Pemergian mendiang Rexman Pow Kien An secara tiba-tiba pada usia 45 tahun ditangisi masyarakat sivil, khususnya dalam kalangan mereka yang pernah bergiat aktif dalam Mama Bersih. Sosok tubuh dengan perwatakan rendah diri sepanjang penglibatannya dalam gerakan sosial, kini bersinar dalam ingatan ramai sebagai insan yang mulia.
Jikalau diimbas gambar atau video yang terakam sekitar Pilihan Raya Umum ke-13, akan kelihatan penampilan Pow sebagai pengedar risalah, petugas yang mengangkat pembesar suara, atau penjaga keselamatan dalam perarakan. Pow adalah orang yang sanggup menyediakan pentas untuk orang lain dan kemudian menjauhkan diri dari fokus kelipan kamera.
Pow mungkin seorang pemalu, tetapi berani. Badannya tegap, tetapi suaranya lembut. Seorang suami merangkap bapa yang pernah menulis wasiat untuk keluarganya sebelum menghadiri himpunan BERSIH 2. Berdepan dengan ketidaktentuan yang mungkin berlaku pada 9 Julai 2011, Pow berpesan kepada sahabat untuk menjaga keluarganya jikalau apa-apa terjadi pada dirinya.
Pembedilan gas pemedih mata mencambahkan Generasi 709. Pow mula terlibat dalam gerakan sosial untuk merekrut lebih ramai orang awam. Facebook sebagai media sosial pada ketika itu memainkan peranan untuk mempertemukan warga internet yang berkongsi matlamat yang sama. Ketidakpuasan terhadap kerajaan Barisan Nasional ketika itu, dan keghairahan untuk menumbangkannya cuba didasari dengan hujah, dan bukan laungan slogan atau retorik murahan semata-mata.
Misalnya, kelas diadakan untuk menjelaskan mengapa reformasi sistem pilihan raya menjadi tuntutan yang penting. Malah kelas untuk memupuk kesedaran sivik sebegini dijalankan secara bersiri dan berperingkat. Orang awam yang rasa dirinya mampu menyumbang lebih daripada sekadar “keluar mengundi”, menghadiri kelas latihan PACABA (agen mengundi, agen pengiraan undi dan agen barung) – untuk memastikan penyelewengan mampu diminimakan.
Pow menjadi penggerak di sebalik tabir. Perubahan yang besar tidak kesampaian jikalau gerakan sosial gagal melangkaui sempadan Lembah Klang. Pow antara penyelaras untuk menjayakan kelas tersebut di luar ibu negara, menghulurkan bantuan kepada orang tempatan yang ingin menganjurkan kelas seumpama itu.
Izinkan saya untuk menggilap ingatan ini. Himpunan BERSIH 3 pada 28 April 2012 adalah pengalaman berdemonstrasi pertama sepanjang hayat untuk kebanyakan komuniti Cina, terutamanya kaum ibu yang terpanggil untuk tampil ke depan sebagai “Mama Bersih”. Pow bersama rakannya, merancang dengan rapi agar keselamatan setiap peserta yang dikerahnya terlindung. Maklumlah ketika itu, mereka berdepan dengan SB (special branch) ketika mengedarkan risalah di tempat awam, malah ugutan pihak tertentu apabila turun ke jalan raya. Pow hanya beredar setelah memastikan kesemua peserta di bawah jagaannya meninggalkan tempat kejadian dengan selamat.
Malah, selepas merasai momentum masyarakat Cina ke arah perubahan politik, Pow cuba mengorak selangkah ke depan untuk memecah tembok perkauman. Beberapa kutipan derma dilancarkan ketika itu, misalnya untuk mangsa penyalahgunaan kuasa polis, Ahmad Syauqey (2012) dan Tabung Perak 13 (2015), dengan menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan, tanpa mengira kaum dan agama.
Sungguhpun bukan pakar strategi, namun Pow sentiasa menunjukkan komitmennya untuk mencari jalan dalam kebuntuan. Misalnya, apabila didapati “jurang maklumat yang melebar antara bandar dengan kampung”, kerana Pakatan Rakyat tidak menguasai media arus perdana ketika itu, Pow dengan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk menerbitkan risalah, bukan sahaja dalam bahasa Cina, tetapi juga bahasa Melayu – untuk menjelaskan isu Lynas dan reformasi politik yang dituntut ketika itu. Bukan sekadar menerbitkan, malah mengatur agar ia disebarkan ke pelosok yang memerlukan informasi tersebut.
Suasana politik diselubungi kemurungan di pasca PRU13. Ramai yang kecewa selepas “pertukaran kerajaan persekutuan” digagalkan pada 5 Mei 2013. Untuk memacu semula momentum, ada cadangan agar NGO dari pelbagai kaum dipertemukan untuk berkongsi isu yang dijuarai, saling mengenali dan menerokai kemungkinan untuk bekerjasama pada masa depan. Sesi interaksi ini berjaya diadakan pada November 2013, dengan bantuan Pow bersama rakan-rakannya.
Kenangan terhadap Pow mencungkil rindu saya kepada zaman itu. Sungguhpun murung lantaran kegagalan untuk bertukar kerajaan (persekutuan) ketika itu, tetapi suasananya cukup positif kerana hubungan antara kaum dibina selangkah demi selangkah untuk menangkis serangan retorik perkauman dan agama sempit. Hujah rasis dari komuniti sendiri akan disanggah terlebih dahulu, sebelum ia sempat dilontar ke komuniti lain.
Namun segala-galanya berubah. Ya, misi pertukaran kerajaan (persekutuan) akhirnya tercapai, tetapi hujah perkauman dan agama sempit disuburkan kembali. Hilangnya kepercayaan antara komuniti etnik menjadikan situasi lebih ketara.
Sebagai rakan Pow, kami sedang berusaha untuk mengutip dana agar kehidupan keluarganya tidak terjejas dengan pemergian Pow. Dalam keluhan, saya terfikir-fikir, bukankah lebih baik perbincangan wacana ditumpukan kepada dasar untuk membantu golongan yang keperluan (misalnya jaring keselamatan sosial untuk keluarga yang kehilangan pencari rezeki tunggal secara tiba-tiba), daripada isu kaum dan agama yang tidak habis-habis? Sekurang-kurangnya, keringat Pow yang dicurahkan sebelumnya, berhasil untuk menyokong kehidupan keluarganya, selepas jasadnya meninggalkan kita.
*Disiarkan di akhbar Amanah.
Facebook Comments