Print Friendly, PDF & Email

Beberapa tahun yang lalu, ditularkan satu kisah pengalaman bagaimana seorang graduan berbangsa China ditolak ketika memohon kerja di Eropah.

Kisah tambang pengangkutan awam

Ceritanya begini. Pembelian tiket pengangkutan awam di Eropah bersifat khidmat diri. Penggunanya membayar tambang mengikut destinasi yang dituju. Pemeriksaan tiket bersifat rambang, dan dikenakan denda yang tidak seberapa jikalau didapati pengguna tersebut cuba menggunakan perkhidmatan tanpa bayaran. Seorang warga China yang menuntut di situ menemui ketirisan sistem ini. Hitung punya hitung, kebarangkalian diperiksa adalah rendah, dan jika pun didenda sekali sekala, ia masih “berbaloi”, berbanding tambang yang perlu dibayar untuk membeli tiket dengan sejujur-jujurnya.

Setelah tamat pengajian, dia mula memohon kerja daripada syarikat besar di Eropah. Namun permohonan demi permohonannya ditolak. Maka dia pun bertandang ke salah sebuah syarikat dan mempersoalkan apakah permohonan dirinya ditolak kerana diskriminasi kaum? Akhirnya bahagian sumber manusia tampil memberi penjelasan. Pihak syarikat mendapati dia pernah didenda tiga kali kerana tidak membayar tambang ketika menggunakan pengangkutan awam.

Untuk kali pertama, dia mendakwa dirinya tidak fasih dengan sistem itu, dan pemeriksa mempercayainya, lantas melepaskannya dengan hanya mengenakan tambang yang setimpal, memandangkan itu minggu pertama dia berada di Eropah. Namun dia didapati mengulangi kesalahan itu sebanyak dua kali kemudiannya.

Graduan berbangsa China itu cuba memberi alasan bahawa dirinya tiada duit kecil ketika itu, dan menganggap ia tidak masuk akal untuk menafikan kelayakan seorang graduan yang berprestasi unggul dalam bidang akademiknya, hanya kerana rekod didenda tiga kali dalam pengangkutan awam.

Pihak sumber manusia berterus-terang, sudah tentu bilangan anda menipu jauh lebih banyak daripada rekod anda didenda (kerana agak mustahil seseorang itu begitu malang untuk dikesan setiap kali dia menipu, memandangkan pemeriksaan itu dijalankan secara rambang), dan ia menunjukkan bahawa anda bukan seorang yang beramanah.

Pertama, anda tidak menghormati peraturan. Anda mengambil kesempatan ke atas ketirisan yang anda temui dalam sistem itu. Kedua, integriti anda dipertikaikan lantaran tingkah laku anda. Cuba bayangkan, seandainya anda diambil sebagai pekerja syarikat ini, anda akan diperuntukkan bidang kuasa tertentu. Mekanisme pemantauan yang selengkap mana pun, mempunyai ketirisannya, sebagaimana yang berlaku dalam sistem pengangkutan awam itu. Untuk mempertingkatkan keberkesanan pemantauan, pihak syarikat terpaksa membayar kos yang lebih tinggi. Maka untuk pihak syarikat, “integriti” pekerjanya adalah penting. Ia menjelaskan mengapa permohonan anda ditolak lantaran “rekod denda” yang nampak remeh, sungguhpun kelayakan akademik anda memenuhi syarat yang digariskan.

Kisah ini dipertikaikan kesahihannya kemudian, kerana wujud banyak versi yang jelas ditokok tambah oleh pengguna media sosial. Apapun, falsafah yang tersirat di sebalik kisah ini amat bermakna untuk direnungi.

Suka atau tidak, negara dan masyarakat kita beroperasi atas “kepercayaan sesama manusia”, pada tahap tertentu. Kita menaiki bas dengan kepercayaan bahawa pemandunya berkemahiran. Kepercayaan ini berdasarkan lesen yang diperolehinya, dengan andaian bahawa pemeriksa tidak dirasuah untuk meluluskan ujian memandu. Bayangkan, sungguhpun wujud mekanisme pemantauan di setiap peringkat, namun seandainya salah satu watak “pecah amanah”, maka masyarakat umum akan terdedah kepada bahaya.

Apapun, mekanisme pemantauan atau sistem semak imbang yang diwujudkan sekadar mampu mengurangkan kebarangkalian berlakunya “pecah amanah”, tetapi gagal mencegahnya seratus-peratus. Dalam kisah permohonan kerja graduan China tersebut, jelas, amanah lebih penting daripada profesional. Konsep ini tertanam dalam minda saya untuk sekian lama.

Kisah tiga biji kentang

Bagaimanapun, pengalaman peribadi saya baru-baru ini, yang benar dan sahih, mendorong saya untuk menilai semula konsep “amanah lebih penting daripada profesional”.

Kisahnya begini. Satu hari ketika membeli belah di sebuah pasaraya, saya memilih tiga biji kentang dari bakul yang dilabel “US potato”, kemudian menyerahkannya kepada seorang pekerja asing yang bertugas di kaunter untuk ditimbang dan dibubuhkan tanda harga. Dia mengeluarkan salah sebiji daripadanya, meneliti secara dekat dan membandingkannya dengan dua biji kentang yang lain.

Perkataan “US potato” hampir terlepas dari bibir saya, kerana saya menjangkakan dia kurang pasti sama ada kentang yang saya pilih itu, kentang biasa atau kentang Amerika Syarikat, yang lebih tinggi harganya. Akhirnya dia menimbang dua biji kentang itu dengan kadar harga “US potato”, dan yang sebiji itu dengan kadar harga kentang biasa, sebelum saya sempat mengungkap apa-apa.

Saya cuba menyorok keraguan saya, kerana saya sendiri gagal membezakan kentang itu. Lagipun ketiga-tiganya dipilih dari bakul yang sama. Mungkin pelanggan sebelumnya tersilap letak, bisik hati saya. Saya cuma berharap agar dia tidak menganggap bahawa saya cuba mengambil kesempatan dengan mencampur-adukkan kentang yang berlainan harga.

Setelah dikupas kulit ketiga-tiga biji kentang di dapur, saya terpaksa mengkagumi kebijaksanaan pekerja asing itu. Warna kentang yang sebiji itu, berbeza dengan dua biji yang lain. Maknanya, pekerja asing itu cukup profesional, dan beramanah.

Bayangkan, jikalau dia profesional tetapi tidak beramanah, dia boleh buat tak tahu dan mengira ketiga-tiga biji kentang itu dengan harga US potato, tanpa saya persalahkannya kerana sememangnya saya menjangkakan ketiga-tiga kentang itu dikira dengan harga US potato. Namun, seandainya dia beramanah tetapi tidak profesional, mungkin dia gagal mengesan perbezaan kentang yang biasa itu dengan US Potato. Ia berakhir dengan kesudahan yang sama, iaitu saya tetap membayar harga yang lebih mahal daripada yang sepatutnya.

Menilai semula konsep ‘amanah dan profesional’

Nampaknya ada hikmah di sebalik pengalaman kehidupan harian yang remeh ini. Pembingkaian konsep dengan “amanah lebih penting daripada profesional” mungkin tidak tepat. Ini kerana sungguhpun “amanah” lebih penting daripada “profesional”, “amanah” itu tidak sempurna tanpa “profesional”. Malah, profesional adalah prasyarat untuk membina amanah.

Pahit tapi benar, bahawa seseorang tidak menjadi amanah hanya kerana dia berhasrat menggunung untuk menjadi insan yang beramanah. Seseorang hanya menjadi amanah seandainya dia memiliki kemampuan untuk beramanah. Dengan kata lain, seseorang itu perlu menjadi profesional sebelum beramanah.

Menjadi profesional bermaksud seseorang itu memiliki kemampuan dan kecekapan yang selayaknya dengan jawatan yang disandangnya. Akauntan yang profesional akan mencatat setiap rekod keluar-masuk wang dengan terperinci dan teratur. Sukar untuk kita bayangkan jikalau mana-mana majikan mengupah seorang akauntan yang warak dan soleh, tetapi kerja akaunnya berserabut.

Hal ini kerana akaun yang berserabut membuka ruang sebesar-besarnya untuk kemungkinan penyelewengan. Kita perlu menerima realiti bahawa semua insan “berniat murni” hanya sebelum diuji. Ustaz kalau diuji dengan messenger yang menggoda pun belum tentu teruji, apatah lagi pengguna pengangkutan awam yang menemui ketirisan dalam sistem pembelian tiket?

Seandainya konsep ini diterapkan dalam politik, maka ia bermaksud amanah perlu berasaskan profesional. Seseorang menteri mungkin tidak berniat untuk merembat wang rakyat, tetapi dana awam tetap akan hilang seandainya menteri tersebut tidak profesional untuk mengendalikan kementeriannya.

Menteri yang tidak berkelayakan dan tidak berpengetahuan dalam bidang portfolionya terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk membuat keputusan yang salah. Malah orang-orang di kelilingnya akan mengambil kesempatan untuk memperdayakan menteri tersebut, agar lampu hijau dinyalakan untuk memberi laluan kepada kepentingan segelintir manusia yang berlegar-legar di sekitarnya.

Akhir kata, untuk berdepan dengan realiti dunia yang semakin kompleks dan rumit, niat yang naif bahawa “saya tidak mencuri wang rakyat” sudah tidak memadai. Amanah bukan soal hasrat murni peribadi, tetapi juga kecekapan dan keberkesanan pentadbiran. Jikalau benar ikhlas untuk mempertingkatkan integriti kepimpinan, sila pertingkatkan profesional anda.

*Disiarkan di Malaysiakini (26 September 2019): https://www.malaysiakini.com/columns/493328

Facebook Comments