Kejadian yang berlaku pada petang semalam amat menyayat hati buat saya dan keluarga.
Seorang lelaki Melayu datang dengan motorsikal, mengetuk tingkap kereta adik ipar saya, ketika dia keluar membeli belah di Raja Uda, Butterworth. Adik ipar saya terkejut, dan tidak berani turun kereta.
Lalu lelaki itu menyusun sepuluh jarinya, bertanya sama ada adik ipar saya boleh membeli sebungkus nasi untuk anak perempuannya. Rupa-rupanya, lelaki itu telah hilang kerja. Dia mempunyai dua orang anak perempuan di rumah, tetapi dia tidak mampu lagi untuk membelikan makanan bagi anak perempuannya. Dia mencuba nasib, moga-moga terjumpa dengan insan yang murah hati untuk membelikan makanan bagi anak perempuannya.
Mungkin dia takut adik ipar saya meraguinya, lantas dia mengaku dirinya tinggal di kondominium dalam Kampung Benggali (jaraknya kira-kira sekilometer dari situ). “Kalau kamu tidak percaya, boleh ikut saya balik tengok anak perempuan saya”, tambahnya.
Adik ipar saya mahu menghulurkan wang kepada lelaki itu sebermulanya, untuk dia membeli makanan, namun ditolaknya. Oleh kerana tiada kedai makan yang halal di sekitar, adik ipar saya pun memandu menuju kedai serbaneka yang berhampiran. Orang pun lebih ramai di situ, maka lebih selamat saya, congak dalam hatinya. Dan lelaki itu mengekorinya dengan motorsikal.
Seterusnya, adik ipar saya membayarkan roti, mi segera dan biskut yang dibeli, lalu menghulurkan sedikit wang kepadanya, tetapi lelaki itu tetap menolak wang yang diberikan. Menurut lelaki itu, keretanya lebih elok berbanding kereta yang dipandu adik ipar saya (kereta nasional berusia 10 tahun). Dan lelaki itu menganggap hidup adik ipar saya mungkin tidak seberapa juga. Jadi, dia bertegas menolak niat baik adik ipar saya. Dia kata, keretanya sudah kehabisan minyak. Dan dia tidak mampu lagi untuk mengisi minyak. Maka dia menunggang motorsikal di sekitar untuk mencuba nasib, agar dipertemukan orang yang baik hati.
Berulang kali dia berucap terima kasih kepada adik ipar saya. Apabila adik ipar saya membalas, “Satu negara, satu darah, ” terus dia menangis. Adik ipar saya sempat mengambil sekotak pelitup muka dari kereta untuknya. Sekali lagi adik ipar saya mahu menghulurkan wang kepadanya. Dia bertegas untuk menolaknya, dan hanya menerima sekotak pelitup muka itu. Dia kata, makanan yang diberikan sudah cukup untuk makanan mereka buat beberapa hari.
Dia bertanya sama ada adik ipar saya tinggal di kawasan berhampiran. Dia gagal menahan sebak, dalam tangisan dia berkata, “Saya tentu akan ingat nombor plat kereta kamu.”
Dari mula hingga ke akhirnya, dia hanya meminta agar adik ipar saya membelikan sebungkus nasi untuk anak perempuannya, tanpa menyebut dirinya. Malah dia tidak meminta juga untuk membelikan barangan. Dia berterus-terang, dirinya tinggal dalam kondominium, kereta milikannya lebih elok daripada kereta nasional adik ipar saya. Jadi, berkali-kali dia menolak bantuan dana.
Fakir yang tersembunyi
Nampaknya lelaki ini tidak berniat mengambil kesempatan, atau mengemis simpati orang lain. Dia cuma seorang bapa yang terdesak dan menemui jalan buntu dalam kehidupannya. Bayangkan, betapa sukarnya untuk dia memberanikan diri, dan mengetuk tingkap kereta orang yang tidak dikenalinya? Betapa sukarnya untuk dia memberanikan diri, untuk meminta agar seorang yang tidak dikenalinya, membelikan sebungkus nasi untuk anak perempuannya?
Inilah fakir yang tersembunyi dari penglihatan kita. Andainya dia tidak memberanikan diri untuk meminta bantuan, sudah tentu tiada orang yang tahu bahawa dia telah menemui jalan buntu, dan berdepan dengan situasi kehabisan makanan. Mungkin ada yang berkata, “Kibarkan saja bendera putih!” Namun, untuk seseorang yang pernah jadi bos, atau seseorang yang hidupnya agak selesa seketika dahulu, mungkin tidak mudah untuk dirinya mengetepikan maruahnya. Mungkin dia khuatir, keluarganya dijadikan buah mulut ketika jiran membawang, seandainya mengibarkan bendera putih.
Ya, sememangnya penting untuk membantu mereka yang miskin, tetapi membantu mereka yang terdesak juga tidak kurang pentingnya. Hakikatnya, ramai wakil rakyat, jabatan kebajikan memiliki senarai keluarga yang miskin, maka keluarga miskin jarang diabaikan ketika sumber bantuan diagihkan. Namun, tidak mudah untuk kita mengesan “fakir tersembunyi” yang muncul lantaran impak pandemik. Jadi, sungguhpun mereka mungkin memandu kereta import untuk mengambil makanan dan barangan di food bank, belum tentu mereka adalah golongan yang mengambil kesempatan, boleh jadi mereka adalah “fakir tersembunyi” yang tidak kelihatan dari kaca mata kita.
Sewajarnya pada detik saat sedemikian, kita mencurahkan lebih keprihatinan dan mengambil berat jiran dan saudara mara kita. Mungkin sesetengah terdesak, sehingga menemui jalan buntu, tetapi keberatan untuk meminta bantuan daripada kawan, dan akhirnya memilih satu jalan yang menyedihkan buat keluarga dan sahabat mereka.
Adik ipar saya terlupa untuk mengambil nombor telefon dan mencatat nombor plat motorsikalnya. Pada minggu yang akan datang, adik ipar saya bersama ahli keluarga akan pergi menjenguk di situ, moga-moga bertemu lagi dengan lelaki itu. Kami berharap kami boleh melakukan sesuatu yang lebih daripada itu. Selain menyelesaikan masalah kehabisan makanan, mungkin lebih ideal jikalau dapat mencari pekerjaan untuknya.
P/S: Tidur tidak lena kerana asyik terkenang situasi lelaki ini. Entah berapa orang lagi di luar sana yang mengalami nasib seumpamanya. Maka saya bangun untuk menuliskan kisah ini, bagaimana kita boleh melakukan sesuatu yang lebih untuk membantu mereka.
*Tulisan ini diterjemah oleh Lim Hong Siang, daripada hantaran asal Kit Yeng Leong pada 11 Julai 2021, dengan keizinannya.
Facebook Comments