Print Friendly, PDF & Email

Tidak habis lagi isu seorang lelaki non-muslim sembahyang di tokong dengan memakai kopiah dan kain sarung, keluar pula isu satu hantaran Facebook Timbalan Menteri Pendidikan yang menjemput sebarang NGO, sama ada muslim mahupun non-muslim untuk hadir pertemuan dalam melakukan reformasi terhadap beberapa perkara dalam pendidikan Islam.

Sebilangan muslim di Malaysia menganggap dua isu ini amat sensitif. Malah tidak kurang juga yang menuduh – mungkin mahu mencipta persepsi buruk—kononnya Islam semakin terhakis di bawah kerajaan Pakatan Harapan hanya semata-mata melihat kepada isu ini.

Mungkin kita harus sedar bahawa sesuatu perkara yang terjadi itu, kadang-kala bukan soal benar atau salah, tetapi melibatkan sentimen yang wajar dielak. Elak itu kerana, orang yang bertindak secara sentimen, mereka tidak rasional dalam membuat penilaian. Jika tidak dielak, sudah pasti banyak keburukan besar yang bakal berlaku.

Dalam teks Islam pun, soal sentimen ini juga dipesan agar diambil perhatian. Al-Quran pernah menceritakan bahawa di awal Islam berkembang di Mekah, Nabi dan para sahabat menunaikan solat dengan membaca al-Quran sehingga didengari oleh mereka yang sudah sedia asal membenci Islam – mereka mencela al-Quran, maki malaikat yang membawa al-Quran dan hamun Tuhan yang menurunkan al-Quran. Tindakan mereka itu berasaskan sentimen kebencian – prejudis yang mendalam.

Dengan itu, turun ayat ke-110 dari surah al-Isra’ yang menyuruh agar Nabi saw tidak membaca al-Quran dengan nyaring sehingga melahirkan celaan manusia, dan tidak terlalu perlahan sehingga tidak didengari langsung oleh orang Islam, sebaliknya membaca dengan sederhana; tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.

Tidak dinafikan bahawa membaca al-Quran dengan nyaring adalah tuntutan agama. Perkara ini kita akan tahu, apabila kita ke masjid dan melihat muslim menunaikan solat. Pun begitu, soal sentimen juga wajar diambil kira, makanya wahyu memerintahkan agar sentimen perlu diambil kira - memperlahankan suara bacaan al-Quran.

Pakaian Arab

Kopiah adalah penutup kepala yang merupakan pakaian tradisi Arab sejak turun temurun. Jika ke negara Arab pada saat ini pun, bukan sekadar kopiah, malahan lebih dari itu – berserban pun menjadi pakaian tradisi masyarakat Arab. Sebelum Nabi Muhammad saw memulakan dakwah Islam di Mekah pun, masyarakat Arab yang tidak beragama Islam pun sudah memakai kopiah dan serban. Ia berlanjutan juga sehingga pada era Nabi mula berdakwah, malah sehingga hari ini.

Memandangkan kebanyakan ulama Islam dari kalangan masyarakat berbangsa Arab, menjadikan kopiah dan serban dianggap sebagai pakaian ilmuwan Islam. Ia menjadi teladan bagi masyarakat Islam yang bukan berbangsa Arab, seperti dari Iran, India dan beberapa tempat yang diduduki penduduk Islam.

Bagi masyarakat Malaysia, pengaruh pemakaian Arab sedikit demi sedikit dianggap sebagai pakaian Islam. Bahkan, kadangkala ada beberapa jenis pakaian yang tiada kaitan dengan Islam pun, sudah dianggap sebagai pakaian Islam, seperti berbaju Melayu dan berkain sarung.

Apabila persepsi pakaian itu sudah berlaku, tidak hairan wujud sentimen dalam melihat seorang lelaki yang sedang bersembahyang di hadapan tokong dengan memakai kopiah dan berkain sarung. Ia dianggap sebagai menghina Islam.

Pendidikan Islam

Dalam sejarah Islam pun, integrasi muslim dan non-muslim dalam keilmuan Islam sudah terbukti terjadi. Di era dinasti Abbasiyyah, kerajaan monarki muslim itu telah menubuhkan sebuah institusi ilmu terkenal dunia – Baitul Hikmah. Institusi yang menghimpunkan ilmuwan muslim dan non-muslim untuk mengembangkan tradisi ilmu. Yang paling penting, kepercayaan diberikan kepada beberapa tokoh ilmuwan yang tidak beragama Islam seperti Ishak bin Hunain yang beragama Kristian – beliau menterjemah beberapa buah buku falsafah Yunani kepada bahasa Arab.

Hasil dari terjemahan buku falsafah dan mantik Yunani tersebut dimanfaatkan ramai ilmuwan Islam. Integrasi pengaruh Yunani dengan kefahaman teks Islam melahirkan tradisi ilmu yang hebat sehingga dimanfaatkan sampai hari ini. Antara tokohnya, Ibn Sina dalam bidang perubatan, falsafah, falak dan kimia; al-Biruni dalam bidang astronomi, geologi, kimia dan fizik; al-Khawarizmi dalam bidang Geografi, matematik dan falak; al-Farabi dalam bidang logik, falsafah, muzik dan sebagainya.

Dengan sebab itu, meminta pandangan non-muslim dalam hal pendidikan Islam bukan sesuatu yang salah. Pandangan yang diberikan mereka bukan semestinya diterima, tetapi sekadar mendengar – mana tahu, ada antara pandangan itu boleh dimanfaatkan dalam pendidikan Islam. Apatah lagi, sebelum ini pun tidak sedikit juga padagogi pengajian Islam mengambil pandangan beberapa tokoh Barat sebagai rujukan.

Walau bagaimana pun, itu bukan soalnya. Di Malaysia, perkara ini sudah menjadi sentimen. Permainan politik dari pihak yang tidak bertanggungjawab – menjadikannya sebagai sentimen agama dan perkauman, sehingga kebijaksanaan manusia tidak dapat dimanfaatkan.

Penutup

Dari kupasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, bukan dua isu ini sahaja, malah terdapat banyak isu Islam yang berlegar dalam media sosial, hakikatnya bukan isu Islam, tetapi ia lebih kepada sentimen yang diciptakan oleh golongan tertentu.

Kedua, memandangkan kedudukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan anutan agama, sudah pasti faktor sentimen ini perlu diambil kira oleh semua pihak – demi hubungan harmoni sesama warganegara Malaysia.

Ketiga, hubungan saling memahami wajar disuburkan dalam masyarakat Malaysia. Setiap warganegara perlu saling mengukuhkan dalam usaha mewujudkan suasana harmoni sesama kita.

*Disiarkan di Oriental Daily (23 Jun 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/wenhui/2019/06/23/295303

Facebook Comments