Wahab al-Asadi yang mempunyai 8 orang isteri, diminta memilih 4 sahaja (Abu Daud, Hadis no: 2241). Begitu juga Qias bin al-Haris (Ibn Majah, Hadis no: 1952) dan ramai lagi.

Dengan sebab itu, amalan poligami tidak dapat dihapuskan secara mutlak, tetapi ia dikawal-selia. Apatah lagi, amalan poligami yang menjadi amalan suka-suka kaum lelaki telah diubah oleh al-Quran agar menjadi sebagai kebajikan dan perlindungan. Itupun, Islam menambahkan syarat bahawa ia dilakukan oleh orang yang boleh berlaku adil.

Dengan kata lain, Islam bukan menggalakkan kaum lelaki berpoligami, tetapi dalam beberapa keadaan tertentu - demi faktor kebajikan dan perlindungan, Islam tidak melarang poligami. Contohnya, kebajikan terhadap anak yatim yang ibunya tidak mahu dinikahi oleh anak teruna, isteri pertama yang mandul, isteri pertama yang mempunyai penyakit yang terhalang dari melakukan persetubuhan dan sebagainya. Dalam pada itu pun, ia tidak bersifat mutlak, bahkan diikat dengan faktor keadilan.

Ayat poligami

Rujukan utama bagi keizinan berpoligami dalam Islam adalah ayat ketiga dari surah al-Nisa’ yang berbunyi, “Jika kamu bimbang bahawa kamu tidak berlaku adil pada anak-anak yatim, maka nikahilah apa yang baik untuk kamu dari kalangan wanita, sama ada dua, tiga dan empat. Jika kamu bimbang kamu tidak adil, maka memadailah seorang isteri, ataupun hamba yang berada di bawah kuasa kamu.”

Dari sudut teks, ayat ini dijadikan hujah ramai pihak bahawa Islam tidak melarang berpoligami. Tetapi, dari sudut konteks ayat pula, ayat ini diturunkan berkaitan perkara berikut:

Pertama, ia melibatkan harta anak-anak yatim – apabila ibu bapa mereka meninggal, mereka dijaga oleh penjaga mereka. Penjaga itu, bukan sekadar menjaga mereka, malah menjaga harta peninggalan ibu bapa mereka. Terdapat sebilangan penjaga ini yang mengambil kesempatan terhadap harta anak yatim ini, iaitu dengan mahu menikahi anak yatim terbabit dengan tujuan yang tidak baik – mengambil harta anak yatim terbabit. Makanya, al-Quran menyarankan agar penjaga tersebut tidak menikahi anak yatim tersebut, sebaliknya menikahi dengan wanita lain. Memandangkan sudah berbudaya dalam masyarakat Arab dengan poligami, makanya al-Quran terus membataskan pernikahan itu kepada empat orang sahaja. Itupun, disyaratkan agar lelaki terbabit mempunyai kesiapan untuk berlaku adil.

Kedua, dalam Islam, seseorang itu sudah dikira sebagai anak yatim dengan kematian bapa sahaja. Justeru, ada beberapa kes bahawa seseorang anak itu kematian bapa, menyebabkan ibunya menjadi janda. Dengan keadaan wanita pada zaman tersebut yang tidak mempunyai kerjaya, dan hidup dengan bergantung dengan suami, sudah pasti dengan kematian suami (bapa kepada si anak) akan memberi kesan pada kewangan keluarga – dalam membesarkan anak-anak. Memandangkan para ibu tunggal ini sukar diterima oleh anak-anak teruna, makanya al-Quran menyatakan keizinan kepada kaum lelaki yang sudah beristeri untuk berpoligami – berkahwin dengan ibu tunggal tersebut demi kebajikan si anak yatim. Itupun, al-Quran bertegas bahawa lelaki terbabit perlu ada kesiapan untuk berlaku adil.

Penutup

Pada zaman sebelum Islam yang dikenali zaman jahiliyyah, poligami dijadikan sebagai keseronokan seks. Dengan kedatangan Islam – mengubah cara pandang terhadap poligami kepada faktor tuntutan sosial untuk mencapai masyarakat yang berkebajikan. Pun begitu, tidak sedikit dari kalangan muslim yang berpoligami dengan tujuan hiburan seks.

Tidak dinafikan, al-Quran menegaskan prinsip keadilan dalam berpoligami. Tetapi, amat ramai yang berpoligami bukan dari kalangan yang mampu berlaku adil, sebaliknya mengabaikan kewajipan terhadap anak dan isteri.

*Edisi bahasa Cinanya disiarkan di Oriental Daily (1 Jun 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/mingjia/2019/06/01/292675

Facebook Comments