Saya diminta untuk membedah buku yang pernah menjadi kontroversi suatu masa dulu. Buku bertajuk “al-Islam wa Usul al-Hukm” atau diterjemahkan sebagai “Islam dan Dasar Pemerintahan” merupakan karya seorang ulama lepasan Universiti al-Azhar. Ia keluar pada saat dunia sedang berbicara berkenaan kejatuhan kerajaan Monarki Osmaniah, Turki.
Kala itu, ulama-ulama Islam sedang meratapi kejatuhan kerajaan Monarki muslim yang bertahan ribuan tahun, malah mereka juga sedang menanam kebencian terhadap konsep negara sekular. Semua ini kerana, individu yang bertanggungjawab menjatuhkan Monarki Osmaniah Turki adalah Mustafa Kamal Ataturk, yang merupakan pendokong sekular.
Sebelum itu pula, mufti kerajaan Osmaniah, Syaikh Mustafa Sobri telah memfatwakan bahawa sekular adalah ancaman kepada aqidah Islam. Dengan itu, sekular bukan sekadar dibenci, malah ditakuti.
Dengan keadaan begitu, tiba-tiba Ali Abdul Raziq pula menulis buku tersebut - terkandung kritikan terhadap sistem pemerintahan Islam. Kritikan yang membawa beliau diberikan label negatif dari ulama Islam sendiri seluruh dunia. Malahan, universiti Al-Azhar yang mana beliau mendapat ijazah telah menarik sijil pengajian beliau.
Dari sudut keilmuan, Ali Abdul Raziq mempunyai kekuatan tersendiri. Dari sudut pendidikan, beliau merupakan lepasan dari Universiti al-Azhar dan Oxford. Ditambah lagi, beliau pernah menjawat jawatan hakim mahkamah di Mesir. Dengan itu, penulisan beliau - buku Islam dan Dasar Pemerintahan - bukan sesuatu yang datang dari kritikan kosong, sebaliknya mempunyai penghujahan yang mantap - selaras dengan disiplin ilmu Islam.
Adapun mendapat kritikan dari sebilangan tokoh ilmu, itu adalah perkara biasa. Seperti karya beliau tersebut dikritik oleh Rektor Universiti Al-Azhar ketika itu, Syaikh Muhammad Al-Khadhar Husein. Walau bagaimanapun, dalam perkara yang melibatkan kepada perbahasan ilmiah, ia adalah suatu perkara biasa.
Dakwaan Ijmak
Secara dasarnya, kritikan beliau dimulakan berkenaan kepercayaan muslim sejak sekian lama bahawa menubuhkan pemerintahan Islam adalah sesuatu yang wajib. Dalam wacana dahulu, pemerintahan Islam digelar sebagai khalifah. Dalam wacana sekarang, tidak salah dinamakan sebagai konsep negara Islam.
Dalam kritikan, beliau menggugat asas kepercayaan umum bahawa kewajipan tubuhkan pemerintahan Islam itu adalah bersifat ijmak (maksudnya: kesepakatan umat Islam atas kewajipan menubuhkan khalifah). Antara hujah rujukan itu adalah merujuk kesepakatan para sahabat melantik Abu Bakar Al-Siddiq sebagai khalifah Islam pertama selepas kewafatan Nabi.
Beliau cuba membangkitkan keraguan terhadap dakwaan kesepakatan tersebut. Pada beliau, dalam rencam politik, kesepakatan itu tidak berlaku. Apabila semua pihak diam, tidak semestinya tidak wujud bantahan. Apatah lagi, pihak yang mendiamkan diri itu kadangkala kerana bimbang mendapat tekanan, serangan dan pembunuhan. Contoh yang beliau kemukakan adalah pada zaman beliau, ada parti Ittihad wa al-Taraqqi yang melakukan penentangan terhadap khalifah secara senyap.
Utusan agama
Dari sudut hujah lain pula, rata-rata menyatakan kewajipan pemerintahan Islam dengan merujuk kepada individu Nabi sebagai seorang ketua kerajaan di Madinah, dan kemudiannya di Mekah. Dengan itu, Ali Abdul Raziq menjelaskan bahawa individu Nabi pada dua klasifikasi:Pertama, Nabi sebagai utusan agama. Kedua, Nabi sebagai ahli politik. Pada beliau, seseorang Nabi itu bukan mesti seorang ahli politik. Demikian dalam melihat Nabi Muhammad saw.
Hujah-hujah yang dikemukakan adalah seperti berikut:
Pertama: Para nabi terdahulu merupakan utusan Tuhan yang menyampaikan risalah Islam. Tetapi, ramai nabi terdahulu yang tidak menjadi penguasa dan ahli politik. Malah, nabi yang menjadi pemerintah amat sedikit, iaitu sekadar Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad saw sahaja.
Dengan itu, beliau menyimpulkan bahawa tugasan politik dan kerajaan bukan tuntutan kenabian. Jika ia satu tugas kenabian, sudah pasti menjadi pemerintah itu tidak terbatas kepada empat orang nabi sahaja - sudah pasti semua nabi menjadi ahli politik.
Kedua: Dalam Hadis, ada diceritakan bahawa Nabi telah ke suatu tempat bernama Khaibar. Di situ, Nabi dapati kurma mereka sedap. Apabila ditanya, penduduk di situ menyatakan bahawa mereka melakukan proses kahwin pokok kurma.
Mendengar itu, Nabi saw melarang penduduk di situ dari kahwinkan pokok. Penduduk di situ akur.
Beberapa waktu kemudian, Baginda datang ke Khaibar lagi. Apabila Nabi makan kurma, didapati kurma sudah tidak sedap seperti dulu. Baginda bertanya kepada penduduk di situ. Mereka menyatakan bahawa dahulu Baginda melarang mereka dari kahwinkan pokok. Itu yang menyebabkan kurma mereka tidak sedap seperti dulu. Mendengar penjelasan mereka itu, Baginda terus berkata: “Kamu lebih tahu urusan keduniaan kamu”.
Memandangkan Nabi saw menyerahkan urusan keduniaan itu kepada para sahabat, ini membuktikan bahawa urusan keduniaan seperti politik bukan mesti diambil dari Nabi. Malah, dalam beberapa hal, tidak salah diambil dari orang lain. Dengan ini, mutlak dari Nabi adalah urusan akhirat, seperti urusan kepercayaan dan ibadat, sedangkan urusan Nabi dalam politik tidak bersifat mutlak.
Penghakiman
Selalu sangat orang berhujah bahawa wajib membina khalifah kerana tidak akan sempurna pelaksanaan perundangan Islam kecuali dengan wujudnya khalifah. Maka dengan itu mereka menyimpulkan bahawa menubuhkan khalifah adalah wajib.
Ali Abdul Raziq mengkritik penghujahan itu. Beliau menjelaskan bahawa pada zaman Nabi terdapat beberapa orang sahabat yang dihantar ke negara luar - Umar bin al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari dan Khalid Al-Walid. Pada zaman Saidina Umar menjadi khalifah, seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar dilantik menjadi hakim.
Apabila diteliti tentang penghantaran tersebut, didapati perbezaan riwayat dalam menyatakan tugasan yang mereka lakukan semasa menjadi gabenor. Pertama, ada sebilangan meriwayatkan bahawa Saidina Ali diutuskan ke Yaman untuk menjadi hakim. Sebilangan yang lain mengatakan beliau dilantik untuk mengutip zakat.
Kedua, dinyatakan dalam riwayat yang popular bahawa Muadz bin Jabal dilantik ke Yaman untuk menjadi Hakim. Al-Gasani pula mendakwa, Muadz ditugaskan sebagai seorang yang menguruskan hal ehwal yang berkaitan kewangan dan harta, bukan sebagai hakim.
Dengan ini jelas, dakwaan bahawa wajib membina khalifah Islam dengan alasan wajib melaksanakan hukuman perundangan Islam adalah bersumberkan sesuatu yang tidak kuat. Dengan itu, hujah wajib menubuhkan khalifah dengan alasan bahawa dengan kewujudan khalifah sahaja boleh melaksanakan perundangan Islam, ia adalah hujah yang tidak boleh diterima.
Penutup
Tidak dinafikan bahawa buku karya Ali Abdul Raziq tersebut mendapat kritikan hebat dari sebilangan ulama di zaman beliau, bahkan selepas zaman beliau. Walau bagaimanapun, karya beliau menjadi kajian dalam banyak universiti dalam bidang politik Islam. Malah, tidak kurang juga menjadikan buku beliau sebagai rujukan.
Apabila diteliti dalam tulisan beliau itu, karya itu bukan berniat jahat, sebaliknya mempunyai tujuan yang baik - untuk memastikan dunia muslim berjaya capai tujuan politik iaitu keadilan dan keamanan merentasi anutan agama, kaum dan etnik. Apatah lagi, karya beliau menggunakan pendekatan disiplin ilmu Islam yang betul.
*Disiarkan di Oriental Daily (16 Februari 2020): https://www.orientaldaily.com.my/index.php/news/wenhui/2020/02/16/326853
Facebook Comments