Malaysia pada tahun ini tidak berkembang sebagaimana yang diacukan Wawasan 2020.
Malah, apa yang berlaku dalam politik pada Februari 2020, bukan sesuatu yang diidam-idamkan oleh mereka yang mengundi untuk perubahan pada 9 Mei 2018. Ironinya, apa yang berlaku selepas Mac 2020, barangkali juga bukan sesuatu yang dibayang-bayangkan oleh mereka yang merestui “Langkah Sheraton”. Paling tragis, apa yang berlaku sebelum tahun 2020 melabuh tirai, mencetuskan kekeliruan yang membingungkan buat semua pihak.
Pada mulanya, penyokong Pakatan Harapan dikecewakan sesetengah wakil rakyat PH yang berpaling tadah untuk membentuk kerajaan bersama Umno-PAS selepas 22 bulan PH memerintah; Kemudian, penyokong kerajaan Muhyiddin Yassin pula berkerut dahi dengan pergelutan kuasa yang tidak berpenghujung dalam kalangan parti Melayu-Muslim sendiri, sungguhpun DAP telah disingkirkan dari Putrajaya; Akhirnya, satu Malaysia terbeliak matanya apabila cadangan kerjasama antara Umno dengan DAP-PH dilontarkan sebagai salah satu jalan keluar untuk menyelesaikan kebuntuan pelantikan menteri besar negeri Perak.
Kestabilan lawan ketidaktentuan
Sedangkan, kekalutan yang terpampang di depan mata, hanya sebahagian daripada proses perkembangan politik seandainya ditinjau dari perspektif sejarah. Pergolakan politik yang sarat dengan ketidaktentuan mungkin tidak menyenangkan kita yang sudah sekian lama selesa dengan kestabilan, namun ia tetap selangkah ke depan daripada zaman di mana segala-galanya ditentukan telunjuk sang penguasa, seolah-olah ditakdirkan sebegitu.
Sejak kebelakangan, hati kita berayun saban hari untuk meneka siapakah perdana menteri pada keesokannya, sesuatu yang hampir mustahil berlaku pada suku abad lalu. Jikalau diimbas zaman 1990-an, mustahil kerajaan dijatuhkan dengan undi tidak percaya, penolakan belanjawan, akuan bersumpah ahli Dewan Rakyat, pilihan raya, mahupun demonstrasi jalan raya. Pembangkang boleh di-ISA-kan hanya dengan tuduhan “mengancam ketenteraman awam” (kerana cuba menjatuhkan kerajaan) tanpa perlunya sokongan bukti. Aktivis diburu, media dicengkam. Sekencang-kencang ribut politik mengamuk, akhirnya air kembali tenang tanpa meninggalkan kesan.
Untuk lebih setengah abad formula politik tersebut berkitar, dengan nasib satu Malaysia ditentukan oleh seseorang yang berjawatan presiden Umno. Formula ini dipecahkan pada 9 Mei 2018, cuba digantikan dengan formula politik baru. Malangnya Pakatan Harapan hanya bertahan untuk 22 bulan, dan digantikan dengan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin. Ikatan PN kelihatan lebih rapuh – dengan tikam-menikam, “sailing-menyailang” antara PAS, Bersatu dengan Umno, kita gagal diyakinkan bahawa gandingan ini mampu bertahan lebih lama daripada 22 bulan.
Di sini satu Malaysia tersepit, satu kebuntuan yang gagal ditembusi biarpun diadakan pilihan raya umum sekarang. Pilihan raya hanya memberi keabsahan kepada wakil rakyat yang terpilih, tetapi gagal menyekat budaya “lompat-melompat”, apatah lagi jikalau lanskap politik tidak mengalami perubahan yang ketara. Dengan kata lain, penjajaran semula politik tanah air akan memasuki pusingan seterusnya selepas PRU15, sehingga ia menemui satu model dengan ikatan yang stabil dan berkekalan.
Gabungan berasaskan “dasar bersama”
Sehingga bila kekalutan ini berakhir? Terpulang. Kita sedia maklum, lebih sukar untuk membina daripada merobohkan. Ini kerana kita hanya perlu menyatukan semua yang berkongsi “musuh bersama” untuk merobohkan, tetapi kita perlu menyatukan semua yang berkongsi “dasar bersama” untuk membina. Kegagalan kita beranjak dari paradigma lama untuk membentuk “gabungan besar” (grand coalition) berdasarkan “musuh bersama”, kepada gandingan yang berasaskan “dasar bersama”, akan mengulangi sejarah perpecahan sebelumnya.
Hakikatnya, tidak sukar kerajaan Muhyiddin digulingkan seandainya PH membuka pintu untuk mereka yang bermusuhan dengan Muhyiddin atau Bersatu. Gandingan politik baru seterusnya juga terdedah kepada risiko dijatuhkan, sama ada ia bergelar kerajaan tanpa Bersatu (pengkhianat), kerajaan tanpa Anwar Ibrahim (liberal), kerajaan tanpa Mahathir Mohamad (diktator tua), kerajaan tanpa Umno (kleptokrat), kerajaan tanpa PAS (konservatif) mahupun kerajaan tanpa DAP (chauvinis Cina) dan sebagainya.
Jikalau diteliti, label-label sedemikian lebih bersifat propaganda politik tanpa makna yang mendalam. Misalnya, andainya sesebuah kerajaan tanpa Umno ditubuhkan untuk menentang kleptokrasi, apakah ketua Armada yang menjanjikan tawaran “surat sokongan” akan ada tempatnya di dalam kerajaan tersebut? Jikalau sesebuah kerajaaan tanpa Bersatu dibentuk untuk menyingkirkan “pengkhianat”, bukankah ia ironi apabila PH akhirnya bekerjasama dengan Umno, yang disifatkannya sebagai “pengkhianatan” sebermulanya?
Apatah lagi gandingan Umno-DAP untuk menyingkirkan PAS-Bersatu – kedua-duanya boleh menjadi pengkhianat Melayu dan pembelot Cina dalam kelompok penyokong tradisional masing-masing. Lebih-lebih lagi, kedua-dua Umno dan DAP memiliki pengalaman berganding dengan PAS dan Bersatu untuk menentang satu sama lain sebelum ini.
Bayangkan, kekeliruan yang bakal tercetus lantaran gandingan sedemikian – sudah tentu ia melewati sempadan kekeliruan, sehingga mencetuskan kemarahan dan kekecewaan penyokong masing-masing. Tidak sukar untuk diramalkan bahawa ikatan sedemikian tidak berkekalan, kerana ia berdasarkan perhitungan kepentingan politik semasa, dan bukan demi kelangsungan idealisme yang didukung bersama.
Penjajaran semula politik
Persoalan perkongsian idealisme bersama ini bukan sahaja meruncing di antara parti politik, malah juga dalam parti politik yang sama. Misalnya, antara Zahid Hamidi dengan Khairy Jamaluddin dalam Umno, apakah pegangan idealisme mereka berbeza? Nampaknya berbeza. Persoalan seterusnya, pegangan idealisme siapakah antara mereka yang lebih dekat dengan Anwar Ibrahim daripada PKR? Nampaknya Khairy. Namun, dalam realiti, siapa pula yang lebih mungkin bekerjasama dengan Anwar?
Persoalan ini jikalau dilanjutkan – apakah perbezaan pegangan idealisme antara Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali? Bagaimana Azmin Ali boleh bergelut dalam PKR, sehingga menyandang jawatan timbalan presiden, dan dilantik sebagai menteri besar Selangor, jikalau beliau tidak bersetuju dengan jalur politik yang digariskan PKR? Sekali lagi, antara Muhyiddin yang pernah menggelar dirinya “ahli Umno totok” dengan Anwar, siapa yang lebih selesa didampingi Azmin sekarang? Sebaliknya, jikalau Anwar perlu bekerjasama antara Muhyiddin dengan Azmin, siapa pula yang lebih disenanginya?
Jelas, faktor personaliti, hubungan antara pemimpin kelihatan lebih berpengaruh dalam menentukan gandingan parti politik akan datang. Jikalau itu fenomenanya, untuk apa parti politik ditubuhkan? Andainya fungsi parti hanya untuk mengumpulkan sekelompok manusia yang berkongsi kepentingan bersama, untuk apa rakyat menyokongnya? Politikus-politikus ini sekadar menjadikan parti sebagai batu loncatan untuk mengejar kepentingan diri. Apakah mereka mengambil peduli, siapakah pewaris mereka yang memastikan kesinambungan perjuangan idelogi parti?
Menggilap semula identiti masing-masing
Tiba masanya kesemua parti politik Malaysia bermuhasabah, dan menggilap semula identiti masing-masing. Mereka harus jujur kepada penyokong dan pengundi dalam soal prinsip perjuangan masing-masing. PAS boleh membangun bersama Islam, Umno boleh memperjuangkan nasionalisme Melayunya, DAP boleh mendukung nilai sekularismenya, Amanah boleh menghidupkan “rahmatan lil alamin”, PKR boleh meraikan kepelbagaian dan melaungkan slogan keadilan untuk semua. Tiada masalah, selagi itu benar anutan politik masing-masing.
Dan kemudian, carilah sekutu politik yang dekat dengan ideologi parti anda, andainya anda gagal memerintah bersendirian. Senaraikan dasar dan agenda yang dipersetujui bersama dan bentangkan kepada pengundi. Jangan melambung penyokong anda dengan janji-janji yang tidak realistik, atau di luar kerangka dasar bersama gandingan politik anda. Langkah ini penting agar penyokong tidak terlalu kecewa sehingga gelombang kemarahan itu menenggelamkan anda apabila janji anda tidak ditepati.
Akhirnya, belajar untuk adil kepada penyokong dan sekutu politik. Zaman satu parti mendominasi segala-galanya sudah berakhir. Satu Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan norma baru di mana parti politik perlu berganding untuk memerintah. Normal baru ini mengajar kita untuk berpegang kepada janji, sama ada janji kepada pengundi, mahupun rakan seperjuangan.
Usah beria-ia untuk menabur janji baru, andainya janji lama yang belum ditunaikan itu tidak diberi penjelasan mengapa ianya gagal. Siapa yang akan menaruh kepercayaan kepada harapan baru yang dijanjikan, daripada seseorang yang membiarkan harapan lamanya terbengkalai tanpa memohon maaf, malah tanpa sehiris rasa tanggungjawab untuk memberi penjelasan sebaik-baiknya?
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (21 Disember 2020): https://www.malaysiakini.com/columns/556087
Facebook Comments