Dari satu segi, pengalaman pengajian saya di universiti boleh disimpulkan sebegini – Kuliah disampaikan pensyarah dalam bahasa Melayu, bahan rujukan dalam perpustakaan adalah dalam bahasa Inggeris, dan saya berfikir dengan bahasa Cina. Tidak kurang dalam kalangan lepasan SJKC berkongsi pengalaman yang agak sama dengan saya, dan kami boleh mendabik dada untuk berkata, kami tidak bermasalah untuk menguasai beberapa bahasa pada masa yang sama.
Namun demikian, saya tidak akan sesekali menjadikan pengalaman kami sebagai rujukan untuk menuntut penggubalan dasar yang spontan. Isu ini agak rumit, dan masyarakat kita sebenarnya jauh lebih kompleks dari apa yang mampu kita bayangkan. Anggota dalam masyarakat kita berasal dari latar belakang yang jauh bezanya, memiliki syarat dan kekangan masing-masing.
Misalnya, seandainya murid Melayu diperlengkapkan dengan prasyarat seperti ibu bapa yang tidak kaku lidahnya ketika bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, pusat tuisyen dan buku rujukan yang berkualiti untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kumpulan rakan yang tidak kekok atau sindir-menyindir ketika berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, atau mereka biasa terdedah kepada produk budaya bahasa Inggeris seperti sastera, muzik, filem dan sebagainya – sudah tentu mereka tidak berdepan dengan masalah besar jikalau dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan.
Tetapi, seandainya guru mata pelajaran Sains dan Matematik mereka pun belum bersedia untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, apakah yang kita boleh harapkan daripada anak murid ini?
Lebih-lebih lagi, penggubalan dasar perlu mengambil kira keperluan golongan yang ketinggalan dan terpinggir dari segi ekonomi dan sosial dalam masyarakat. Anak-anak dari keluarga yang berada di bandar, memiliki seribu satu cara dan peluang untuk mempersiap-sediakan dirinya, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang hidupnya serba-kurang? Boleh jadi mereka terus ketinggalan, menjurus kepada amalan ponteng sekolah, dan lama-kelamaan, berakhir dengan tercicir begitu sahaja.
Jadi, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda bukan sekadar memberi makna dari segi keberkesanannya, tetapi memberi makna tersirat bahawa pendidikan juga bertujuan untuk merangkumkan seramai anak murid yang mungkin, agar mereka tidak ketinggalan dan keciciran sepanjang proses ini.
Hakikatnya, faktor ini antara yang dipertimbangkan untuk mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Lebih-lebih lagi, keberkesanan pendidikan dalam bahasa ibunda telah dibuktikan melalui kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang menjalani eksperimennya di Patani, Thailand.
Dalam satu projek bernama Patani Malay-Thai Multilingual Education Programme (PMT-MLE) yang dimulakan pada tahun 2007, UNICEF mendapati bahawa penguasaan bahasa Thai dan mata pelajaran lain oleh anak murid Melayu Patani boleh dipertingkatkan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda di peringkat awal. Kebolehan mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa ibunda (Melayu) diasuh secara berperingkat, dan kemudian dilanjutkan kepada kebolehan yang sama dalam bahasa Thai.
Dengan pelaksanaan program ini, bukan sahaja Melayu Patani mengekalkan bahasa ibunda mereka, tetapi juga mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, iaitu Thai. Ia lebih berkesan berbanding dengan pendidikan yang dimulakan hanya dengan satu bahasa, iaitu Thai.
Jikalau kes kajian ini dirujuk, barangkali kita akan menjadi lebih bijaksana untuk menangani isu pendidikan negara kita. Antara matlamat yang kita setujui, agar pelajar dapat menimba ilmu, dan menguasai bahasa kebangsaan (untuk murid SJK) dan bahasa Inggeris (untuk murid sekolah kebangsaan). Pertama, pelajar perlu dipertingkatkan daya pemahaman mereka, yang mana lebih berkesan jikalau dijalankan dengan bahasa ibunda. Kedua, setelah daya pemahaman mereka berjaya ditingkatkan, barulah kita mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dan Inggeris mereka.
Hakikatnya, kita berkongsi matlamat yang sama, cuma berbeza pandangan dalam bab pelaksanaan kaedahnya. Menterbalikkan langkahnya, misalnya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat awal, tatkala penguasaan bahasa Inggeris mereka masih lemah, akan berakhir dengan kesudahan di mana penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak ke mana, malah prestasi sains dan matematik pula yang merudum.
Begitu juga untuk mereka yang mempertikaikan mengapa sukatan bahasa Melayu berbeza di SJKC berbanding sekolah kebangsaan. Teorinya sama. Sukatan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan direka untuk murid yang bahasa ibundanya Melayu, tetapi sukatan di SJKC direka untuk kebanyakan mereka yang bahasa ibundanya Mandarin. Anak murid tidak wajar dibebankan dengan sukatan Bahasa Melayu yang terlalu berat di peringkat awal, sehingga menghakis keyakinan dan minat mereka dalam mata pelajaran tersebut. Mereka perlu menguasai bahasa ibunda terlebih dahulu, untuk membolehkan mereka menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik kemudian – sebagaimana Melayu Patani perlu menguasai bahasa Melayu terlebih dahulu, untuk mereka menguasai bahasa Thai dengan lebih berkesan kemudian.
Saya bersetuju bahawa setiap warga perlu menguasai bahasa kebangsaannya, tetapi matlamat ini hanya akan dicapai seandainya kita menggunakan kaedah yang betul. Jarang-jarang tuding-menuding dengan emosi dan sentimen boleh menyelesaikan masalah. Jikalau kemarahan boleh menyelesaikan masalah, untuk apa pendidikan disediakan?
*Tulisan ini disiarkan di Mingguan Amanah. Kredit gambar: UNESCO
Facebook Comments