Print Friendly, PDF & Email

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Namun, proses ini berlanjutan untuk tempoh yang panjang, malah akta ini tetap digunakan selagi ia tidak dimansuhkan.

Sementara menunggu pemansuhannya, terdapat tertuduh yang disabitkan hukuman penjara di bawah akta tersebut, ditukar hukumannya kepada denda sahaja. Namun kes saya berbeza, bukan sahaja dikekalkan hukuman penjara, bahkan penjara selama 9 bulan ditambah sehingga mencecah setahun.

Makanya, pada 9 Julai, saya dibawa ke Penjara Kajang. Ramai rakan bersedih, tidak kurang juga membantu dan bersolidariti. Bantuan berbentuk kewangan bagi memudahkan urusan saya juga tidak sedikit. Apapun, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Walau bagaimanapun, pelbagai usaha dilakukan oleh rakan-rakan agar saya ditangguhkan hukuman. Dalam jangka dua hari sahaja, urusan mahkamah selesai. Makanya, pada 12 Julai, Mahkamah Tinggi bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap saya. Makanya, saya dilepaskan tetapi bukan bebas sepenuhnya.

Penerimaan yang dipaksakan

Ketika berada dalam penjara, pelbagai pengalaman yang saya lalui. Dari peristiwa dipukul oleh seorang warden, hinggalah minum air paip dalam jeriji besi tersebut. Semua itu adalah pengalaman berharga dalam hidup saya.

Dalam pengalaman tersebut, antara perkara yang sukar saya lupakan adalah kejadian pagi pada hari kedua saya dalam penjara. Warden penjara bertanya kepada saya, apakah saya mandi pada waktu subuh (dalam lingkungan pukul 5.45 pagi). Saya nyatakan, kebiasaan saya mandi waktu pagi sewaktu mahu pergi kerja – dalam lingkungan pukul 9 pagi.

Tidak semena-mena, dia menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw mandi pada waktu subuh. Sebagai orang yang mempunyai pendidikan agama, sudah pasti saya tahu bahawa dakwaan warden tersebut adalah salah. Saya menegur dia.

Saya jangka, dia akan menerima teguran. Rupa-rupanya tidak. Dia mengulangi berkali-kali bahawa Nabi mandi waktu subuh. Saya juga mengulangi bahawa dakwaan itu tidak benar. Tiada sumber agama langsung untuk membuktikan kesahihannya.

Walaupun pemahaman agama Islamnya agak dangkal, dia tetap mendesak. Suaranya seakan-akan menengking, saya mula mendiamkan diri. Saya tidak mahu bertengkar dengan orang yang bercakap bukan atas fakta.

Bukan sekadar pada pagi itu, pada waktu petangnya pula, seorang polis penjara memanggil saya. Setelah saya menberitahu nama, nombor kad pengenalan, nombor banduan dan akta kesalahan yang saya hadapi seperti yang diminta, dia bertanya berkenaan kerja saya.

Saya nyatakan bahawa saya kini bekerja dengan NGO – Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA yang berusaha mengadakan dialog dan penjelasan berkenaan isu kaum dan agama di Malaysia dengan tujuan mewujudkan hubungan harmoni sesama warganegara.

Dia bertanya pula, apa pekerjaan saya sebelum ini. Saya menjelaskan bahawa dalam hampir dua tahun lepas, saya bekerja dengan kerajaan Pulau Pinang - sebagai pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang kini adalah Menteri Kewangan. Dia bertanya lagi, mengapa saya berhenti dari bekerja dengan kerajaan, dan bekerja dengan NGO. Saya menjelaskan bahawa saya lebih gembira bekerja sebagai penyelidik, dan lebih seronok terlibat dalam wacana dan dialog antara kaum dan warganegara yang berbeza agama.

Mendengar jawapan saya itu, dia mula bersyarah. Saya hanya mendengar syarahan dia. Tetapi, dalam syarahan tersebut, dia menyebut satu fakta yang tidak benar, iaitu apabila dia berkata bahawa al-Quran menyatakan bahawa orang berilmu tidak boleh berdampingan dengan pemerintah.

Sebenarnya, apa yang disebutkan itu tidak benar sama sekali. Tidak terdapat satu ayat al-Quran pun yang menyatakan sebegitu. Makanya, saya menegur dia. Namun begitu, kelihatan dia mempertahankan dakwaannya. Apabila saya mendesak agar didatangkan bukti – ayat berapa dan surah apa? Dia terus berkata bahawa saya sebagai orang yang mempunyai pendidikan agama, perkara sebegitu semestinya saya tahu.

Saya memberitahu kepadanya, bahawa apa yang disebutkannya itu sebenarnya tidak ada. Dia mula mengangkat suara. Memandangkan dia mempunyai kuasa, maka saya mendiamkan diri.

Kuasa vs Kebenaran

Kadangkala saya berfikir bahawa kebenaran sukar tersebar hanya kerana penentuan sesuatu penafsiran itu datang dari orang yang berkuasa. Mempunyai bacaan dan penghujahan yang baik tidak akan ditampilkan sebagai kebenaran, kerana ada pihak yang mempunyai kuasa menghalang penafsiran yang berbeza dengan mereka.

Dalam kes saya di atas, ia bukan isu penafsiran agama, tetapi isu fakta agama. Hanya dengan kuasa, perkara yang melibatkan fakta yang terang-terang salah pun, mereka boleh pertahankan, bayangkan dalam perkara yang melibatkan kepada penafsiran agama.

Realiti ini turut berlaku dalam sejarah manusia, malah dalam kalangan umat Islam. Dalam lebih kurang 1000 tahun yang lalu, seorang ulama Islam bernama Imam Ahmad bin Hanbal pernah dipenjarakan hanya kerana berbeza penafsiran agama. Bahkan, pada era pemerintahan seorang sultan Islam bernama al-Watsiq, seorang ulama Islam bernama Ahmad bin Nasr al-Khuzaie pernah dijatuhkan hukuman bunuh, hanya kerana mengkritik penafsiran agama ulama-ulama pemerintah - mereka menghasut sultan agar membunuh Ahmad bin Nasr al-Kuzaie.

Penutup

Agama tidak berdiri atas kuasa, tetapi berdiri atas hujah dan fakta. Agama dengan kuasa adalah kemunafikan. Ini kerana, kebenaran hakiki berdiri atas hujah dan fakta, sedangkan kuasa ada unsur penerimaan secara pemaksaan.

Diteropong kepada ajaran al-Quran, terdapat banyak ayat yang mendesak manusia agar mengangkat soal fakta dan hujah. Perkara ini diangkat begitu penting, kerana Islam mahu manusia menjadi baik kerana agama. Apatah lagi, banyak kerosakan yang berlaku bukan kerana agama, tetapi kerana fakta dan penafsiran yang salah yang disandarkan kepada agama.

*Disiarkan di Oriental Daily (21 Julai 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/wenhui/2019/07/21/299009

Facebook Comments