Print Friendly, PDF & Email

Pernah Jalaluddin Muhammad Rumi ditanya, apakah muzik yang haram dari sisi Islam?

“Bunyi beradunya sendok dan garpu dalam bekas makanan orang kaya yang kedengaran di telinga orang miskin yang sedang kelaparan,” jawab penyair itu.

Nukilan ini tercungkil dari ingatan saya setelah menonton beberapa video Youtuber merendamkan diri dalam “babi air”, diperbuat daripada Kool Fever yang berkembang dalam air. Aksi ini menjadi-jadi dalam kalangan Youtuber tatkala seorang ibu dikhabarkan terpaksa mencuri Kool Fever untuk anaknya.

Jika pun kita ketepikan insiden keluarga yang terkapai-kapai dalam kemiskinan itu, mereka yang berakal akan sedar bahawa tindakan memborong Kool Fever dari kedai boleh menimbulkan kesulitan kepada mereka yang memerlukan ketika terdesak. Sesungguhnya, Youtuber boleh membeli seberapa Kool Fever yang dimahukan selagi mampu membayar, namun harus diingatkan juga bahawa bekalan Kool Fever itu adalah sumber masyarakat milikan bersama, yang haram dibazirkan sewenang-wenangnya.

Mungkin ramai dalam kalangan kita terbeliak, tertanya-tanya bagaimana Youtuber dengan content (kandungan) yang cetek sebegini meraih ratusan ribu hingga jutaan peminat. Namun, di sebalik kebingungan, terpendam keresahan – keresahan yang disimpan dalam hati untuk sekian lama.

Presiden Gamis hina OKU

Keresahan yang sama zahir ketika presiden Gamis memuat naik satu video di akaun media sosialnya pada September 2020, dengan tulisan “Demi mendapatkan parking di masjid, maka salah seorang sahabat kami terpaksa dikorbankan untuk menjadi pelakon utama.”

Pertama, bagaimana seorang siswa yang waras, boleh mencabul ruang parking yang disediakan khas untuk kemudahan OKU? Kedua, bagaimana seorang siswa boleh berlakon sebagai OKU, sambil bersuka ria atas keperitan golongan yang kurang bernasib baik? Ketiga, bagaimana seorang siswa, boleh memuat naik rakaman video sebegini ke ruang awam, tanpa sehiris rasa bersalah? Apakah rakan-rakan yang sewaktu dengannya, tidak menganggap kandungan video sebegini berunsur diskriminasi?

Saya tidak berniat untuk menyasarkan Youtuber tertentu, atau presiden Gamis, yang sudah memohon maaf selepas dikecam. Namun fenomena ini wajib kita teliti kerana ia menggambarkan satu krisis yang besar dalam kalangan anak muda kita. Bayangkan, apakah harapan yang dapat kita teropong daripada anak muda yang membaling-balingkan “babi air”, juga peminat-peminatnya yang terhibur dan teruja dengan aksi-aksi sedemikian?

Seandainya saya seorang menteri pendidikan, sudah tentu saya akan merenung, apakah yang tidak mengena dengan sistem pendidikan kita, sehingga melahirkan siswa yang tidak peka kepada masyarakat, malah tidak berempati terhadap golongan terpinggir? Seandainya saya seorang agamawan, sudah tentu saya akan mengkaji, apakah nilai belas kasihan dalam Islam telah terancam, melalui tindak-tanduk pemimpin sebuah pertubuhan bernamakan Islam? Seandainya saya seorang ahli akademik yang memiliki PhD, sudah tentu saya akan menandatangani petisyen agar sistem pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat kita dirombak, untuk menangani masalah ini.

Krisis yang terpendam

Malangnya, krisis sedemikian tidak diberi perhatian yang setimpal. Sebaliknya, pengamatan saya mendapati sentimen masyarakat lebih mudah dihasut dengan isu-isu yang melibatkan kaum atau agama yang berbeza, itupun tidak semestinya menemukan kita dengan jalan keluar di akhirnya. Misalnya, kes kematian anggota bomba Muhammad Adib. Arwah terbunuh dalam satu rusuhan di Kuil Hindu. Semua warga Malaysia bersedih dengan peristiwa yang tidak diingini ini, dan berharap keadilan dapat ditegakkan satu hari nanti.

Pada masa yang sama, mereka yang rasional akan menyedari kesukaran teknikal yang dihadapi polis sepanjang penyiasatan – ia berlaku dalam kekecohan pada waktu malam, menambah kesulitan untuk mengenal pasti perusuh yang melakukannya. Namun, kes ini telah dipolitikkan sebegitu rupa seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan cuba menyelindungi sesuatu. Setelah hampir setahun kerajaan Perikatan Nasional memerintah, bukankah mereka juga berdepan dengan kesukaran yang sama, sepanjang jalan untuk menegakkan kebenaran? Apakah tiada sehiris rasa bersalah dalam kalangan mereka yang cuba mengambil kesempatan ke atas emosi keluarga arwah seketika dahulu?

Kes ini mengingatkan saya tentang tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada September 2017, yang meragut 23 nyawa. Kita dikejutkan bahawa ia berpunca daripada pergeseran antara pelajar sekolah tahfiz, dengan sekumpulan remaja yang berumur antara 11 hingga 18 tahun. Ejek-mengejek menjadi pencetus tragedi, dan tujuh remaja membalas dendam dengan membakar sekolah tahfiz tersebut.

Barangkali ada yang mahu membandingkan angka nyawa yang diragut, ketika menimbang isu mana yang lebih berat. Namun untuk saya, faktor ekonomi sosial di sebaliknya yang menjurus kepada kejadian kebakaran sekolah tahfiz, jauh lebih kompleks. Nyawa arwah Adib tercabut di tengah-tengah konflik, dalam kalangan sekumpulan manusia yang hilang kawal lantaran tidak berpuas hati dengan robohan kuilnya. Konflik di sebalik tragedi ini masih boleh terungkai sebahagiannya, jikalau kedua-dua pihak tampil untuk berdamai, atas syarat-syarat yang dipersetujui, menggariskan prinsip tiada keganasan fizikal diizinkan dalam apa jua keadaan.

Namun tragedi kebakaran sekolah tahfiz mendedahkan kita kepada krisis yang lebih serius. Apa yang terjadi kepada remaja terbabit? Adakah dendam yang membuatkan mereka sanggup untuk menghanguskan segala-galanya, pada usia 11 hingga 18 tahun? Apakah yang bermain dalam otak mereka ketika memetik api untuk meletupkan gas? Apakah latar belakang keluarga mereka? Kelas ekonomi mereka? Rakan sebaya mereka? Dan yang paling seram, apakah ini kes terasing yang sudah terletup, atau satu femomena yang wujud di merata-rata, dan sedang menunggu masanya?

Tiada jawapan mudah untuk soalan-soalan di atas. Kes ini tidak melabuh tirai hanya dengan memenjarakan remaja yang terbabit. Bagaimana mereka dipengaruhi untuk melakukan jenayah ini? Sejauh manakah tanggungjawab sekolah mereka? Apakah ibu bapa mereka yang terlalu sibuk untuk menyara hidup keluarga juga patut dipersalahkan? Siapakah pula yang memiskinkan mereka? Apakah tanggungjawab penggubal dasar pula?

Setelah lebih tiga tahun tragedi ini berlaku, apakah penyelesaiannya dari struktur dan sistem masyarakat – selain perbicaraan mahkamah dan pelengkapan kemudahan keselamatan di bangunan tahfiz? Atau, apakah kita masih ingat 23 nyawa yang mati di jalan Allah, walhal mereka boleh hidup di jalan Allah? Adakah pemimpin-pemimpin yang diamanahkan tanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi berkenaan, berani mendabik dada untuk menjamin bahawa tragedi sebegini tidak akan berulang pada masa depan?

Perkembangan menggusarkan

Saya kurang pasti. Apa yang pasti, saya semakin gusar menyaksikan beberapa perkembangan kebelakangan. Dai dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rogol pada November 2020, mudir didakwa dengan pertuduhan rogol, cabul dan seks oral pada Disember 2020. Ya, mungkin imej Islam terpalit di mata mereka yang menilai Islam berdasarkan tingkah laku Muslim, namun untuk saya, tidak adil untuk mengaitkan tingkah laku individu pendakwah atau pengetua sekolah agama dengan Islam, kerana kes sedemikian boleh juga terjadi kepada agama lain.

Cuma, sekali lagi, seandainya saya seorang menteri agama, seandainya saya YDP Yadim – daripada berkumpul untuk memotong kek pulut kuning sempena hari ulang tahun ke-47 Yadim, sesuatu yang dilarang dalam SOP PKP 2.0, lebih baik saya meluangkan masa untuk mengkaji secara teliti, apakah sebenarnya yang berlaku di tanah air kita, sehingga nilai Islam dinodai muslim yang diharapkan untuk menyebarkan keindahan Islam?

Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk melihat masalah ini dalam kerangka agama mahupun kaum. Masalah yang melanda dalam kalangan dai, mudir, remaja, presiden Gamis mahupun Youtuber, adalah masalah Malaysia bersama. Untuk makluman pembaca Melayu, tatkala “babi air” menjadi kecoh di media sosial, komuniti Cina pula hangat dengan kontroversi satu video muzik berkenaan iklan pemutihan kulit yang didakwa berunsur diskriminasi. Dan jikalau kita masih ingat, Youtuber tempatan, Sugu Pavithra juga pernah berdepan dengan masalah keluarga sebelum ini. Kesemua masalah mereka, adalah masalah kita.

Justeru itu, persoalan yang harus dijawab bersama – bagaimana Malaysia menyediakan satu persekitaran ekonomi sosial yang sihat, agar mereka yang tercicir dari sistem boleh diselamatkan daripada terus menjunam? Bagaimana sistem pendidikan kita dibentuk untuk melahirkan insan yang berakal budi, berjati diri dan berintegriti? Bagaimana masyarakat kita dipupuk untuk berprihatin terhadap golongan yang terpinggir? Bagaimana masyarakat kita diasah untuk meraih penghormatan dengan sifat merendah diri, dan bukannya bermegah dengan angka klik dan like, atau kuasa dan wang? Bagaimana insan dididik untuk menyedari tanggungjawab diri terhadap keluarganya, dan juga masyarakatnya?

Hakikatnya, masyarakat kita memerlukan Kool Fever, bukan babi air.

*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (29 Januari 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/560912

Facebook Comments