Ironinya, kelangsungan Bersatu semakin diperkatakan tatkala pimpinannya berada di kemuncak kuasanya.
Pada 9 Mei 2018, Bersatu tidak lebih sebagai sebuah parti politik yang belum genap dua tahun usianya, diterajui Mahathir Mohamad yang berumur 92 tahun, dengan 13 orang ahli Dewan Rakyat. Dalam tempoh dua tahun, Bersatu berkembang menjadi parti dua alam – berada dalam kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, memegang tampuk kuasa melalui sosok Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan, dengan 37 orang ahli Dewan Rakyat, pada masa yang sama memiliki 11 orang menteri dan 15 orang timbalan menteri.
Sebelum Langkah Sheraton, ada yang gusar dengan masa depan Bersatu seandainya terus terikat dengan DAP di bawah bumbung Pakatan Harapan (PH). Bersatu dilabel sebagai barua dan boneka DAP, yang mengkhianati bangsa Melayu dan umat Islam. Selepas Langkah Sheraton, ada pula yang gelisah seandainya Bersatu terpaksa bertarung untuk menentang Umno-PAS, malah PKR-Amanah secara bersendirian dalam PRU15 akan datang.
Dengan kata lain, kita tidak perlu menjadi profesor Fakulti Sains Politik untuk memahami realiti bahawa kedudukan dominasi Bersatu dalam kerajaan ketika ini hanya bersifat sementara. Suka atau tidak, parti serpihan Umno yang ditubuhkan pada September 2016 ini, bersandarkan aura Mahathir Mohamad, terutamanya ketika menjelang PRU14, untuk bergerak di peringkat akar umbi tanpa jentera tempatan.
Kini, Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin kehilangan Mahathir Mohamad, malah meletakkan diri dalam kedudukan bertentangan dengan Mahathir Mohamad. Membubarkan Bersatu dan masuk semula Umno mungkin berdepan dengan rintangan tatkala Najib Razak dan Zahid Hamidi masih berpengaruh. Lagipun, tidak mudah untuk menempatkan pemimpin Bersatu sepanjang tangga kuasa Umno, dari peringkat pusat hinggalah tempatan.
Malah mentadbir parti sendiri menjadi satu cabaran apabila berdepan dengan puak bekas Umno yang masuk sebelum dan selepas PRU14, juga bekas PKR pimpinan Azmin Ali, yang hampir kesemuanya mendapat jawatan dalam kerajaan. Apakah jawatan Azmin Ali dalam Bersatu, yang melayakkan dirinya untuk duduk bersebelahan Muhyiddin dalam mesyuarat kabinet? Dan apakah mungkin untuk Azmin mengorak selangkah ke depan, hanya sebagai ahli biasa Bersatu? Jikalau tidak, sejauh mana pula penerimaan Bersatu terhadap Azmin Ali, yang sanggup menjatuhkan mentornya Anwar Ibrahim sungguhpun berdekad-dekad mereka berganding bahu dalam perjuangan?
Kesemua kocakan ini, bakal bergolak menjadi ribut yang melanda Bersatu.
Bagaimana Bersatu berbeza dari Umno?
Sudah tentu Bersatu perlu memikirkan kelangsungannya dalam persada politik tanah air. Kelangsungannya bergantung kepada sejauh manakah Bersatu bertahan dalam persaingan. Dan persaingan pula, bermula dari perbezaan.
Misalnya, apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada 4 April 1999 (ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2003) untuk bersaing dengan Umno, parti ini menampilkan dirinya sebagai “parti berbilang kaum”, menjuarai isi-isu seperti hak asasi manusia, keadilan, demokrasi dan sebagainya. Lantas PKR membezakan dirinya daripada Umno yang melaungkan retorik “Ketuanan Melayu”, malah juga PAS yang bertakbir dan berteraskan Islam.
Begitu juga dengan Amanah, ketika ditubuhkan pada 16 September 2015. Sungguhpun kekal dalam jalur Islam politik, tetapi Amanah lebih cenderung kepada pendekatan yang iklusif dan terbuka, malah presidennya Mohamad Sabu sering menekankan konsep “integriti” dalam ucapannya. Jikalau ditelusuri pergelutan dua jalur politik sebelum saf pimpinan Amanah tersingkir dari PAS, perbezaannya masih mampu dikesan.
Persoalannya, bagaimana Bersatu membezakan dirinya daripada Umno?
Soalan ini jelas lebih sukar, jikalau dibandingkan dengan soalan “bagaimana burger Ramly membezakan dirinya daripada burger McDonald’s?”. Kita tidak pernah keliru untuk memilih antara burger Ramly dengan burger McDonald’s. Rasanya berbeza, baunya berbeza, sosnya berbeza, cara masaknya berbeza, dan harganya berbeza. Itu sebabnya burger Ramly tetap bertahan dalam pasaran, sungguhpun berdepan dengan persaingan daripada syarikat gergasi seperti McDonald, Burger King, KFC dan sebagainya.
Tetapi, apakah bezanya antara Bersatu dengan Umno?
Jikalau sebelum Langkah Sheraton, barangkali pemimpin Bersatu boleh mendakwa bahawa partinya menolak rasuah, sungguhpun prinsip perjuangan yang digariskan, hampir sama dengan Umno. Bersatu cuba mengembalikan integriti, demokrasi, kedaulatan undang-undang yang dinafikan Umno sebelum ini, sekali gus mengembalikan penghormatan dan sanjungan dunia terhadap Malaysia.
Itu sahaja hujah yang disandarkan, untuk membezakan Bersatu daripada Umno, tatkala Malaysia dihantui skandal 1MDB dan kepincangan sistem yang menyusul untuk menutup kebobrokan yang terjadi. Segala saluran dalaman Umno untuk membawa perubahan ditutup, dan pemimpin yang kekal bersama Umno membisu seribu bahasa di depan pemimpin yang korup.
Selepas Langkah Sheraton, kesemua hujah ini dinafikan. Tiada lagi jarak sosial, mahupun garis pemisah antara Bersatu dengan Umno, apabila kedua-dua parti ini saling berpelukan. Apakah pendirian Bersatu sekarang dalam isu 1MDB? Apakah komitmen Bersatu sekarang untuk reformasi sistem dan mengembalikan demokrasi? Apakah rampasan kuasa yang menyaksikan maki hamun “Babi! Babi! Babi! Babi!” dalam dewan undangan negeri itu mampu mengembalikan penghormatan dunia terhadap Malaysia?
Bersatu dari kaca mata Cina
Sesungguhnya, tragedi yang paling memilukan adalah kegagalan kita mengubah nasib kita tatkala kita berpeluang untuk berbuat demikian.
Untuk makluman, hakikatnya masyarakat Cina tidak nampak perbezaan antara Bersatu dengan Umno sejak ia ditubuhkan. Pandangan arus perdana masyarakat Cina boleh disimpulkan dengan ungkapan berbunyi “tiada yang baru”. Sebahagian besar pemimpinnya bekas Umno, lebih-lebih lagi ditampilkan dengan imej konservatif seperti Muhyiddin Yassin ketika berada dalam Umno.
Antara yang dibangkitkan, Muhyiddin Yassin pernah menyatakan “I am Malay first” ketika menyandang jawatan timbalan perdana menteri merangkap timbalan presiden Umno. Mahathir Mohamad pula, terkenal dengan rekodnya yang tidak begitu disenangi oleh masyarakat Cina, misalnya menuduh pertubuhan Suqiu sebagai komunis dan pelampau pada tahun 2000, selepas diselamatkan undi Cina dalam PRU10 dengan kenyataannya untuk bersetuju dengan tuntutan Suqiu. Dengan kata lain, Mahathir mengkhianati pengundi Cina yang memangkah BN pada tahun 1999.
Jadi, PH terutamanya DAP berdepan dengan kesukaran untuk memujuk agar pengundi Cina menerima Mahathir Mohamad sebagai calon PM ketujuh, barangkali tidak kurang sukarnya Mahathir memujuk pengundi Melayu agar menyokong PH yang disertai DAP. Ia tidak mudah, untuk kedua-dua pihak.
Dari sudut kepentingan parti politik, ini satu keperluan untuk menggarap kuasa. Namun untuk Malaysia, ia satu kesempatan untuk merombak lanskap politik Malaysia. Sudah tentu Bersatu akan bertembung dengan DAP dalam isu kuota bumiputera, sebagaimana Amanah berbeza pandangan dengan DAP dalam isu yang berkaitan dengan agama, tetapi sekurang-kurangnya gandingan PH menawarkan saluran alternatif bagaimana reformasi sistem menjadi mungkin.
Malah, harus kita bersikap terbuka untuk segala kemungkinan yang boleh berlaku. Gandingan PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR, 2008-2015), menyaksikan tindak balas kimia politik yang tidak diduga. Allahyarham Tok Guru Nik Aziz disanjung setinggi-tingginya masyarakat Cina dengan pendekatannya yang sederhana, meskipun menyedari ada perbezaan pandangan khususnya dalam isu hudud. Eksperimen sedemikian jikalau dilanjutkan, akan mendedahkan masyarakat massa Malaysia untuk menerima dan menghayati kepelbagaian jalur politik dalam spektrum lebar.
Pernah juga saya diajukan soalan apakah bezanya Bersatu dengan Umno. Saya merujuk laman rasmi Bersatu, dan mendapati tiada unsur perkauman dalam prinsip perjuangan yang digariskan. Malah Wan Saiful dari Bersatu, antara pemimpin yang terlibat untuk merangka dasar bersama dalam Buku Harapan. Untuk berlaku adil, kenyataan berunsur perkauman jarang-jarang terkeluar dari bibir Muhyiddin Yassin, setelah beliau menyertai Bersatu.
Justeru itu, memberi peluang kepada Bersatu juga bermakna memberi nafas baru kepada Malaysia – sungguhpun pandangan ini bukan suara arus perdana. Kita boleh berbeza pandangan di sini sana dalam isu politik identiti – etnik, agama, bahasa dan sebagainya, sesungguhnya isu sebegini mengambil lebih masa dan kesabaran untuk dirungkai, tetapi sekurang-kurangnya, kebobrokan sistem negara kita dihentikan, kemudian diperbaiki dan dibina semula. Pemimpin yang korup tidak lagi angkuh apabila berdepan dengan kuasa rakyat, dan sistem semak imbang yang mantap akan memastikan pemimpin sentiasa dipantau.
Jikalau Muhyiddin Yassin memiliki kesabaran, bersikap rasional ketika memikirkan masa depan Bersatu, maka bukan sahaja Bersatu mampu menjenamakan partinya sebegitu, tetapi memposisikan dirinya sebagai parti Melayu yang cuba mentransformasikan politik Malaysia. Percayalah, retorik perkauman dan agama sungguhpun cukup hangat untuk membakar sentimen, tetap berakhir sebagai arang dan abu. Jikalau benar Melayu-Muslim harus Bersatu, mengapa tidak digabungkan sahaja Umno-PAS-Bersatu?
Hakikatnya, semua parti berbeza, kerana kepentingan masing-masing. Jadi, apa bezanya Bersatu dengan Umno?
*Tulisan ini disiarkan Malaysiakini (11 Jun 2020): https://www.malaysiakini.com/columns/529708
Facebook Comments