Print Friendly, PDF & Email

Barangkali ini kali pertama suasana ceramah anjuran DAP lebih hambar berbanding MCA di khalayak masyarakat Cina, untuk sekian lama. Sungguhpun DAP mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihan raya umum pada tahun 1995, juga tahun 2004, tetapi suasana dan sambutan massa tetap hangat seandainya tokoh tertentu seperti Lim Kit Siang turun sebagai pemidato. Cuma malangnya, kehadiran, sorakan dan tepukan tidak diterjemahkan kepada kertas undi pada hari pengundian.

Sebaliknya, MCA memang jauh ketinggalan dalam bab ceramah, atau rapat umum selama ini. Pidato dan pemidatonya membosankan. Malah, mereka dibebankan untuk membela diri atas segala penyelewengan yang berlaku dalam pemerintahan mereka – sama ada dilakukan mereka sendiri, ataupun rakan sekutunya dalam Barisan Nasional. Justeru itu, cabutan bertuah, hadiah dan sebagainya ditaburkan untuk menarik kehadiran massa, agar tidak kekok dengan kerusi yang lebih daripada hadirinnya.

Akhirnya roda nasib berputar. Sejak menjadi pembangkang, MCA mengitar semula retorik dan gaya pemimpin DAP untuk mengasak musuh ketatnya. Barangkali DAP menganggap ia tidak adil untuk dirinya, semata-mata kerana dirinya belum menyelesaikan apa yang gagal diselesaikan MCA untuk 61 tahun. Hakikatnya pernah juga sesetengah DAP mendakwa bahawa adanya isu yang boleh diselesaikan sebaik sahaja mereka menawan Putrajaya, misalnya pengiktirafan UEC. Keterlanjuran sebegini dijadikan modal oleh MCA untuk terus menyerang DAP.

Sementara itu, setelah menganggotai kerajaan persekutuan, DAP perlu bertanggungjawab ke atas segala baik-buruk yang dilakukan sepanjang 18 bulan ini, sama ada dirinya, mahupun sekutunya dalam Pakatan Harapan. Sudah tentu lebih banyak yang dijanjikan daripada yang dilaksanakan. Pemidatonya mula melembutkan nada, kalau diapi-apikan pidatonya pun, dianggap tidak serasi dengan imejnya sebagai kerajaan. Jadi, sambutan yang hambar daripada penyokongnya tidak sukar untuk dijangkakan, apatah lagi jika tidak dirangsang dengan cabutan bertuah dan hadiah yang lumayan.

Senario ini menjelaskan mengapa pemimpin MCA semakin teruja, dan pemimpin PH (terutamanya DAP) menjadi serba-salah dalam penampilannya di depan masyarakat Cina. Perubahan ini padahal sesuatu yang lumrah. Mustahil sesebuah parti politik mampu mengekalkan peratusan undi sesebuah komuniti pada paras 80% ke atas untuk selama-lamanya, bukan?

Persoalan yang dilontarkan di atas bukan bertujuan untuk menjustifikasikan kegagalan PH meraih sokongan masyarakat Cina, sebaliknya sebagai peringatan bahawa masyarakat Cina umumnya telah mencurahkan sokongan majoriti pada paras 70% (PRU 2008), sebelum melonjak kepada 85%(PRU 2013) dan 95%(PRU 2018) kepada parti komponen PH untuk tempoh lebih sedekad kebelakangan.

Sokongan pada paras 95% adalah tidak normal, dan angka ini akan kembali normal pada satu hari nanti. Bagaimanapun, ini tidak bermakna PH harus melepas tangan untuk membiarkan penurunan secara mendadak. Sebaliknya, sentimen masyarakat Cina perlu ditelaah secara rasional, kerana seandainya mesej yang ingin disampaikan itu disalah-tafsir, maka ia bakal mengundang kekalahan yang lebih besar pada masa depan.

Misalnya, setelah merasai suasana yang berbeza dalam masyarakat Cina kali ini, ada yang melontarkan tuduhan melulu bahawa Cina hanya akan mengundi calon Cina, kerana bersikap rasis. Tuduhan ini bukan sahaja mengeruhkan keadaan, malah dianggap meleset kerana data Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan bahawa kira-kira 64% pengundi Cina menyokong PH dalam PRU14, yang menyaksikan pertembungan antara arwah Md Farid Md Rafik (PPBM) dengan Wee Jeck Seng (MCA) di Tanjung Piai. Dengan kata lain, majoriti pengundi Cina masih menyokong calon Melayu sungguhpun ditawarkan pilihan calon Cina.

Jadi, apakah sebenarnya yang menjurus kepada kekecewaan masyarakat Cina, sehingga mula menunjukkan bibit-bibit untuk menyokong MCA – yang tidak terpisah daripada UMNO-PAS, dengan pendekatan politik yang lebih “eksklusif” sebelumnya?

Isunya bertimbun-timbun, dan saya tidak mengatakan bahawa semua tuntutan masyarakat Cina itu wajar. Tetapi saya perlu menyatakan bahawa suasana kemurungan menyelubungi masyarakat Cina selepas berlangsungnya Kongres Maruah Melayu, lebih-lebih lagi dengan kenyataan bahawa “Malaysia milik Melayu”. Ia agak mengguris hati, malah dalam kalangan aktivis yang bertungkus-lumus untuk membebaskan bumi ini dari regim kleptokrasi dalam PRU14. Mungkin ada yang akan mendakwa bahawa ini bukan kenyataan bagi pihak kerajaan, tetapi hakikatnya kehadiran perdana menteri bersama menterinya dalam majlis itu mengundang persepsi bahawa PH merestui kenyataan sedemikian.

Sentimen ini wajar disantuni sebaik-baiknya, daripada terus menyerang MCA atau UMNO-PAS, malah Najib Razak dengan sindiran yang sinis dan nada yang keras. Zaman menyindir, menuding jari kepada BN telah berakhir, setelah BN tumbang dan menjadi pembangkang. PH kini harus menampilkan diri sebagai pemerintah yang matang, dengan prestasi pentadbiran yang mantap, dan wawasan yang berpandangan jauh. Ramai dalam kalangan kita masih kurang pasti apakah Malaysia telah diselamatkan selepas PRU14, tetapi apa yang pasti, PH gagal menyelamatkan dirinya dengan mempersalahkan BN lagi.

*Tulisan ini disiarkan di akhbar Amanah, sebelum hari pengundian 16 November 2019.
**Kredit gambar: Malaysiakini

Facebook Comments