DUN Selangor mencetuskan sedikit kebisingan dalam politik Malaysia. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membawa satu usul yang agak kontroversi. Ia berkaitan dengan status agama bagi seorang anak, jikalau salah seorang daripada ibu bapanya memeluk agama Islam.
Sebelum ini, terdapat satu kes perbicaraan di Mahkamah Sivil berkenaan seorang ibu beragama Hindu yang bernama Indra Gandi. Dia telah menang dalam perbicaraan kes tersebut. Hujah di pihak peguam, anak Indra Gandi tidak boleh dikatakan beragama Islam hanya kerana suaminya memeluk agama Islam. Ini kerana, peruntukan undang-undang menyatakan bahawa keislaman anak itu berdasarkan persetujuan ibu bapa secara bersama. Ia diasaskan kepada perkataan “dan” yang ditafsirkan di mahkamah sebagai persetujuan kedua-dua belah pihak.
Hakikatnya, bukan sekadar peruntukan di peringkat Mahkamah Sivil. Peruntukan di peringkat Mahkamah Syariah Selangor dan Terengganu juga mempunyai kandungan yang sama. Walau bagaimanapun, pihak MAIS tidak bersetuju dengan keputusan dalam kes Indra Gandi tersebut. Makanya, mereka mahu menggantikan perkataan “dan” dengan “atau”, yang memberi implikasi penafsiran bahawa bukan persetujuan kedua-dua orang suami dan isteri, tetapi cukup salah seorang bersetuju, maka anak itu sudah dikira sebagai beragama Islam.
Pandangan Ulama Islam
Dari sudut perbincangan fiqh Islam, ilmuwan Islam tidak sependapat dalam perkara ini. Perbezaan itu terbahagi kepada tiga pandangan:
- Pandangan majoriti yang menyatakan, agama anak sebagai Islam, jika ibu bapa yang salah seorang mereka memeluk Islam.
- Pandangan Imam Malik, seorang ulama dari Madinah dalam lingkungan seribu tahun yang lalu, bahawa agama anak itu berdasarkan agama bapa, bukan agama ibu. Dengan kata lain, jika bapa memeluk agama Islam, maka anak itu muslim. Jika bapa tidak memeluk Islam, walaupun ibu memeluk Islam, maka anak dikira sebagai bukan muslim.
- Pandangan Imam Tawus bin al-Kisan, seorang Ulama dari Yaman yang dalam lingkungan zaman hampir sama dengan imam Malik bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam, maka agama anak itu dikira sebagai sah setelah anak itu memilihnya selepas umur baligh. Jika dia memilih Islam, maka dia dikira sebagai muslim. Demikian juga dengan sebaliknya.
Dari ketiga-tiga pandangan ini, didapati ulama Islam itu tidak sekata dalam hal status agama anak bagi ibu bapa yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam. Ini kerana, tidak terdapat satu teks wahyu secara terang dalam menjelaskan perkara ini.
Ijtihad Baru
Dalam teks Islam, ada yang bersifat pasti dan ada bersifat ijtihad. Antara perkara pasti dalam teks Islam, seperti penjelasan berkenaan keesaan Tuhan, Muhammad sebagai nabi akhir zaman, kewajipan solat, berpuasa dan sebagainya. Ia tidak boleh ditolak. Jika ada muslim yang menolak, ia boleh membawa implikasi terkeluar dari Islam.
Perkara bersifat ijtihad pula adalah sebarang perkara Islam yang terbuka kepada penafsiran dari ilmuwan Islam. Ia ada kaitan dengan pemikiran ilmuwan Islam, yang boleh sahaja diterima dan tidak salah untuk ditolak.
Apabila sesuatu perkara itu tergolong dalam kerangka ijtihad, faktor kemaslahatan awam itu wajar diambil kira, seperti mengelak dari perbalahan. Berusaha sedaya mungkin untuk mengurangkan kerosakan, dan mencari kebijaksanaan yang mungkin untuk mencapai kebaikan di semua pihak.
Dengan itu, dalam kes yang melibatkan Indra Gandi sepertimana yang diputuskan di Mahkamah Sivil, tidak wajar dianggap sebagai menyalahi syariah. Walaupun keputusan mahkamah itu bahawa anaknya dianggap sebagai tidak beragama Islam, ternyata keputusan masih berada dalam lingkungan yang setahap dengan ijtihad ulama Islam lagi.
Dakwaan sokong murtad
Dalam pada itu, ada pihak berhujah kononnya peruntukan ini memberi gambaran bahawa ia membuka ruangan untuk anak itu TIDAK MEMELUK AGAMA ISLAM. Lalu, ia ditafsirkan sebagai keizinan murtad.
Dijawab bahawa dua ibu bapa yang asalnya tidak beragama Islam adalah sandaran bagi asal agama bagi si anak. Dengan itu, apabila salah seorang ibu atau bapa itu memeluk Islam, maka status agama anak itu pada asalnya adalah masih tidak beragama Islam lagi.
Dengan itu, mazhab Maliki berpendapat bahawa agama anak itu tetap bukan Islam, andai yang memeluk agama Islam itu adalah si ibu. Ini tidak menjadikan Imam Maliki cenderung untuk membuka ruangan untuk manusia jadi murtad.
Demikian juga, jika dilihat pada fatwa ulama Islam yang lain – Tawus yang berpendapat bahawa salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam tidak menjadikan keislaman anak, kecuali apabila dia baligh. Apabila baligh, ketika itu penentuan agama anak itu terletak pada pilihan anak itu sendiri - dia dikira sebagai muslim, jika dia memilih muslim. Dia dikira sebagai non-muslim, jika itu pilihan dia. Pendapat ini tidak menjadikan Tawus dituduh cenderung kepada kemurtadan.
Melihat kepada dua pandangan -Maliki dan Tawus- didapati bahawa peruntukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Selangor dan Terengganu yang mensyaratkan kedua-dua ibu dan bapa mendapat persetujuan bersama dalam menentukan status agama anak bukan sesuatu yang bercanggah dengan syariah. Apatah lagi, mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak merupakan proses dalam menghindari permusuhan dan perbalahan dalam hal melibatkan perbezaan agama antara ibu dan bapa.
Penutup
Sebagai penutup, ada beberapa perkara yang ingin saya simpulkan:
Pertama, soal status agama anak dengan sebab perbezaan agama ibu dan bapa, dari sudut perbincangan ilmuwan Islam, ia masih dalam kerangka penafsiran. Dengan itu, terdapat beberapa pandangan.
Kedua, keputusan mahkamah melibatkan isu Indra Ghandi yang ada sebilangan muslim menganggap bahawa ia bercanggah dengan ajaran Islam – anggapan itu tidak benar sama sekali.
Ketiga, memutuskan status agama anak dengan perlu mendapat persetujuan dua belah pihak, boleh dianggap salah satu mekanisma yang boleh diperakui. Ini kerana, dengan persetujuan ibu dan bapa secara bersama, paling tidak ia dapat menyelesaikan masalah perbalahan.
*Disiarkan di Oriental Daily (1 September 2019): https://www.orientaldaily.com.my/news/wenhui/2019/09/01/304564
Facebook Comments