Print Friendly, PDF & Email

Gerakan Pengganasan (terorisme) bukan perkara baru dalam sejarah kehidupan manusia. Pengganasan tiada kaitan dengan agama. Tetapi, terdapat sebilangan manusia menggunakan agama untuk menghalalkan tindakan pengganasan.

Agama Hindu tidak menyeru kepada pengganasan. Pun begitu, sejarah tercatat bahawa ada sesetengah penganut Hindu yang tidak bertanggungjawab dengan agamanya, mereka menggunakan alasan agama untuk melakukan pengganasan dalam kejadian meruntuhkan Masjid Babri di India dalam sekitar tahun 1992 yang lalu.

Kejadian hampir sama berlaku di Myanmar yang melibatkan masyarakat Rohingya. Agama Buddha mengajar penghormatan terhadap nyawa, hatta nyawa binatang. Tetapi, pembunuhan terhadap masyarakat Rohingya dari sebilangan orang yang berpakaian sami Buddha; itu bukan berfaktorkan ajaran agama, tetapi individu yang tidak bertanggungjawab terhadap agamanya melakukan tindakan sedemikian.

Keadaan yang sama berlaku dalam kalangan orang Islam. Gerakan IS yang sebelum ini terdapat Gerakan al-Qaeda dan Taliban; mereka sering menggunakan slogan Islam, walhal hakikat agama Islam tidak begitu.

Abu Bakar al-Baghdadi

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Gerakan Pegganasan bernama IS telah menguasai beberapa wilayah di Iraq dan Syria. Dengan itu, mereka mengisytiharkan bahawa wilayah penguasaan mereka sebagai Negara Islam dengan menobatkan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai ketua mereka dengan gelaran Amirul Mukminin.

Abu Bakar al-Baghdadi atau nama sebenar beliau Ibrahim Awwad Ibrahim Ali al-Badri al-Samuraei adalah seorang warga Iraq yang terlibat dengan gerakan pengganasan. Bukan baru, malah keterlibatan dia dengan gerakan pengganasan dikatakan agak lama, sehinggakan beliau dikatakan terlibat sama dengan gerakan al-Qaeda melibatkan Osama bin Laden.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini – 26 Oktober 2019, Amerika melalui Presiden mereka, Donald Trump mengumumkan bahawa Abu Bakar al-Baghdadi telah mati bersama dengan tiga orang anaknya dalam satu serangan di salah sebuah tempat dalam wilayah Syria.

Kebumi di laut

Tidak dinafikan, dalam amalan sesetengah manusia terdapat ratapan terhadap kematian. Dalam ratapan, disebut segala kebaikan individu si mati. Kadangkala, dengan ratapan itu mengimbau kembali perjuangan si mati. Dengan itu, melahirkan sentimen, sehingga mereka mula bertindak tanpa menggunakan akal dengan waras.

Dalam tradisi agama Islam, terdapat dua kelompok dalam mengambil sikap dalam hal ini. Bagi mereka beraliran Sunni, amalan ini dianggap larangan agama. Berbeza bagi mereka dari aliran Syiah – anggap ia sebagai dibenarkan dalam agama.

Walau bagaimanapun, ada dakwaan menyatakan – demi mengelak dari menaikkan sentimen bagi mereka yang simpati terhadap perjuangan Osama, Presiden Amerika ketika itu, Obama telah memutuskan agar mayat Osama dikebumikan di laut. Nampaknya, tindakan yang sama dilakukan oleh Trump terhadap mayat Abu Bakar al-Baghdadi.

Membenci non-muslim

Dalam wacana muslim, terdapat kritikan besar dilakukan terhadap salah satu konsep dalam pemikiran pengganasan, iaitu berkenaan konsep “al-Bara’”. Konsep ini menganggap membenci orang bukan Islam adalah tuntutan keimanan. Konsep ini amat bahaya, kerana dengannya membawa kepada amalan pengganasan sehingga ada tanggapan membunuh juga dibenarkan.

Jika diteliti, konsep ini diterima oleh sebilangan ilmuwan muslim, seperti Syaikh Saleh bin Usaimin yang merupakan antara ulama tersohor di Saudi. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa ayat al-Quran yang mempamerkan bahawa tidak menjadi kesalahan bahawa meletakkan perasaan kasih, cinta dan sayang terhadap non-muslim.

Antara hujah-hujahnya adalah seperti berikut:

Pertama, dalam hadis saheh muslim, dinyatakan bahawa Abu Talib yang merupakan bapa saudara nabi – meninggal dunia dalam keadaan tidak memeluk agama Islam. Nabi saw sedih dengan keadaan itu, menyebabkan Allah telah menurunkan firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang kamu SAYANG, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu.” (Surah al-Qasas 28:56)

Dalam ayat ini, secara jelas Allah menyatakan bahawa Nabi saw sayangkan kepada Abu Talib, walaupun beliau tidak beriman. Jelas, bahawa sayangkan orang kafir bukan satu kesalahan dalam agama. Malah, ia berlaku pada diri Nabi saw sendiri.

Kedua, dalam al-Quran juga menyatakan, andai seseorang anak memeluk Islam, lalu kedua ibu bapa menyeru agar dia kembali kepada kekufuran, maka anak tidak perlu taat, tetapi al-Quran tetap menyuruh agar anak melakukan tindakan kasih sayang kepada ibu bapa itu, seperti berurusan secara makruf dan baik. (Surah Luqman 31:15)

Ketiga, dalam al-Quran juga menyatakan keizinan berkahwin dengan perempuan ahli kitab (Surah al-Maidah 5:5), dan al-Quran juga ada menyatakan bahawa ahli kitab dikira sebagai bukan beragama Islam (al-Maidah 5:73). Dalam pada itu pula, al-Quran juga ada menjelaskan bahawa tujuan perkahwinan adalah cinta dan kasih sayang (Surah al-Rum 30:21).

Dengan ini jelas bahawa sayangkan orang bukan Islam bukan sesuatu yang salah dalam agama, malah ia dibenarkan oleh al-Quran. Dengan ini juga, dapat difahami bahawa menganggap benci kepada orang bukan Islam sebagai tuntutan aqidah, bukan sekadar tidak tepat, malah tersasar dari pemahaman al-Quran.

Penutup

Dalam dunia kini, slogan “rahmatan li al-Alamin” sedang digemakan. Slogan ini diangkat oleh sebilangan ilmuwan Islam seperti Dr.Said Ramadan al-Buti dari Syria dan Ben Bayyah dari Mauritania adalah untuk menolak pendekatan pengganasan dalam dunia.

Slogan yang bermaksud “memberi kasih sayang pada sekalian alam” itu, bukan sekadar berlaku di negara Arab, malah di Malaysia juga - slogan yang sama diangkat oleh pihak kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Semoga hubungan sesama warga negara Malaysia berada dalam aman dan damai, toleransi dan harmoni.

Facebook Comments