Print Friendly, PDF & Email

I used to research 4-5 issues a month, these “young MPs” nowadays only take selfies ha3. (26 Disember 2020)

(Terjemahan: Saya pernah mengkaji empat hingga lima isu dalam tempoh sebulan. Ahli-ahli parlimen muda sekarang hanya mengambil gambar selfie. Hahaha.)

Ketepikan soal sama ada kita suka atau tidak perwatakan Rafizi Ramli – ciapan sinisnya ini kena pada tempatnya. Sudah tentu prestasi Rafizi tidak sempurna, tetapi agak pasti juga beliau antara ahli parlimen terbaik berbanding mereka yang sepenggal dengannya. Pembongkaran demi pembongkaran skandal sepanjang beliau aktif dalam politik, juga kemampuannya menguasai butiran terperinci isu yang didedahkannya, melayakkan bekas ahli Dewan Rakyat ini untuk melontarkan kritikan sebegini terhadap ahli parlimen sekarang.

Tidak salah untuk berswafoto, malah kita pun sedar akan keperluan seseorang wakil rakyat menampilkan diri dalam media sosial untuk membuktikan “keberadaannya”. Maklumlah, pada zaman ini, teorinya berbunyi “tiada bukti tanpa gambar”. Gambar ketika menyantuni pengundi diperlukan untuk menyanggah tuduhan “YB tidak turun padang”. Kita juga tidak mempersoalkan jikalau ahli politik terpaksa memaparkan gambar untuk membuktikan bahawa “mereka sedang berkhidmat untuk rakyat”.

Pilih wakil rakyat, bukan artis

Namun, apabila gambar selfie memperagakan diri muncul secara berlambak, ditambah dengan gambar makanan yang enak-enak dan gaya hidup yang mewah-mewah, semestinya ia mengerutkan dahi kita. Pertama, rakyat mengundi untuk memilih penggubal undang-undang, bukannya artis atau model. Kedua, sebagai seorang wakil rakyat, bukankah mereka perlu berempati, atau sekurang-kurangnya lebih peka terhadap kesempitan rakyatnya, agar tidak menonjol-nonjolkan kemewahan dirinya, tatkala ramai pengundinya terkapai-kapai dijirus arus kemelesetan ekonomi lantaran penularan wabak Covid-19?

Selalunya apabila dipersoalkan penampilan sebegini, kita akan diberi alasan bahawa ahli politik terpaksa berbuat demikian sebagai pendekatan untuk “mendampingi generasi muda”. Maka mereka yang menguasai sumber akan belanja untuk menerbitkan rakaman muzik dan video, yang kurang pasti mana lebih tinggi antara kos dengan kualitinya. Lantas kita menyaksikan bagaimana menteri besar beraksi sebagai penyanyi rap, bersama para Adun yang muda, pada Hari Malaysia 2020.

Persoalannya, apakah video muzik sebegini mencungkil kesedaran politik generasi muda? Apakah ia merungkai mana-mana permasalahan yang sedang kita hadapi, misalnya gangguan bekalan air? Apakah hasilnya memadai berbanding masa dan keringat yang dicurahkan oleh MB dan Adun yang terlibat sepanjang pembikinan dan penerbitan ini?

Atau, soalan paling realistik yang menjadi pertimbangan politikus, “Berapa undi yang mampu diraih dengan rakaman video muzik sebegini?” Secara jujur, saya tidak menghitung sebegitu, sebaliknya saya akan bertanya, “Apakah undi yang diperoleh bakal hilang jikalau tanpa video muzik tersebut?”

Bukan itu sahaja, malah kita dilambakkan dengan rakaman video yang memaparkan pelbagai gelagat wakil rakyat. Cukup menyeksakan apabila mereka yang tiada bakat berlakon di depan kamera, lagi menyeramkan apabila mereka yang tiada bakat menyanyi bernyanyi di depan mikrofon. Paling geli apabila mereka yang bergelar Yang Berhormat, menunjukkan riak muka yang aneh lagi pelik, ditambah dengan effect aplikasi, sehingga kita terpinga-pinga, apakah mereka tidak sedar bahawa “mereka mahu dilihat comel tetapi nampak bodoh”?

Politikus yang berperangai kebudak-budakan?

Fenomena sedemikian semakin parah apabila sesetengah wakil rakyat seolah-olah kehilangan diri untuk mengejar klik dan like, seperti Youtuber dan influencer yang menghasilkan konten sampah. Mereka sanggup melakukan segala yang mungkin untuk menarik perhatian umum. Mereka mula keliru antara “cara” dengan “matlamat”. Jikalau niat asalnya untuk memupuk kesedaran sivik dan politik generasi muda (matlamat) dengan menggunakan saluran media sosial (cara), kini mereka berakhir dengan menjadi sebahagian daripada kelompok ini.

Kita dikejutkan dengan perangai politikus yang beraneka ragam. Ada yang berkongsi berita palsu tanpa menyemak fakta; ada yang berpantun seolah-olah tiada cermin dalam rumahnya; ada yang di-slow-motion-kan aksi dirinya memakai kot bagai pelakon filem Hindustan; ada yang membakar belon untuk mendapatkan kesan bunyi mercun ketika menyambut Tahun Baru Cina – tanpa segan silu dikongsikan secara terbuka, seolah-olah ini lawak yang menghiburkan.

Sungguhpun sesiapa sahaja boleh berkecimpung dalam dunia politik, ia tidak bermaksud kerjaya ini tidak memerlukan “profesionalisme”. Jikalau kita meragui kepakaran seseorang doktor yang berkongsi berita palsu di media sosialnya, apakah keyakinan kita terhadap seorang pemimpin politik tidak tergoyah, jikalau beliau juga kongsi sesuatu yang tidak pasti di media sosialnya?

Malah, pernahkah pemimpin politik ini berfikir sejenak, dari sudut seorang pengundi yang waras akalnya, apakah saya akan mengundi seorang pemimpin untuk mewakili suara saya, sedangkan perangai yang ditunjukkan itu tidak lebih matang daripada seorang remaja tingkatan dua? Bukankah ini lawak yang amat memedihkan?

Hakikatnya, tahap kualiti ahli politik sebegini jauh lebih rendah daripada piawaian yang digariskan. Sama ada pemerintah mahupun pembangkang, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri adalah penggubal undang-undang. Dengan kata yang mudah, mereka sepatutnya memikirkan penyelesaian dari kerangka sistem dan struktur, bukannya sembang kosong seolah-olah dirinya berborak dengan kawan-kawan di warung mamak.

Kita wajar, dan harus menuntut sesuatu yang lebih tinggi terhadap seseorang ahli Dewan Rakyat (lebih-lebih lagi berjawatan menteri mahupun timbalan menteri), yang menikmati segala kebajikan terbaik di Malaysia. Sebaik menang dalam pilihan raya, mereka menikmati gaji lima angka, ditambah elaun, dijamin wang pencen selepas bersara, tanpa perlu melalui probation (tempoh percubaan), lantas tidak perlu confirmation, boleh memohon cuti 55 hari walaupun belum genap setahun bekerja, diutamakan untuk divaksin, dikebalkan dari kompaun, malah boleh ponteng mesyuarat seandainya takut kepada risiko jangkitan Covid-19.

Jadi, untuk apa rakyat sebagai “bos” membayar jauh lebih baik daripada kacang, namun tetap mendapat kera untuk membuat lawak di Facebook, Instagram atau Tik Tok? Untuk ucapan “Selamat Hari Raya” daripada YB-YB ketika musim perayaan?

Jikalau kita akur dan reda dengan trend sebegini, apakah kita perlu buat-buat hairan apabila parti dan politikus tidak lagi berbicara soal ideologi dan idealisme? Apakah ahli politik muda masih berdebat sama ada mereka cenderung kepada fahaman kiri atau kanan, atau mereka sekarang hanya mengambil kisah apakah mereka harus condong ke kiri atau kanan apabila berdepan dengan kamera?

Saya mungkin prejudis, atau kurang toleransi dalam isu YB mempamerkan perangai kebudak-budakan. Untuk saya, seandainya wakil rakyat menikmati tepukan dan “like” di media sosial, baik mereka mencuba nasib mereka dalam bidang hiburan. Mereka boleh mengambil gambar dengan gaya yang pelbagai, ber-TikTok sepuas-puasnya untuk memenuhi permintaan peminatnya.

Sudahlah rakyat diperbodohkan dengan propaganda, jangan lagi perbodohkan rakyat dengan video TikTok anda.

*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (edisi bahasa Melayu, 15 Mac 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/566641

Facebook Comments