Tersebar video berkaitan seorang guru agama menarik Covid-19 menggunakan pendekatan rawatan jin. Ia dijenamakan sebagai rawatan Islam.
Tidak sedikit warganet yang mengkritik. Banyak pihak mula mempersoalkan kewajaran pendekatan tersebut. Banyak pihak bertanya, tindakan ini di mana rasionalnya? Masuk akal atau tidak?
Apabila keadaan ini berlaku, manusia sudah memahami agama adalah sesuatu yang masuk akal. Sebarang pentafsiran agama dan tindakan agamawan, ia bukan diterima bulat-bulat. Ia perlu ada proses berfikir untuk menerima atau menolak.
Ya, ini juga bukti bahawa masyarakat Muslim di Malaysia kini semakin sedar bahawa beragama dan berakal adalah dua perkara yang tidak bercanggah. Ia saling melengkapi.
Berakal dan beragama
Pernah dahulu saya bersyarah bahawa mendakwa agama tidak masuk akal adalah dakwaan yang pelik. Ini kerana, berakal dan beragama dilihat penting dalam agama Islam.
Berikut adalah hujah saya:
Pertama, dalam al-Quran ada dinyatakan: “Berkata mereka (ahli neraka), kalau kami dengar dan menggunakan akal, sudah pasti kami bukan ahli neraka.” (Sudah al-Mulk, ayat 10)
Al-Quran yang merupakan kitab rujukan utama Islam sendiri mengatakan bahawa kalangan ahli neraka itu, antara ciri-ciri mereka adalah mereka tidak menggunakan akal. Mereka tidak manfaatkan akal sehingga mereka boleh melakukan tindakan yang melayakkan mereka masuk neraka. Justeru, menggunakan akal dapat menyelamatkan manusia terlepas dari neraka.
Kedua, dalam kitab Lisan al-Arab dinyatakan bahawa maksud orang yang berakal adalah orang yang boleh mengawal hawa nafsunya.
Sepertimana kita maklum, al-Quran ada menyatakan bahawa nafsu itu menyeru kepada kejahatan (Surah Yusuf, ayat 53)
Kejahatan yang menjadi desakan nafsu, menurut imam Ibn Manzur, ia boleh dikawal dengan akal. Dengan sebab itu, beragama dan berakal adalah saling melengkapi.
Ketiga, Islam meletakkan asas bahawa orang yang tidak berakal seperti orang gila tidak dituntut untuk mengamalkan agama. Dalam terma Islam disebut “mukallaf“.
Malah, Ibn Abbas ada menyatakan bahawa manusia yang semakin berakal, maka semakin kuat beragama. Semakin dia berakal dalam beragama, dia akan meninggalkan perkara yang diharamkan dan semakin kuat melakukan Taat. (Zad al-Masir fi Ilm al-Tafsir, jilid 2, hlm 359)
Dengan ini jelas, berakal dan beragama tidak bercanggah. Malah, ia saling melengkapi.
Belum masuk akal lagi
Saya pernah ditanya, kalau beragama perlu berakal, macam mana pula dengan beberapa perkara agama yang banyak tidak masuk akal. Contohnya, solat Zuhur empat rakaat.
Apabila saya dikemukakan pertanyaan ini, saya teringat satu syarahan oleh Syaikh Usama al-Azhari, seorang ulama besar di Universiti al-Azhar beraliran Sunni yang alim dalam banyak bidang agama. Beliau pernah ditanya dengan soalan yang sama.
Beliau menjawab dengan merujuk kepada perkataan Imam al-Ghazali yang berkata: “Nas-nas syariah itu (al-Quran dan hadis) datang, kadangkala dalam perkara yang akal tidak faham, tetapi tidak pernah datang pada perkara yang bercanggah dengan akal.”
Saya kira, orang zaman Hang Tuah dahulu tidak faham bahawa penduduk di Tanah Melayu pada hari ini dapat berinteraksi dengan penduduk di Mesir tanpa pergi ke sana. Pada masa itu, dianggap sesuatu yang tidak masuk akal.
Namun pada hari ini, semua ini masuk akal. Apa lagi dengan kewujudan teknologi telefon, Internet, Facebook, Twitter, Whatsapp dan banyak lagi.
Pada mereka, itu tidak masuk akal. Sebenarnya, pada masa itu, ia bukan tidak masuk akal, tetapi belum masuk akal lagi.
Saya berpendapat, agama juga begitu. Dahulu, ramai manusia anggap bahawa israk dan mikraj Nabi itu tidak masuk akal. Kini, berapa ramai yang akui bahawa kejadian itu masuk akal. Orang yang mengatakan tidak masuk akal pada zaman itu, sebenarnya kelemahan akal dia untuk memahami, tetapi dia mendakwa tidak masuk akal.
Kelemahan kita memahami, bukan bermakna ia tidak masuk akal. Kelemahan kita memahami, itu faktor kebodohan kita, bukan sebab ia tidak masuk akal.
Solat Zuhur yang ditetapkan Tuhan sebanyak empat rakaat juga begitu. Mungkin pada hari ini, kita tidak memahaminya. Tetapi di masa akan datang, mungkin kita akan memahaminya. Ia bukan isu tidak masuk akal, tetapi belum masuk akal lagi (kerana kelemahan akal kita untuk memahaminya).
Beragama secara tahyul
Dalam pada semakin ramai orang beragama secara berakal, tidak dapat dinafikan, dengan kehadiran Covid-19 ini, ada segelintir manusia yang beragama secara tahyul dan berkepercayaan yang tidak mempunyai asas.
Contohnya, baru-baru ini tersebar satu video ceramah seorang ustaz dari Indonesia yang menyatakan bahawa andai Covid-19 ini berlanjutan sehingga musim haji. Dengan terlarang dari ibadat haji, itu sebagai petanda bahawa kiamat sudah hampir berlaku.
Dakwaan ini ternyata tidak berasas, malah tahyul dan khayalan sang ustaz. Dari sudut sejarah pun, ibadat haji pernah berpuluh kali dihalang dari ditunaikan ekoran wabak dan perang.
Andai dakwaan bahawa dengan dihalang menunaikan haji, maka kiamat akan terjadi, sudah pasti kiamat sudah terjadi berpuluh kali. Yang pasti, sampai hari ini tidak terjadi lagi.
Perkara penting yang perlu setiap Muslim sedar adalah, ada dua perkara yang perlu dibezakan. Pertama adalah wahyu. Kedua adalah pentafsiran terhadap wahyu.
Pentafsiran datang dari akal manusia. Sifat bagi pentafsiran adalah kemungkinan benar atau salah. Sebarang pentafsiran terhadap wahyu, semestinya masuk akal. Jika tidak masuk akal, pentafsiran itu perlu ditolak.
Perlu juga disedari oleh para Muslim bahawa agama ini sumbernya adalah wahyu, bukan khayalan sang ustaz. Ketika sang ustaz mentafsirkan wahyu, pentafsiran itu jika tidak masuk akal, ia tidak wajar diterima. Sebab itu bukan lagi hakikat pentafsiran, tetapi khayalan.
Dengan sebab itulah, amat ganjil ada sebilangan pihak yang mengaitkan Covid-19 dengan kedatangan Dajjal. Persoalannya, sumber mana anggapan begitu? Ayat Quran mana? Hadis yang mana?
Apa kaitan Covid 19 dengan kedatangan Dajjal? Apa kaitan Covid 19 dengan Dukhan (asap hitam sebelum kiamat)? Pelik-pelik sungguh cara kita beragama.
Islam adalah agama wahyu, bukan agama khayalan agamawan.
Yang lebih jelik, apabila ada pihak mempertahankan perkara ini dengan anggapan bahawa ia adalah ajaran Islam.
Akhi!
Agama ini datang selaras dengan fitrah, tetapi dengan sebab khayalan kamu, agama ini telah terfitnah.
Wallahu ‘alam.
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (edisi bahasa Melayu) pada 2 April 2020: https://www.malaysiakini.com/columns/518249
Facebook Comments