Sungguhpun Pakatan Rakyat hanya bertahan untuk tempoh tujuh tahun, antara 1 April 2008 hingga 16 Jun 2015, ia tidak bermakna formula ini gagal. Malah, PR sebenarnya menawarkan satu formula alternatif, untuk menyaingi Barisan Nasional, yang memperlihatkan gabungan parti politik mewakili kaum masing-masing. Dalam kerangka BN, UMNO mewakili Melayu, MCA mewakili Cina, MIC mewakili India, begitu juga dengan parti dari Malaysia Timur.
Tidak dinafikan, bahawa ramai yang cuba menyamakan PR dengan BN – PAS mewakili Melayu-Muslim, DAP mewakili bukan Melayu-Muslim dan yang selainnya diwakili PKR. Perbandingan ini tidak kena pada tempatnya, kerana ketiga-tiga parti politik ini cuba menampilkan dirinya sebagai parti untuk semua pada ketika itu.
PKR, diasaskan pada 4 April 1999 sebagai parti berbilang kaum. PAS ketika zaman PR, melaungkan slogan “PAS Untuk Semua”, malah menaik-taraf Kelab Penyokong PAS yang dianggotai non-muslim kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS. DAP pada zaman itu cuba mentransformasi dirinya dengan menarik beberapa tokoh besar Melayu ke dalam partinya, disusuli dengan menawarkan platform yang lebih besar untuk beberapa anak muda Melayu.
Akhirnya, sesuatu yang ajaib berlaku. PAS nampaknya lebih berkesan untuk menarik sokongan non-muslim kepada PR, kerana menampilkan pendekatan yang lebih iklusif berbanding UMNO. Contoh terbaik apabila peserta keturunan Cina begitu terharu dengan perlindungan yang diberikan Unit Amal sepanjang himpunan BERSIH. DAP pula, sungguhpun dimomokkan oleh UMNO sebagai parti yang anti-Melayu dan anti-Islam, menjadi pilihan kepada sesetengah anak muda Melayu, yang berminat untuk menerokai politik dari dimensi penggubalan dasar pentadbiran, pada masa yang sama, enggan terjerat dalam pergelutan kuasa dalaman.
UMNO tetap menyerang bahawa PAS telah menggadaikan prinsip untuk mempertahankan Islam; sementara MCA mengambil kesempatan untuk menuduh bahawa DAP semakin tunduk untuk memberi laluan kepada agenda Islam. Perspektif negatif itu cuba dipahat dalam kalangan rakyat, dan menimbulkan pertikaian dalam PR di peringkat akar umbi. Namun, pada peringkat kebangsaan, PR kekal utuh apabila semua parti komponen PR berpegang kepada jalur politik untuk mempertahankan semua rakyat, tidak kira warna kulit dan agama.
Saya masih ingat adegan di mana mendiang Karpal Singh selaku Pengerusi DAP pada tahun 2010, menyeru agar PAS mempertahankan hak bukan Islam di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan, sementara DAP akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi. Situasi ini sedikit sebanyak meredakan suasana yang agak tegang dalam PR ketika itu. Malah, ada yang teruja kerana ia memecah imej stereotaip yang terpahat dalam minda masyarakat selama ini — “DAP hanya akan menjuarai isu non-muslim”, dan “PAS mempertahankan Islam sahaja”.
Malangnya, PR terkubur sebelum ia sempat membuktikan kepada BN bahawa eksperimen politik ini boleh berjaya. Lantas apabila gandingan parti politik DAP, Amanah dan PKR mahu menumpaskan BN dalam PRU14, mereka akhirnya bersetuju untuk membawa masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), untuk mengisi kelompangan “keMelayuan”-nya.
Tidak adil untuk kita mengecam keputusan ini sekarang, kerana ada yang akan mendakwa, seandainya PPBM tidak dirangkumi ke dalam PH pada PRU14, mungkin PH gagal menawan Putrajaya. Cuma, dengan kehadiran PPBM dalam PH, sedar ataupun tidak, ia terbawa-bawa dengan bayangan BN, menjadikan ia dilihat sebagai BN 2.0, dengan PPBM mewakili Melayu, Amanah mewakili muslim, DAP mewakili non-muslim, dan selebihnya untuk PKR. Situasi sedemikian menjadikan parti politik tersebut dilabel sebagai UMNO 2.0, PAS 2.0 dan MCA 2.0.
Lebih bahaya, apabila formula BN dicedok, maka ia terjerat dalam zero-sum game yang tidak berpenghujung. Misalnya, jikalau UEC diiktiraf, maka ia akan dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai agenda DAP untuk komuniti Cina dan parti Melayu dianggap sebagai boneka DAP. Dan jikalau tulisan jawi atau seni khat dimasukkan ke dalam silibus sekolah jenis kebangsaan, DAP akan dipandang masyarakat Cina sebagai pengkhianat untuk membuka pintu kepada pengislaman ke dalam pendidikan.
Ia tidak berhenti di situ. Situasi menjadi keruh apabila tiada muafakat antara parti komponen PH, sebaliknya saling menuding jari apabila timbulnya kontroversi. Sudahlah diserang musuh politik, rakan sekutu pula memberi reaksi untuk mengiyakan tuduhan musuh politik. Contohnya, kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bahawa beliau “berseorangan untuk melawan puak-puak DAP”. Bukan sahaja ia “mengesahkan” persepsi yang cuba ditimbulkan, malah ia menimbulkan perselisihan dalam PH.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, seandainya dikatakan formula BN tidak sesuai, mengapa ia bertahan sehingga hari ini? Formula BN sebenarnya bertahan sehingga 9 Mei 2018, apa yang tinggal sekarang, bukan lagi BN sebermulanya. Jikapun gandingan BN-Muafakat Nasional berjaya menumpaskan PH dalam PRK Tanjung Piai, tidak bermakna ia akan menang dalam PRU15. Dan jikapun ia menang dalam PRU15, ia tetap akan berdepan dengan apa yang dihadapi PH sekarang.
*Artikel ini disiarkan di mingguan Amanah.
Facebook Comments