Apabila janji-janji seperti penghapusan tol, hutang tidak wajar ke atas peneroka Felda dan sebagainya gagal ditunaikan segera, lalu Pakatan Harapan memberi alasan bahawa negara masih terbeban dengan tunggakan hutang yang belum dijelaskan. Hakikatnya, sesetengah rakyat boleh menerima alasan ini, kerana tidak adil untuk menghukum kerajaan PH lantaran masalah yang diwarisi dari kerajaan Barisan Nasional.
Apabila janji-janji seperti pemansuhan akta draconian gagal ditunaikan serta-merta, barangkali ada juga rakyat yang boleh memahami dilema kerajaan PH, kerana berdepan dengan tentangan dalaman daripada pasukan keselamatan. Umpama tarik tali antara keberkesanan penguatkuasaan dengan hak asasi manusia, antara mengekalkan status quo dengan reformasi, kerajaan PH mungkin memerlukan lebih masa untuk mengolah persetujuan daripada pasukan keselamatan.
Namun apabila politik perkauman masih menular, malah semakin berleluasa, apakah pula alasan kerajaan PH ketika berdepan dengan pengundi yang mengidamkan agar politik perkauman dan agama sempit dinoktahkan?
Jikalau UMNO-BN dipersalahkan kerana memainkan politik perkauman ketika mereka menjadi pemerintah, siapakah pula yang dipersalahkan selepas mereka menjadi pembangkang? Apakah UMNO-BN, bahkan PAS masih dipersalahkan kerana melaga-lagakan sentimen perkauman, dan apa yang dilakukan kerajaan PH sekadar reaksi kepada UMNO-PAS?
Hakikatnya, politik perkauman jauh lebih rumit daripada apa yang kita bayangkan. Bukan sahaja politikus, pemimpin NGO, tetapi rakyat sendiri mudah terjebak dengan sentimen perkauman. Cuba lihat bagaimana reaksi masyarakat kita, apabila membincangkan kemalangan jalan raya yang melibatkan dua kaum berbeza, dengan penjenayahan yang melibatkan satu kaum sahaja. Bukankah ia membuka ruang sebesar-besarnya untuk diambil kesempatan oleh politikus?
Justeru itu, politik perkauman tidak akan dinyahkan hanya dengan pertukaran kerajaan. Seandainya diperhalusi, bukan semua isu yang melibatkan kaum dan agama boleh kita kategorikan dengan mudah sebagai “perkauman”. Boleh jadi ia sekadar perbincangan ataupun perdebatan tentang “identiti” yang belum terungkai, tetapi dihangatkan sehingga menjadi “perkauman”. Ini kerana garis yang memisahkannya adalah kabur pada kebanyakan masanya.
Petik sahaja isu Jawi – sukar dibayangkan bahawa tiga muka surat pengenalan tulisan Jawi ini boleh mencetuskan pertikaian yang sebegitu hangat. Salah faham, prejudis, syak-wasangka berbaur dalam masyarakat Cina. Sesetengah pejuang pendidikan bahasa ibunda (pemimpin Dong Jiao Zong) terbelenggu dengan pengalaman lalu sehingga gagal bertindak secara rasional. Ditambah pula dengan wacana akhbar Cina yang cenderung untuk mengaduk kegusaran masyarakat Cina – kesemua ini mengeruhkan keadaan.
Namun, isu politik identiti boleh diredakan secara beransur-ansur dengan pembinaan kepercayaan antara kaum. Masyarakat Cina yang selama ini menganggap dirinya tidak dilayan secara adil, malah kerap “dimangsakan” – perlu membebaskan diri dari mentaliti sedemikian. Namun, bagaimana persepsi stereotaip ini boleh dipecahkan, seandainya terus dibuktikan berkali-kali dalam realiti?
Persidangan tertutup anjuran Dong Jiao Zong terpaksa dibatalkan, setelah pihak polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar persidangan itu tidak diteruskan. Langkah ini sudah tentu mengundang persoalan, mengapa perhimpunan anti-ICERD, Kongres Maruah Melayu diberi lampu hijau, tetapi persidangan tertutup (hanya untuk perwakilan yang dijemput) anjuran Dong Jiao Zong diharamkan?
Bagaimana pula kerajaan PH menjawabnya? Ketika himpunan anti-ICERD, Kongres Maruah Melayu berlangsung, bukankah ia dibenarkan atas nama “hak dan kebebasan”? Jadi mengapa prinsip yang sama tidak digunakan atas persidangan tertutup Dong Jiao Zong?
Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan pendirian Dong Jiao Zong dalam isu Jawi, sebagaimana saya tidak bersetuju dengan pendirian anti-ICERD, atau apa yang diungkapkan dalam Kongres Maruah Melayu. Tetapi saya terpaksa menerima bahawa kebebasan berhimpun adalah hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh dicabul selagi ia tidak mengancam keselamatan orang lain.
Apapun, isu Jawi akan berakhir satu hari nanti, sama ada kesudahannya memuaskan atau tidak. Apa yang pasti, isu politik identiti yang lain akan timbul di masa depan. Mungkin terlalu naif untuk mengharapkan agar politik perkauman ini boleh dinyahkan serta-merta, tetapi PH sekurang-kurangnya perlu menunjukkan tekadnya ke arah menghapuskan politik perkauman.
Ini kerana PH kini telah berkuasa, dan memiliki segala pra-syarat untuk membina semula negara. Ia harus bermula dengan pembinaan kepercayaan antara kaum, dengan mewujudkan satu suasana di mana setiap komuniti merasai perubahan ikhlas yang ingin dibawa PH. Hanya apabila tembok prejudis ini runtuh, barulah kita mampu dijalinkan bersama. Moga-moga dengan usaha sebegini, segala teori konspirasi dan segala prasangka buruk tidak lagi laku pada masa depan, apabila timbulnya isu yang melibatkan kaum dan agama.
*Disiarkan di mingguan Amanah.
Facebook Comments