OLEH: OOI KOK HIN
Selepas Al-Azhar, Wan Ji kembali ke Malaysia dan dilantik sebagai ahli mesyuarat Dewan Ulama PAS Selangor, sebuah sayap yang berpengaruh dalam parti Islamis itu. Tidak lama kemudian, berlaku tsunami politik pada 2008 di mana Barisan Nasional gagal mendapat majoriti dua-pertiga buat pertama kalinya sejak tahun 1969. Pada ketika itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalam blok pembangkang.
“Terdapat perubahan besar pada tahun 2008 apabila PAS sudah berkawan dengan DAP dan PKR. Memang ia mempengaruhi kehidupan kita sendiri,” menurut Wan Ji. Katanya, pengikut dan akar umbi dalam parti politik selalunya bergaul dalam kelompok mereka sahaja. Tetapi apabila kerjasama politik berlaku, ia menyatukan kumpulan-kumpulan manusia yang sebelum itu hanya bergaul dan bergerak mengikut kaum masing-masing – sesuatu fenomena yang kerap berlaku di Malaysia di mana majoriti parti-parti politik adalah berasaskan kaum.
“Kami (sebahagian besar pengikut PAS ketika itu) mengenali ramai orang bukan Islam buat pertama kalinya. Kita selalu hadir dan anjur program bersama, malah pimpinan PAS mengambil sikap “dakwah”, iaitu kami diajar supaya menunjukkan akhlak yang baik supaya dapat mendakwah kepada orang bukan Islam.”
Tidak semua pemimpin PAS berpuas hati dengan pendekatan yang terbuka itu. “Di luar, mereka kata perlu dakwah kepada orang bukan Islam. Dalam mesyuarat dalaman parti, mereka mengutuk pemikiran orang lain,” menurutnya. Wan Ji bagaimanapun memilih untuk berjumpa dan membina hubungan dengan semua dari pelbagai latar belakang.
“Kalau kita yakin Tuhan buat akal untuk kita fikir, kenapa takut? Dari situ aku kata pada diri aku, aku kena jujur pada diri sendiri dan mengambil sikap apa-apa pun kena belajar dari sesiapa sahaja hataa (walaupun) dari non-Muslim pun. Tuhan telah memberikan akal kepada kita untuk berfikir dengan tenang,” kata Wan Ji, memetik dari sebuah buku yang dikarang Ahmad Wahib dan diterbit oleh Institut Kajian Dasar yang bertajuk, Pergolakan Pemikiran Islam. Dia memberi kredit kepada buku itu kerana membangkitkan persoalan yang telah lama disimpan di dalam hatinya berkaitan soal agama dan pluralisme.
*Wawancara penuh disiarkan di New Naratif pada 25 Januari 2020: https://newnaratif.com/journalism/ustaz-golongan-progresif/
**Versi bahasa Inggeris: https://newnaratif.com/journalism/the-progressives-ustaz/
Facebook Comments