Sedar atau tidak, “Wawasan 2020” yang diulangi berkali-kali dalam karangan zaman persekolahan dahulu, akan sampai dalam masa kurang daripada setengah bulan lagi. Persoalan yang sering bermain dalam otak kami pada 30 tahun lalu – apakah yang bakal terjadi kepada Malaysia pada tahun 2020? Siapakah pula saya pada tahun 2020?
Sejujurnya, kami gagal membayangkan apa yang terjadi kepada dunia pada tahun 2020. Apakah yang dimaksudkan dengan Negara Maju? Kemajuan yang dicapai sebagaimana Amerika Syarikat, atau Jepun? Dan kami tidak faham dengan apa yang kami tulis dalam karangan berkenaan teknologi maklumat. Kami mencarikan istilah yang paling bombastik untuk menghurai bagaimana Koridor Multimedia meluncurkan Malaysia ke masa depan, tanpa kita tahu pun bagaimana “maklumat” boleh menjana pembangunan ekonomi. Apatah lagi karangan itu cuba menghuraikan kebaikan internet tanpa kita memiliki komputer di rumah.
Berasal dari zaman penghujung abad ke-20, kami generasi yang masih mengisi ruang cita-cita dengan doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya, jauh berbeza dengan kanak-kanak zaman ini yang sudah bertekad untuk menjadi Youtuber, KOL (Key Opinion Leader, di alam maya), dan sebagainya. Dengan kata lain, generasi kami tidak dipersiap-sediakan untuk berdepan dengan apa yang bakal berlaku pada masa depan.
Secara tiba-tiba zaman teknologi maklumat ini muncul di depan kita. Dengan mudah kita memiliki segala peralatan teknologi yang canggih sebagaimana yang ada di pasaran Amerika Syarikat dan Jepun, tetapi belum diperlengkapi dari segi kebijaksanaan untuk menggunakannya.
Cuba kita petik contoh media. Gelombang media internet pertama berjaya menembusi monopoli maklumat yang cuba dikawal mereka yang berkuasa dan memiliki dana melalui media arus perdana. Malaysiakini misalnya, memainkan peranan yang penting pada zaman akhir abad ke-20, untuk menjana gerakan Reformasi politik di tanahair.
Gelombang kedua lebih mengghairahkan apabila media sosial mempermudahkan sebaran maklumat. Himpunan Bersih 2 misalnya, laman media sosial seperti Facebook digunakan untuk meluahkan suara rakyat. Amaran mahupun ugutan dari pihak berkuasa, akhirnya disahut oleh warga Malaysia dengan warna kuning sebagai “gambar profile”-nya.
Tidak dinafikan, bahawa sememangnya kewujudan sosial media telah memacu proses pendemokrasian, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di serata dunia. “Arab Spring” yang berlaku di Timur Tengah, Gerakan Payung di Hong Kong dan sebagainya, menjalinkan hubungan semua pencinta demokrasi di setiap pelosok dunia melalui laman media sosial.
Namun perkembangan kemudian tidak begitu mengujakan, setelah mereka yang berkuasa dan berdana mendapati ada kesempatan yang boleh diambil dari perkembangan ini. Tangan ghaib mula diseluk untuk memanipulasikan “maklumat”, supaya disesuaikan untuk kepentingan masing-masing.
Di sini melambaknya berita palsu, atau berita yang dipetik bahagian tertentu, diperbesarkan, dan dicampur-aduk dengan berita yang direka. “Maklumat” sedemikian membanjiri laman media sosial kita setiap hari. Cuba buka WhatsApp, mahupun Facebook misalnya, berapakah berita palsu yang terkandung di dalam telefon pintar kita?
Kesemua ini kita perolehi secara “percuma” – dari saudara-mara, rakan sekelas sekolah menengah dan sebagainya. Kemudian kita yang tidak kedekut pula berkongsi dengan group yang lain, tanpa kita menyemak kesahihan maklumat yang dihantar kepada kita. Maka perbincangan menjadi hangat, ada kalanya mengeratkan silaturahim, ada kalanya pula berakhir dengan sesetengah yang “Left Group” – semata-mata disebabkan satu berita yang belum tentu sahih.
Masalahnya, masyarakat kita tidak dicelikkan untuk mempersoalkan, bukankah kita akan membayar harga yang lebih tinggi, untuk maklumat yang kita perolehi secara percuma ini? Sumbernya tidak jelas, faktanya kebanyakan auta. Jadi, pernahkah kita berhenti sejenak untuk mempersoalkan, siapakah yang membikin berita sebegini, untuk membentuk dunia kita, agar kita berfikir dalam cara acuan mereka, dan kemudian membuat keputusan yang selari dengan kepentingan mereka?
Hakikatnya, bukan sahaja Malaysia yang belum menjadi “Negara Maju” dilanda fenomena ini, Amerika Syarikat juga menjadi mangsa, khususnya ketika pemilihan Presiden yang lalu, yang berakhir dengan Donald Trump dinobatkan sebagai Presiden.
Menyedari fenomena ini, beberapa negara mula mengambil langkah inisiatif untuk menangkis kesan lambakan maklumat. Antaranya, Jerman telah memperkenalkan Literasi Media dalam pendidikan sivik mereka, agar setiap pengguna maklumat dicelikkan untuk menggunakan maklumat secara berhemah. Ia adalah satu usaha untuk memupuk kesedaran di kalangan warga negara, agar lebih bijak dan sensitif ketika berdepan dengan maklumat, sama ada menerima, menerbit mahupun menyebarkan.
*Disiarkan dalam mingguan Amanah.
Facebook Comments