Print Friendly, PDF & Email

Dalam politik, rakyat Malaysia sering diperas ugut. Bagai kalimat dalam filem penculikan, “Tunai atau mayat”, kita diugut dengan kalimat, “Umno/PAS atau DAP”.

Melayu yang menolak rasuah, muslim yang tidak selesa dengan tafsiran agama yang sempit, terpaksa memilih semula Umno/PAS kerana DAP dimomokkan sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Sementara Cina yang tidak bersetuju dengan DAP, sama ada dasar mahupun pemimpinnya, terpaksa memangkah Roket kerana mahu memecahkan monopoli kuasa Umno, atau mengimbangi pengaruh PAS.

Sentimen perkauman dan agama yang membakar akhirnya menghanguskan wacana politik tanah air, tinggal hanya hitam dan putih – sama ada anda pembela Melayu-Islam/Cina, atau pengkhianat/barua/boneka. Yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu – sedangkan harta negara melesap begitu sahaja. Soal kecekapan, keberkesanan, ketelusan pentadbiran, integriti kerajaan, perbahasan dasar, jarang-jarang mencungkil minat ramai, kerana perbincangan rasional untuk isu yang berat-berat, kurang menggiurkan.

Justeru itu, usaha untuk menjuarai isu demokrasi, hak asasi, integriti, efisiensi pentadbiran umpama menongkah arus. PKR yang ditubuhkan dalam gelombang Reformasi, masih kekal sebagai parti yang tidak kukuh akar umbinya sehingga hari ini, sungguhpun pernah muncul sebagai parti terbesar dalam Dewan Rakyat sepanjang tempoh dua dekad kebelakangan.

Selain isu pergelutan kabilah dalam parti, kelemahan PKR dalam mobilisasi politik juga dikaitkan dengan jalur politiknya yang tidak mengambil kedudukan ekstrem dalam isu perkauman dan agama. Maklumlah, tidak mudah untuk mengerah kelompok massa dengan isu demokrasi semata-mata. Lebih-lebih lagi, apabila kebebasan bersuara dan berfikir disuburkan sebagai budaya politik baru. Kita tidak perlu, malah tidak wajar pun mengharapkan agar wadah ini dapat melahirkan penyokong yang taksub dan wala.

Jadi, apabila Bersatu dan Amanah ditubuhkan sebelum PRU14, ia melebarkan spektrum politik yang sedia ada. Bersatu mungkin masih tebal nasionalisme Melayunya, namun menawarkan pilihan kepada Melayu yang menolak Umno kerana rasuah. Amanah masih tidak luntur corak Islamnya dalam politik, tetapi menawarkan pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif.

Kemunculan kedua-dua parti ini mengisi kelompangan PAS, setelah Pakatan Rakyat (PR) terkubur sejak Jun 2015. PR mencapai kemuncaknya dalam PRU13, menawan 40 peratus kerusi Dewan Rakyat sungguhpun meraih lebih 50 peratus undi popular. Pendek kata, kehadiran Bersatu di bawah pimpinan Mahathir Mohamad, mencukupkan sokongan pembangkang untuk mencipta sejarah pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Sesungguhnya, susah kuasa dirampas, susah lagi negara ditadbir. Formula PH adalah satu eksperimen baru dalam politik tanah air. Keempat-empat parti saling memerlukan, untuk kelangsungan masing-masing. Bersatu lebih bersandarkan ketokohan Dr Mahathir Mohamad, sementara Amanah bertunjangkan saf pimpinan yang cuba membawa imej progresif ketika berada dalam PAS. Kesemua ini digabungkan dengan hasil gerakan Reformasi, bersama asas sokongan yang dibina DAP, maka PH mula menelusuri liku-liku transformasi negara.

Perkauman dan agama bukan gelanggang PH

Tidak dinafikan, kebanyakannya veteran pembangkang yang mentah dalam pemerintahan. Ada juga inisiatif untuk melaksanakan idea yang baik, tetapi komunikasinya gagal, lebih-lebih lagi apabila keterbukaan untuk kebebasan bersuara diambil kesempatan untuk penyebaran berita palsu, yang ada kalanya berbaur dendam dan benci.

Sebagaimana yang diduga, Umno-PAS kembali menyerang dengan isu perkauman dan agama, malah berjaya mendapatkan MCA untuk mengasak dari kiri dan kanan. Bersatu dan Amanah paling terkesan dengan serangan ini, malah seolah-olah tidak terjawab tuduhan yang dilontarkan. Suasana “Melayu-Muslim menolak PH” nampaknya semakin menjadi-jadi, membayangkan kedua-dua parti ini bakal tenggelam dalam PRU15 akan datang.

Namun, sememangnya perkauman dan agama bukan gelanggang PH dari sebermulanya. Hakikatnya PH sedang menerokai gelanggangnya dalam bidang kecekapan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran. Bukan mudah untuk memperlihatkan kepada rakyat, bahawa perbahasan dasar yang dikatakan bosan itu, boleh mengubah cara hidup dan kualiti kehidupan mereka.

Cuba kita bayangkan, seandainya PH masih berkuasa, maka Dr Dzulkefly Ahmad akan dinilai berdasarkan prestasinya menangani wabak Covid-19 sebagai Menteri Kesihatan Malaysia. Seandainya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah pimpinan Dr Dzulkefly Ahmad berjaya menyekat penularan wabak, meringankan kesengsaraan pesakit, maka soal menyelamatkan Melayu dan Islam tidak timbul. Usaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia (sudah tentu merangkumi Melayu) dengan sendirinya jawapan terbaik kepada soalan sama ada PH membela Melayu dan Islam.

Jikalau gelanggang ini dibuka, maka Umno-PAS terpaksa menampilkan calon menteri KKM dalam kabinet bayangan mereka, untuk menyaingi PH. Seandainya Dr Adham Baba dicalonkan, maka beliau boleh mengetengahkan pandangan dan cadangan beliau untuk memimpin KKM. Beliau bebas berhujah, dari petua minum air suam untuk membunuh virus Corona hinggalah bilangan negeri di Malaysia dan negara di dunia. Terpulanglah kepada rakyat untuk menilai, sama ada mereka lebih yakin dengan PH yang memiliki Dr Dzulkefly Ahmad dalam barisannya, atau Muafakat Nasional dengan Dr.Adham Baba dalam saf pimpinannya.

Apa yang pasti, persaingan politik berlaku bukan ludah-meludah dengan air liur murahan, tetapi hujah-menghujah yang disokong dengan hasil kerja masing-masing. Dr Maszlee Malik boleh menyenaraikan prestasinya di Kementerian Pendidikan, dari kasut hitam hinggalah pendidikan khas, juga idealismenya untuk mengubah sistem pendidikan yang kini berorientasikan peperiksaan. Terpulanglah kepada Umno untuk menampilkan sama ada Mahdzir Khalid atau Dr Noraini Ahmad untuk ber-TikTok dengan Dr Maszlee Malik.

Kesemua ini memerlukan masa, untuk PH menampilkan hasil kerjanya, juga untuk rakyat membiasakan diri mereka dengan wacana politik yang baru. Sudah tentu bukan semua isu terungkai, misalnya apakah mata pelajaran sains dan matematik harus diajar dalam bahasa Inggeris, apakah tulisan Jawi wajib diperkenalkan dalam sekolah jenis kebangsaan, dan sebagainya. Selain pertimbangan politik identiti, iaitu persoalan bangsa Malaysia, ia juga terbuka untuk mengambil kira teori pendidikan, senario antarabangsa, tenaga guru dan sebagainya.

Langkah Sheraton hancurkan segala-galanya

Tetapi pada masa yang sama, Malaysia mengalami satu transformasi politik, seandainya tempoh lima tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina sistem dan mekanisme semak imbang dalam kerajaan. Perasuah akan dihadapkan ke mahkamah dan diadili sistem kehakiman yang bebas. Undang-undang hanya mempunyai satu kayu ukur untuk semua, bukan dikuatkuasakan antara dua darjat, bergantung kepada nama tertuduh yang berakhir dengan bin atau binti sekian sekian. Malah mereka yang memegang kuasa, perlu merendah diri untuk menjustifikasikan keputusannya kepada rakyat, misalnya sama ada Mercedes paling sesuai untuk dijadikan kereta rasmi kerajaan.

Sudah tentu transformasi ini sukar, dalam satu sistem yang kaku untuk sekian lama. Namun seandainya ia berjaya disempurnakan, meskipun separuh daripada matlamat asal, maka makna 9 Mei 2018 akan terisi. Ia bukan sahaja membuka lembaran baru sejarah untuk mencatatkan kemenangan Pakatan Harapan setelah menumbangkan rejim BN, tetapi memberi nafas baru untuk Malaysia dengan rombakan sistem yang pincang dan bobrok.

Andainya eksperimen ini berjaya, sudah tentu generasi muda yang tidak terbeban dengan sejarah, akan mempertimbangkan wadah PH, sama ada Bersatu, Amanah, PKR mahupun DAP, untuk diletakkan kepercayaan, malah medan untuk menyerlahkan bakat mereka. Umno-PAS, malah MCA dan MIC terpaksa mengikut jejak transformasi ini, kerana kali ini mereka diberi dua pilihan, ubah atau rebah. Seandainya MCA-MIC mengambil iktibar dari kesilapan lalu, maka mereka akan diberi peluang, lebih-lebih lagi apabila DAP menjadi angkuh dan gopoh. Bukan itu sahaja, malah kita impikan satu hari nanti, kita tidak tukar DAP hanya dengan MCA, tetapi mana-mana parti yang dekat dengan fahaman politik kita, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Impian sebegini tinggal khayalan, setelah Langkah Sheraton yang dijana oleh Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali menghancurkan segala-galanya. Kini fraksi Muhyiddin dalam Bersatu dan fraksi Azmin Ali dalam PKR terkandas. Dalam Perikatan Nasional (PN), mereka terus diugut Umno-PAS yang dapat betis mahu paha; tetapi segan untuk kembali ke PH kerana pengkhianatan yang telah dilakukan.

Umno-PAS sebagai wadah yang lebih kukuh akar-umbinya, tidak teragak-agak untuk menghenyak Bersatu menjelang PRU15. Jikalau senario ini berterusan, Bersatu yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Umno Baru yang juga diasaskan dirinya, mungkin sedang menghitung hari-hari terakhirnya. Di samping itu, PH menjadi lebih sukar untuk mencukupkan sokongan agar meneruskan transformasi yang dimulakan pada tahun 2018.

Dua tahun lalu, dunia mengagumi Malaysia kerana menyaksikan pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah tanah air, tanpa pertumpahan darah. Dengan masyarakatnya yang berbilang, Malaysia menampilkan dirinya di mata dunia sebagai bangsa yang matang dan rasional untuk menangani perbezaan, dan meraikan demokrasi. Muhyiddin Yassin, antara tokoh dalam PH yang menyumbang ke arah kejayaan yang membanggakan ini.

Dua tahun kemudian, satu Malaysia kecoh dengan Langkah Sheraton. Ia disusuli dengan kekecohan Dewan Undangan Negeri yang bertukar kerajaan, juga persidangan Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada 18 Mei. Ia memberi gambaran seolah-olah Malaysia gagal menangani perbezaan politik dengan rasional, tidak menghormati mandat rakyat, malah sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk merampas kuasa. Muhyiddin Yassin, antara sosok yang menjurus kepada tragedi yang terjadi pada hari ini.

Muhyiddin terkandas. Bersatu terkandas. PH terkandas. Paling menyedihkan, transformasi Malaysia terkandas.

*Tulisan ini disiarkan Malaysiakini (17 Mei 2020): https://www.malaysiakini.com/columns/526041

**Kredit gambar: Malaysiakini

Facebook Comments