Print Friendly, PDF & Email

Oleh Wan Ji bin Wan Hussin

Dalam wacana muslim di dunia, terdapat satu aliran yang agak keras dinamakan sebagai Wahabi. Wahabi adalah suatu gerakan yang bergerak hebat di Arab Saudi sehingga melebar ke seluruh dunia termasuk di Malaysia. Orang yang mengasaskan gerakan tersebut bernama Muhammad bin Abdul Wahab, meninggal dunia pada Jun 1792.

Gerakan ini dimusuhi ramai pihak. Mungkin disebabkan beberapa pandangan keagamaan mereka yang keras terhadap kalangan yang berbeza dengan mereka, sama ada dari kalangan muslim, apatah lagi terhadap non-muslim.

Antara contohnya, mereka mudah menuduh beberapa amalan muslim secara turun temurun sebagai salah. Amalan membaca tahlil sempena kematian yang merupakan amalan yang diamalkan secara turun-temurun dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia, dituduh oleh kalangan yang berfahaman Wahabi ini sebagai bidaah (reka cipta) dan sesat, yang seterusnya menganggap layak untuk masuk ke neraka.

Dengan serangan sebegini, menyebabkan serangan dilakukan oleh masyarakat Melayu muslim tradisional terhadap mereka yang berfahaman Wahabi ini agak kuat.

Benci non-muslim

Dalam pemikiran Wahabi, terdapat beberapa perkara yang membezakan kepercayaan mereka dengan kalangan muslim yang lain. Antaranya, mereka meletakkan kepercayaan yang dinamakan sebagai konsep wala’ dan bara’. Konsep ini merangkumi beberapa perkara penting.

Pertama, bagi seseorang muslim itu hendaklah meletakkan kepercayaan bahawa Islam adalah agama yang paling benar. Bagi seseorang muslim, wajib bagi dirinya memberi ketaatan penuh kepada ajaran Islam.

Kedua, tanggungjawab bagi seseorang muslim itu memberikan kasih sayang, pertolongan dan bantuan kepada sesama muslim.

Ketiga, seseorang muslim perlu meletakkan kebencian kepada kekufuran dan kesyirikan.

Keempat, seseorang muslim perlu meletakkan kebenciannya kepada orang yang memusuhi agama Islam.

Kelima, seseorang itu perlu juga memusuhi orang yang syirik dan orang yang tidak beragama Islam, dan tidak boleh memusuhi orang Islam.

Lima perkara ini disimpulkan dalam satu perkataan seorang ulama Wahabi dari Arab Saudi bernama Saleh bin Fauzan Al Fauzan dengan kata beliau:

“Antara perkara dasar dalam kepercayaan Islam adalah wajib bagi setiap muslim itu beriman dengan perkara ini, iaitu memberi kepercayaan kepada orang yang bertauhid (mengesakan Allah) dan memusuhi orang yang bermusuh dengan orang Islam. Dia wajib sayang kepada orang yang bertauhid (orang Islam), serta memberi ketaatan kepada mereka. Mereka perlu membenci dan memusuhi orang yang syirik (non-muslim)” (Soleh bin Fauzan al-Fauzan, al-Wala’ wa al-Bara’ fi al-Islam, hlm 2)

Dalam wacana umat Islam dunia, empat perkara di atas tidak berlaku perbezaan pendapat sangat. Kekhilafan berlaku pada perkara yang kelima, iaitu apabila dikatakan bahawa Islam mengajar agar membenci orang yang tidak beragama Islam dan larangan membenci muslim.

Benci non-muslim

Semua kekhilafan ini berlaku kerana penafsiran mereka pada firman Allah dalam surah Al-Fath 48:29: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).”

Ayat ini ada ungkapan “bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir”, menyebabkan mereka meletakkan kepercayaan bahawa membenci non-muslim adalah tuntutan Islam. Mereka turut meletakkan kepercayaan bahawa tidak prejudis kepada non-muslim adalah menyalahi tuntutan agama.

Secara tidak langsung, kesan dari kepercayaan ini, melahirkan prejudis dan hubungan tidak baik antara muslim dan non-muslim di dalam kehidupan bermasyarakat dalam dunia. Ia turut berlaku di Malaysia. Apatah lagi, dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan anutan agama.

Persoalannya, sejauh mana penafsiran sebegini bertepatan dengan ajaran Islam?

Apabila diteliti pada beberapa ayat Al-Quran yang lain pula, didapati pemahaman sebegitu mempunyai kecacatan yang tersendiri. Berikut adalah hujah dalam menjelaskan kecacatan dalam pemahaman tersebut.

Pertama:

Islam membenarkan pemberian kasih sayang kepada non-muslim. Hal ini kerana, dalam al-Quran - Surah al-Rom, ayat 21 menyatakan tujuan perkahwinan adalah untuk cinta dan berkasih sayang. Firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Di dalam Surah Al-Maidah, ayat 5 pula, Al-Quran menyatakan keizinan kepada muslim untuk berkahwin dengan perempuan ahlul kitab (Yahudi dan Nasrani) yang mereka tidak beragama Islam. Firman Allah: “Pada hari ini dihalalkan kepada kamu… (berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya.”

Apabila Al-Quran membenarkan perkahwinan dengan perempuan ahlul kitab (Yahudi dan Nasrani) yang tidak beragama Islam, dan Al-Quran juga mengatakan bahawa tujuan perkahwinan adalah cinta dan kasih sayang. Ini membuktikan bahawa cinta dan sayang kepada orang bukan Islam bukan sesuatu yang dilarang. Dengan itu, dakwaan bahawa “membenci non-muslim” itu adalah tuntutan agama, bercanggah dengan penjelasan ini.

Kedua:

Al-Quran menyatakan berkenaan kedua-dua ibu bapa yang tidak beragama Islam, yang apabila mereka menyeru anak yang beragama Islam agar meninggalkan agama, bahawa anak itu tidak boleh ikut seruan ibu bapa tersebut. Pun begitu, Al-Quran tetap menyuruh agar anak itu berurusan dan bergaul dengan ibu bapanya dengan cara yang baik. Firman Allah: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqmān:15)

Dari ayat ini, didapati bahawa Al-Quran menyuruh seseorang muslim agar tetap melakukan kebaikan tanpa prejudis terhadap kedua ibu bapa, walaupun mereka tidak beragama Islam. Apatah lagi, dalam ayat yang lain - Al-Quran ada menyuruh agar memberikan kasih sayang kepada ibu bapa sehingga melarang dari melakukan tindakan yang boleh menyebabkan ibu bapa sakit hati, walaupun dengan mengungkapkan kalimah “oh” sekalipun.

Firman Allah: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “oh”, dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-‘Isrā’:23)

Jika dianggap membenci dan bersikap keras kepada non-muslim itu sebagai tuntutan agama, sudah pasti ibu bapa yang tidak beragama Islam tidak boleh diperlakukan dengan kebaikan. Ternyata ia berbeza dengan tuntutan yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Ketiga:

Nabi Muhammad saw mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Abu Talib. Beliau tidak beragama Islam sehingga saat kematian. Dalam Hadis digambarkan bahawa Nabi Muhammad amat menyayangi bapa saudara baginda itu sehingga saat kematiannya. Jika membenci dan bersifat keras terhadap orang bukan Islam adalah tuntutan Islam, sudah pasti ia bercanggah dengan tindakan Nabi Muhammad.

Dari hujah-hujah ini, difahami bahawa penafsiran ulama Wahabi bahawa kononnya Islam menyuruh membenci dan bertindak keras terhadap non-muslim, ia adalah pemahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri.

Musuh Islam

Sepertimana yang kita tahu, tidak sedikit dari kalangan non-muslim yang amat mencintai dan sayangkan muslim. Dengan itu difahami, orang yang tidak beragama Islam tidak bermakna mereka mesti memusuhi Islam.

Dalam Hadis, nabi pernah menyatakan bahawa pada zaman baginda terdapat seorang pemimpin beragama Kristian yang adil dalam pemerintahannya. Namanya al-Najashi yang merupakan raja di suatu kerajaan yang bernama Habsyah. Nabi saw berkata: “Alangkah baiknya jika pergi ke bumi Hasyah, kerana di sana ada seorang raja yang tidak akan menzalimi seseorang pun. Ia adalah tempat yang baik, hingga Allah jadikan kamu mendapat keselamatan.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld 3, hlm 85)

Pengakuan nabi ini membuktikan bahawa bukan semua non-muslim itu memusuhi Islam. Malahan dalam kehidupan seharian kita pun, amat ramai non-muslim yang amat menghormati masyarakat muslim.

Dalam neraca Al-Quran, musuh Islam itu digambarkan kepada mereka yang mempunyai tiga ciri utama. Pertama, melakukan serangan terhadap agama Islam. Kedua, berusaha mengusir muslim dari duduk dalam sesebuah negara. Dan ketiga, membantu orang yang mengusir muslim dari sebuah negara. Ini berasaskan kepada firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah Al-Mumtaĥanah:8 – 9)

Dengan sebab itu, sebarang ayat Al-Quran ataupun Hadis yang menggambarkan permusuhan, ia bukan merujuk kepada mereka yang tidak beragama Islam. Tetapi, permusuhan itu hanya terhadap mereka yang memulakan dalam memusuhi Islam dengan melakukan tiga perkara ini.

Memahami itu, difahami ayat Surah Al-Fath, ayat 29 yang menyatakan “bertindak keras terhadap kafir”; ia bukan bermakna bertindak keras terhadap non-muslim, tetapi bertindak keras terhadap orang yang memusuhi Islam. Apatah lagi, dalam menafsirkan ayat ini, seorang sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Abbas menjelaskan bahawa ayat itu diturunkan dalam sejarah perjanjian Hudaibiyah. Ketika itu masyarakat Quraisy menghalang dan bertindak keras terhadap Nabi dan orang Islam dari masuk ke Mekah untuk menunaikan ibadat Haji. (al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld 16, hlm 292)

Dari perbahasan ini, jelas kepercayaan bahawa membenci non-muslim adalah ajaran Islam adalah bersumberkan penafsiran yang salah terhadap teks al-Quran. Apatah lagi, antara perkara dasar bagi Islam adalah rahmat (Melayu: kasih sayang), yang sudah pasti bercanggah dengan konsep kebencian yang merupakan dasar terhadap permusuhan.

Facebook Comments