Dua dalil yang biasa digunakan untuk menjustifikasikan kenaikan gaji wakil rakyat, terutamanya eksekutif, iaitu menteri kabinet di peringkat persekutuan, ataupun exco di peringkat negeri:
Pertama, sebagai langkah untuk mencegah politik rasuah, dengan andaian bahawa menteri sukar tergoda dengan suapan “komisen” dan sebagainya, jikalau gajinya cukup tinggi untuk menampung perbelanjaannya.
Teori ini digunapakai oleh negara jiran kita, Singapura, di mana menteri kabinetnya menikmati gaji tahunan melebihi sejuta dollar Singapura. Faktor ini dikatakan menyumbang untuk membina sebuah kerajaan yang bersih daripada rasuah.
Sudah tentu pentadbir yang cekap diperlukan sepanjang masa, tetapi pada waktu “luar biasa”, misalnya ketika penularan wabak Covid-19, adalah penting untuk penggubal dasar menguasai pengetahuan asas dalam bidang kesihatan, agar langkah yang diambil berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan.
Justeru, seandainya jurang gaji terlalu lebar antara menteri/exco dengan pakar-pakar yang berkhidmat di sektor swasta, sudah tentu mereka yang berbakat cenderung untuk bekerja di sektor swasta dengan pendapatan yang lebih lumayan.
Yang tinggal untuk berkhidmat demi nusa, bangsa dan agama pula akan terus menunggang slogan ini sambil bertakbir untuk mengenyangkan perut, mengisi minyak Mercedes/Vellfire dan memanjangkan angka akaun bank peribadi.
Kesannya, mereka yang tiada kelayakan dari segi kepakaran dan kecekapan, menempah tempat sebagai menteri/exco untuk memerah sumber kekayaan, dan satu negara diporak-perandakan.
Pertikaian gaji wakil rakyat berbangkit semula ekoran cadangan kerajaan Pas negeri Kelantan untuk menaikkan gaji Exco/Adun di bumi sifar pembangkang ini. Seingat saya, kenaikan gaji wakil rakyat pernah mengundang kontroversi pada tahun 2013, setelah Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negeri Selangor buat penggal kedua.
Saya cuba mengetepikan beberapa faktor sampingan dalam perbincangan ini, misalnya skala kenaikan, dan apakah ini tempoh yang sesuai untuk kenaikan gaji wakil rakyat, tatkala rakyat kehilangan kerja dan sedang mengikat perut lantaran pandemik Covid-19.
Secara prinsip saya tidak membantah seandainya gaji wakil rakyat diselaraskan agar setimpal dengan kelayakan dan beban tanggungjawabnya, namun ia gagal menghalang saya daripada menyanggah dalih yang tidak masuk akal semata-mata untuk menghalalkan kenaikan gaji wakil rakyat.
Misalnya, Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad menganjurkan sudut pandangan bahawa “wakil rakyat tetap memerlukan dana untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat”.
Jikalau Saidina Umar al-Khattab pada abad ketujuh sudah membezakan urusan negeri dengan urusan peribadi menggunakan lilin yang berlainan, mengapa pemimpin Islam pada abad ke-21 masih gagal merungkaikannya?
Dana bantuan rakyat boleh disalurkan melalui peruntukan kawasan Dun, atau kepada pusat perkhidmatan Adun masing-masing. Rakyat tidak mengharapkan dana bantuan itu datang dari poket wakil rakyat. Dana itu adalah dana awam, dan rakyat tidak perlu terhutang budi dengan wakil rakyat apabila menerimanya.
Lagipun, seandainya dana bantuan rakyat pun disalurkan sebagai gaji wakil rakyat, apakah YB-YB ini bersedia mengisytiharkan harta dan akaunnya secara telus, agar rakyat boleh memantau, sejauh manakah gaji itu digunakan untuk sara hidup peribadi YB, dan sejauh mana nisbahnya untuk bantuan rakyat?
Hujah-hujah sedemikian menggambarkan bagaimana rakyat cuba dikelirukan, tanpa tekad untuk mencari penyelesaian tuntas melalui institusi dan sistem. Seingat saya, pernah juga kenaikan gaji wakil rakyat cuba dijustifikasikan dengan pembiayaan gaji pembantu, penyelidik dan sebagainya, lantas disanggah dengan cadangan “Mengapa tidak kerajaan menyalurkan dana terus untuk membiayai gaji dan penyelidik wakil rakyat?”
Tiada pertikaian bahawa wakil rakyat memerlukan pembantu dan penyelidik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya. Namun, seandainya wakil rakyat perlu dibayar gaji yang tinggi agar hidupnya terjamin, bagaimana pula dengan pembantu dan penyelidiknya?
Setidak-tidaknya wakil rakyat menikmati pencen setelah bersara, tetapi apakah jaminan untuk pembantu dan penyelidik YB, yang juga mempunyai keluarga seperti YB? Malah sesetengah daripadanya menerima upah tanpa caruman KWSP – apakah masa depan mereka apabila semakin tua dan uzur kelak?
Jikalau kerjanya tidak menjamin hidupnya, maka jalan keluarnya – sama ada mereka bertanding untuk menjadi wakil rakyat seperti bosnya, menerima sogokan seandai bosnya menjadi menteri/exco, atau mencuba nasib di bidang lain?
Kesemua faktor ini menuntut kita untuk berfikir secara lebih mendalam, bukan dihasut dengan sentimen dan diheret hujah populis. Ramai aktivis dan pemimpin politik yang menyumbang dan berkorban ketika zaman mereka menjadi pembangkang.
Mereka terpaksa mengikat perut demi satu impian dan perjuangan. Namun, setelah mengambil alih kuasa, tanggungjawab mereka adalah membina satu sistem yang lestari untuk mempertingkatkan kualiti politik dan menjamin kebajikan semua.
Bak pepatah orang putih, “Bayar kacang dapat kera”. Maka kita terpaksa membayar lebih untuk mendapat sebuah kerajaan. Rakyat sebagai bos padahal tidak kisah andainya gaji yang dibayar itu berbaloi, dengan kualiti kerja yang disempurnakan.
Cuma, andainya dapat air berkarat dari paip di bawah bumi, dapat banjir dari air di langit, dan pekerja hilang entah ke mana ketika saat-saat air bah menderas, tidak malukah pekerja menuntut gaji yang tinggi-tinggi daripada bosnya?
Tidak segankah wakil rakyat merapu tanpa fakta dalam dewan? Apakah tiada sehiris rasa berdosa, apabila Exco mewakili rakyatnya untuk menikmati lauk-pauk yang enak-enak dalam keretapi tanpa mematuhi jarak fizikal, tatkala rakyat yang diwakilinya terpaksa merasai teh tarik dari paip air?
*Tulisan ini disiarkan di Malaysia Dateline (12 November 2020): https://malaysiadateline.com/polemik-isu-kenaikan-gaji-wakil-rakyat/
**Gambar dari internet.
Facebook Comments