Upacara penyampaian pingat Olimpik Tokyo 2020 untuk acara beregu lelaki badminton agak menarik. Sekilas pandang, kesemua pemenangnya Cina. Lantas ia mencungkil satu soalan yang lama terpendam dalam hati saya, mampukah rakyat Malaysia bukan Cina membezakan mereka?
Soalan ini timbul setelah mendengar rungutan bahawa Cina Malaysia gagal memahami bahasa Melayu, sungguhpun berdekad-dekad berpijak di atas bumi ini. Untuk saya, agak mustahil fenomena ini berlaku, kerana rata-rata Cina Malaysia belajar bahasa Melayu ketika zaman sekolah. Mungkin ada yang tidak fasih ketika bertutur, tetapi mustahil jikalau “langsung tidak faham”.
Mengambil kira faktor semakin ramai warga China bekerja di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan, saya mengesyaki bahawa Cina yang ditemui gagal memahami bahasa Melayu, bukan Cina buatan Malaysia. Lalu saya bertanyakan seorang rakan Melayu saya, mampukah kamu membezakan Cina Malaysia dengan Cina China jikalau seorang Cina itu muncul di depan mata?
Ini kerana Cina Malaysia mampu berbuat demikian. Kami dapat membezakan sama ada Cina itu dari China, atau Taiwan, atau Malaysia, dengan mendengar bunyi loghatnya. Malah, ada kalanya dari gaya pakaian dan gerak-geri mereka pun kami mampu mengagak dari mana Cina itu berasal. Ia semacam Melayu mampu membezakan Melayu dari Kelantan dengan Melayu dari Utara dengan mudah, sebaik sahaja mereka membuka mulut.
China: Pantang dimalukan
Apapun, dunia sekarang terlalu rumit untuk difahami hanya melalui warna kulit. Setelah mengharungi pengalaman sejarah yang berbeza, bangsa Cina dicorakkan dengan perwatakan yang jelas berbeza, antara China, Taiwan dengan Malaysia.
China, sebagaimana yang sedia maklum, bangkit sebagai kuasa besar dunia, setelah berdekad-dekad dibelenggu kebuluran dan kemiskinan. Lantaran dibuli dan dipandang rendah ketika zaman kemundurannya, China tidak sabar-sabar untuk membuktikan kepada dunia bahawa ianya telah menjadi sebuah negara maju pada hari ini. Azam ini terserlah ketika China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008, cuba menggegarkan dunia dengan segala yang gah, hebat dan gemilang mengenai China.
Mentaliti sedemikian tersemai dalam masyarakat China. Pantang dimalukan, lantas mereka sentiasa ke depan untuk mempertahankan maruah, sehingga terlajak. Mereka terlalu sensitif, malah perkara yang remeh-temeh diperbesar-besarkan, seolah-olah wujudnya satu konspirasi khususnya dari Barat, untuk mengaibkan China. Misalnya, apabila agensi berita Reuters menyiarkan foto Hou Zhihui, pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 ketika mengangkat berat, Kedutaan China di Sri Langka memprotes kerana menganggap foto tersebut sengaja memaparkan riak muka Hou yang hodoh, agar China dimalukan.
Apabila atlet China ditewaskan, ia diumpamakan bagai China ditewaskan. Mentaliti sedemikian mendorong netizen China untuk menyerang pesaing dari negara asing dengan bahasa yang kasar, malah menghalalkan tindak-tanduk atlet China yang kurang sopan ketika berdepan dengan pesaingnya. Bahkan, atlet China sendiri menjadi mangsa, apabila tewas kepada pesaing yang tidak disukai rakyat China. Misalnya, China menganggap Taiwan sebahagian daripada China, sungguhpun Taiwan cuba menjarakkan diri kerana mahu mempertahankan ruang demokrasi dan kebebasan yang dimilikinya sekarang. Jadi, dalam perlawanan akhir beregu lelaki badminton, pasangan China dikecam sehabis-habisnya oleh netizen China, kerana tewas kepada pasangan Taiwan.
Taiwan: Liku-liku politik yang berbeza
Taiwan pula mengharungi liku-liku sejarah politik yang berbeza. Daruratnya hanya ditamatkan pada tahun 1987, dengan pemilihan presiden pertama diadakan pada tahun 1996. Pertukaran kerajaan buat kali pertama berlaku pada tahun 2000, menemui kebuntuan apabila presidennya yang ditaruh harapan untuk mereformasikan negara, terpalit dengan amalan nepotisme. Kerajaan bertukar tangan lagi pada tahun 2008, kembali kepada rejim lama tetapi presiden yang lebih positif imejnya. Malangnya, imej baik seseorang presiden gagal diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan. Akhirnya kuasa bertukar tangan lagi pada tahun 2016.
Mungkin situasi sedemikian akan disifatkan sebagai “celaru” atau “kecoh” bagi mereka yang merindui kestabilan pada zaman autokrasi. Untuk sesetengah orang yang sinis, sudah tentu tidak lagi menaruh kepercayaan kepada politikus dan parti politik untuk membawa perubahan. Apa yang menarik, masyarakat sivil Taiwan mengambil kesempatan untuk berkembang di celah-celah perbalahan politik partisan, berjaya sebagai kumpulan pendesak untuk menuntut ruang demokrasi dan kebebasan bersuara. Dengan ruang itu, isu yang diperjuangkan telah diolah secara mendalam, malah memperlihatkan kepelbagaian. Misalnya, pembelaan terhadap golongan minoriti terpinggir yang sudah tentu merangkumi LGBT, penjagaan alam sekitar dan pemeliharaan tapak bersejarah, bantahan terhadap monopoli media dan sebagainya.
Maka kita diperlihatkan suasana masyarakat yang amat berbeza di Taiwan, dengan kualiti anggotanya. Mengambil contoh yang sama, rata-rata netizen Taiwan tidak memusuhi pesaing atlet Taiwan dalam Olimpik. Setelah perlawanan suku akhir perseorangan wanita badminton melabuh tirai, netizen Taiwan berpusu-pusu meninggalkan komen di media sosial Ratchanok Intanon, pemain negara Thai yang tewas kepada Tai Tzu Ying dari Taiwan. Bukan mencemuh, bukan mengejek dan bukan menghina, tetapi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana mempersembahkan satu perlawanan yang berkualiti.
Atlet Taiwan turut dimanfaatkan dengan sikap masyarakat Taiwan sedemikian. Tidak dinafikan wujud juga sesetengah netizen yang mengecam dan menyindir, tetapi rata-rata netizen Taiwan memberi galakan dan penghargaan kepada Tai Tzu Ying, sungguhpun tewas kepada pemain China di perlawanan akhir. Ia memperlihatkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersedia untuk menerima kekalahan, dan memberi galakan agar atlet mereka bangkit semula. Tiada dengki, tiada dendam, yang ada kasih dan sayang.
Malaysia: Demikianlah Cina
Akhirnya, bagaimana pula dengan Cina Malaysia? Tidak adil untuk pukul rata, mengandaikan semua Cina Malaysia sama. Tidak dinafikan, wujudnya satu golongan Cina yang masih terikat sentimennya dengan China. Selagi mereka merasakan diri mereka tidak diiktiraf di tanah air ini, lebih-lebih lagi ada yang merasakan diri mereka dianak-tirikan kerajaan Malaysia, maka mereka akan mengharapkan nasib dirinya terbela dengan kebangkitan China.
Sementara itu, wujudnya segolongan Cina Malaysia, yang mengidamkan kematangan masyarakat sivil seperti Taiwan. Mereka menolak semangat nasionalisme yang disemarakkan China, sebaliknya mendahagakan ruang kebebasan yang lebih luas, terkeluar dari fikiran jumud dan sempit, menuntut agar hak dan kebebasan individu dihormati. Untuk sesetengah yang belum menyesuaikan diri dengan konteks tempatan dan menuntut perubahan dalam sekelip mata, sudah tentu mereka jemu dan meluat ketika berdepan dengan politik perkauman dan agama yang dilaga-lagakan.
Namun masyarakat Cina tidak terbatas kepada dua golongan ini semata-mata. Spektrumnya terbentang luas. Terdapat juga golongan yang cuba mencari-cari formula yang sesuai untuk tanah air Malaysia, menyeimbangi keperluan dan tuntutan kelompok yang berbeza, dan mencari muafakat dalam masyarakat majmuk ini. Mereka mempertahankan bahasa ibunda, pada masa yang sama menjunjung bahasa rasmi Malaysia, di samping melapangkan dada diri untuk meraih bahasa antarabangsa dan bahasa asing.
Maka kita diperlihatkan Cina Malaysia yang ada kalanya menjadi netizen yang dengki dengan kejayaan orang lain, mengutuk kegagalan sendiri, berasa terancam lantaran dimangsakan sistem. Namun, di celah-celah emosi yang negatif ini, kedengaran seruan untuk meraih kejayaan bersama, kata-kata semangat kepada mereka yang tersungkur, dan juga kesediaan untuk mencurahkan keringat demi pembinaan masa depan bersama.
Mereka menjunjung langit di mana bumi dipijak, pada masa yang sama, menaruh harapan agar sumbangan mereka diiktiraf dan dihargai.
Demikianlah Cina Malaysia.
*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (3 Ogos 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/585624
Facebook Comments