Print Friendly, PDF & Email

Ketika bot pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia pada tahun 2015, tercetusnya satu perdebatan dalam kalangan masyarakat Cina sama ada negara kita bertanggungjawab untuk memberi suaka politik kepada mereka. Kata-kata yang berbisa dilontarkan, tatkala ribuan nyawa terkapai-kapai di tengah-tengah laut, dengan nasib yang terumbang-ambing dibadai ombak.

Adegan ini mencungkil ingatan saya terhadap filem berjudul Life of Pi yang ditayangkan pada tahun 2012. Berkocak juga emosi apabila watak utama, Pi terpaksa bertarung dengan nasibnya di atas rakit bersama seekor harimau. Dahaga dalam kepanasan, lapar dalam kesejukan, malah takut dalam kesepian, dan pasrah dalam kekecewaan.

Mata berair, hidung berhingus menjadi pengalaman sesetengah penonton dalam panggung wayang, sungguhpun ia sekadar lakonan dalam filem. Jadi saya sedikit tercengang dengan perubahan sikap dalam kalangan sesetengah orang – apabila ribuan Pi muncul dalam realiti hidup, hati kita pula dingin dan kaku, seolah-olah tanpa sehiris belas kasihan.

Justeru itu, saya terkejut seperti Najib Razak apabila kalimat ini diulangi dalam perdebatan isu Rohingya lima tahun kemudian, dalam kalangan Muslim-Melayu, yang barangkali sesetengah antara mereka, pernah menghadiri himpunan solidariti ummah untuk Rohingya pada tahun 2016. Saya terkejut kerana logik ini meleset. Pernahkah kalimat ini diajukan kepada mereka yang bersimpati dengan pelarian Palestin, “Kalau belas kasihan anda melimpah, ambillah seorang dua pelarian Palestin untuk dibawa ke rumah anda.”

Lebih terkejut apabila sesetengah Muslim-Melayu berhujah dengan menyifatkan Rohingya sebagai etnik yang berperangai buruk, kejam dan tidak bersyukur. Bukankah alasan ini boleh menghalalkan penindasan kerajaan Myanmar terhadap mereka? Dan jikalau diguna pakai hujah bahawa pelarian asing gagal menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, lantas boleh mencetuskan konflik dalam komuniti setempat, bukankah kita munafik apabila menyeru agar negara Barat membuka pintunya kepada pelarian muslim dari Syria, Palestin dan sebagainya?

Bukan lebih suci

Biar berterus-terang, tidak sesekali saya menganggap diri saya lebih suci untuk berpegang kepada pendirian agar pelarian Rohingya diberi layanan yang lebih berperikemanusiaan. Tatkala negara kita dilanda penularan wabak Covid-19, yang bakal disusuli dengan kemelesetan ekonomi seterusnya, sudah tentu kita berdepan dengan keterbatasan sumber. Maka keutamaan perlu dikenal pasti. Peruntukan untuk menyelesaikan masalah kebuluran pelarian Rohingya, boleh jadi mengakibatkan ketidaksampaian bantuan kepada golongan tertentu dalam masyarakat Malaysia sendiri.

Oleh yang demikian, sama ada Malaysia berkemampuan untuk menghulurkan bantuan, atau sejauh manakah bantuan yang terdaya dihulurkan, boleh diperbincangkan secara rasional. Hakikatnya, ia tidak terhenti sekadar menyediakan bekalan makanan dan minuman, penempatan dan sebagainya, tetapi perancangan jangka panjang – bagaimana golongan manusia ini dilatih untuk hidup berdikari, agar tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan Malaysia, dan juga bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat Malaysia, agar tidak mencetuskan kekecohan dalam komunitinya.

Bukan sahaja golongan Rohingya diasuh, tetapi masyarakat Malaysia sendiri perlu dididik untuk menerima kedatangan sekumpulan manusia yang “asing” daripada kita. Mengapa wujud “pelarian”? Mengapa mereka datang ke sini? Apakah hubungan mereka dengan kita? Apakah tanggungjawab kita sebagai manusia? Bagaimana kita tidak takut dan dendam kepada mereka? Kesemua ini adalah topik besar untuk memupuk kesedaran sivik dalam masyarakat kita. Untuk makluman, topik-topik sedemikian telah diterapkan dalam pendidikan sivik di Jerman, mempersiap-sediakan warganya untuk berdepan dengan kedatangan pelarian yang berduyun-duyun.

Justeru itu, seandainya benar Malaysia tidak mampu dari segi syarat ekonomi, atau sistem perubatan kita gagal menampung beban ini pada saat-saat sedemikian, maka kita terpaksa memohon maaf untuk menolak mereka, tanpa perlu kita memaki hamun dan menghina mereka sebagai sampah. Kita seharusnya rasa kesal dan bersalah, mendoakan agar pelayaran mereka ke destinasi seterusnya dipermudahkan, dan bukannya menyarat bot yang terayun-ayun itu dengan sumpah seranah kita.

Kebinatangan dalam manusia

Padahal, inilah yang paling terkesan untuk diri saya, setelah menyaksikan serangan terhadap perangai dan tindak-tanduk sesetengah pelarian Rohingya di Malaysia, dengan cubaan untuk memahat persepsi bahawa golongan etnik ini sememangnya jijik, keji dan ganas.

Cuma saya tetap berpegang kepada pandangan bahawa manusia tidak dilahirkan jahat, begitu juga manusia tidak dilahirkan mulia. Nilai pegangan dan tingkah laku seseorang hakikatnya dibentuk melalui proses sosialisasi. Bagaimana seorang kanak-kanak Palestin boleh berdendam dengan seorang budak Israel, seandainya tidak diasuh dalam suasana “nenek-moyang kita dibunuh kejam oleh tentera Israel”? Begitu juga dengan sebaliknya.

Lantas, dendam menjadi reaksi kepada kejam. Kekerasan dijawab dengan keganasan. Sifat-sifat yang dilentur sejak rebungnya, tidak mudah untuk ditegakkan kembali. Bukan untuk menghalalkan kejahatan mereka, tetapi untuk memahami bagaimana reaksi manusia ketika tersepit dalam kesempitan, sebagaimana kita menyelami jiwa Pi sepanjang pengembaraannya di laut.

Life of Pi sebenarnya adalah filem yang sarat dengan keganasan. Ramai yang sedar bahawa harimau itu adalah simbol kebuasan dalam diri Pi. Kisah bagaimana dubuk membunuh zebra yang tercedera, menggigit orang utan dan akhirnya dibaham harimau, cuma metafora untuk realiti bahawa tukang masak (dubuk) yang membunuh Buddhist (zebra) dan ibu Pi (orang utan), telah dibunuh oleh Pi (harimau). Lebih seram, kemungkinan besar Pi memakan mayat mereka untuk menahan lapar sepanjang tempoh 227 hari di laut.

Namun demikian, setelah mendengar adegan-adegan yang tidak masuk akal dalam kisah harimau itu, misalnya pulau berbentuk seorang wanita yang tidak wujud dalam peta (padahal adalah mayat ibunya), bagaimana orang utan mendekati rakitnya dengan pisang yang terapung di atas laut (pisang akan tenggelam di laut), pendengarnya tetap memilih kisah pengembaraannya bersama harimau, berbanding versi yang lebih dekat dengan realiti, iaitu bunuh-membunuh sesama manusia berlaku atas rakit, dan Pi makan mayat manusia demi kelangsungan hidupnya.

Filem ini menerokai sifat kebinatangan, kemanusiaan dan ketuhanan. Tidak dinafikan, bahawa sifat kebinatangan itulah yang melanjutkan kelangsungan hidup Pi. Namun kemanusiaan Pi terserlah apabila Pi cuba sedaya upaya untuk menjinakkan harimau itu. Pi cuba menghalang dubuk daripada membunuh zebra dan orang utan, malah Pi adalah vegetarian yang menangis ketika terpaksa membunuh ikan laut untuk mengisi perutnya.

Di manakah Tuhan? Tuhan menyaksikan dan membiarkan segala kejahatan yang dilakukan atas dorongan kebinatangan, tetapi masih memilih untuk mengampunkan manusia. Itu sebabnya mengapa Pi menganggap pendengarnya memilih untuk bersama Tuhan, apabila menyatakan diri mereka lebih menyukai kisah harimau. Mereka memahami situasi Pi, dan yakin bahawa Pi tidak sengaja untuk melakukan kejahatan.

Di penghujung kisah, harimau itu meninggalkan Pi ketika mereka mendarat, tanpa menoleh untuk mengucapkan selamat tinggal. Seandainya adegan ini ditelaah dalam kerangka lebih besar, ia boleh menandakan satu peringkat tamadun apabila sifat kebinatangan semakin jauh meninggalkan manusia.

Agak sedih apabila pelakon watak Pi, Irrfan Khan (atas), 53, meninggal dunia pada 29 April akibat jangkitan barah. Lebih memilukan, apabila harimau dalam diri manusia masih mencakar, mencengkam dan membaham, sungguhpun berabad-abad tamadunnya, sungguhpun keasyikan manusia untuk mendekati ketuhanan. Dengan mulut yang membaca doa siang dan malam, kita mencaci segolongan manusia yang lain sebagai sampah. Malah, tangan kita yang masak serba tak jadi itu, tidak jadi juga menghulurkan bantuan. Kita bukan Pi yang tersepit untuk memakan mayat manusia, tetapi mengapa kita membiarkan harimau dalam jiwa kita untuk membaham Rohingya yang gagal membalas serangan kita?

*Tulisan ini disiarkan Malaysiakini (4 May 2020): https://www.malaysiakini.com/columns/524003

Facebook Comments