Khabar Utusan Malaysia menggulung tikar mencungkil perasaan yang berbaur. Mungkin ramai yang bersorak, lebih-lebih lagi akhbar ini dianggap sebagai lidah propaganda UMNO selama ini – bukan sahaja menyebarkan fitnah untuk menjahanamkan musuh politiknya, malah menyuburkan fahaman perkauman dan agama sempit yang merobek hubungan masyarakat majmuk ini.
Namun akhbar ini tetap memberi makna dalam pengalaman hidup saya. Saya pernah langgani Utusan Malaysia, bersilih ganti dengan Berita Harian ketika zaman sekolah menengah. Dengan duit poket sendiri, bersama kakak saya. Kami bayar kepada seorang pengedar Cina bermotorsikal yang akan mencampakkan akhbar langganan kami ke dalam pagar. Ada kalanya duit poket tidak cukup dibelanjakan, maka langganan dikurangkan kepada Utusan Mingguan pada hari Ahad sahaja.
Setiap minggu keratan akhbar disiapkan mengikut isu. Seterusnya, kami “mewarnakan” frasa yang berbunga-bunga. Istilah yang bombastik dicari maksudnya dengan Kamus Dewan. Komputer masih belum muncul di rumah kami pada zaman 1990-an. Semuanya hasil kerja “manual”. Akhirnya frasa yang berbunga-bunga itu diselitkan untuk menyerikan karangan, bagi tujuan skor A dalam SPM.
Apakah saya terpengaruh dengan fikiran yang cuba disebarkan, sepanjang pembacaan saya? Ya dan tidak. Saya bersyukur kerana saya menguasai bahasa selain bahasa Melayu. Justeru itu, saya mampu akses kepada pandangan yang berbeza untuk isu yang sama. Tetapi pada usia sebegitu, kami tidak dituntut untuk mengambil pendirian. Memadailah jikalau mampu menguasai kemahiran untuk mengolah pandangan dan menghuraikan “pro dan con” untuk isu yang ditetapkan. Akhirnya, apapun tajuk yang diberikan, kesimpulan karangan semestinya diakhiri dengan ayat, “… demi merealisasikan Wawasan 2020”, bukan?
Akhbar Utusan menjadi bahan kajian ketika zaman universiti, memandangkan saya mengambil kursus Komunikasi. Di sini saya didedahkan teori-teori bagaimana media dikawal melalui akta dan pemilikan; dikisahkan sejarah bagaimana arwah Said Zahari mengadakan mogok untuk menolak pengambil-alihan Utusan oleh UMNO (baca: mempertahankan maruah wartawan). Saya diasuh untuk menjadi lebih kritikal terhadap kandungan media, dengan Utusan sebagai rujukan, selalunya dan malangnya.
Utusan kekal muncul dalam kehidupan harian ketika saya bekerja sebagai pengamal media. Setuju atau tidak, ia dianggap sebagai “suara arus perdana masyarakat Melayu”, atau lebih tepat, UMNO, pada ketika itu. Masyarakat Malaysia sering diasing-asingkan antara satu sama lain dengan faktor bahasa, etnik, budaya, agama dan sebagainya. Perbincangan sesuatu isu jarang menyaksikan pertembungan pandangan secara langsung. Maka suara yang sama akan berlegar-legar dalam komuniti masing-masing, dan bersaing untuk menjadi semakin “ekstrim” ke penghujung yang berbeza.
Tugas saya untuk mencerminkan apa sebenarnya yang dibincangkan dalam masyarakat berbahasa Melayu kepada masyarakat berbahasa Cina, juga sebaliknya selepas saya mengendalikan edisi Bahasa Melayu di media yang saya berkhidmat ketika itu. Pembacaan Utusan menjadi rutin harian. Lama-kelamaan, saya mampu menjangka apakah hujah, logik, malah formulanya untuk memainkan sesuatu isu, di samping mengagumi daya kreatif bilik editorial Utusan untuk mengaitkan isu yang ada dengan kaum dan agama. Senarai 10 jutawan terkaya di Malaysia dengan wajah bukan Melayu – mesej tersiratnya, kekayaan ekonomi masih dikuasai bukan Melayu. Andainya dilanjutkan kepada politik, maka hujah yang sering diulangi – jikalau Melayu berpecah, Cina akan mengambil kesempatan untuk menguasai politik, selain ekonomi – di sini lagu “Budak Kecil Main Api” mula didendangkan.
Banyak lagi yang boleh dibilang jikalau kita mengupas dengan sikap lebih kritikal. Tajuk besar seperti “Apa lagi Cina Mahu?” sejurus selepas PRU13 masih memahat dalam ingatan. Ia menyemarakkan sentimen perkauman dalam masyarakat Malaysia, tanpa memikirkan risiko yang mungkin menimpa kita bersama pada saat-saat yang genting itu.
Apa yang berlaku telah berlalu. Akhbar yang berusia 80 tahun (bermula dengan Utusan Melayu pada tahun 1939, dan Utusan Malaysia pada tahun 1967) bagaimanapun tidak sempat menyaksikan detik saat Wawasan 2020 direalisasikan. Amat kesal, apabila tiada pengganti selepas arwah Said Zahari. Moga-moga, apapun akhbar baru yang muncul selepas ini, bukan pengganti Utusan yang lama.
Zaman sudah berubah. Sama ada mengubah atau diubah, kita tetap berubah. Dengan kecanggihan teknologi maklumat yang melambakkan pertumbuhan media sosial, dengan kebanjiran maklumat (benar dan palsu) ke dalam telefon pintar kita, media sebenarnya menggalas misi penting untuk menjernihkan situasi, membezakan kebenaran dari kebatilan, dan mempersiap-sediakan masyarakat dari segi mental untuk berdepan dengan peredaran zaman. Cabarannya, atas robohan Utusan Malaysia, mampukan kita bangunkan media yang bebas?
*Disiarkan di akhbar Amanah.
Facebook Comments