Print Friendly, PDF & Email

Tanpa ilmu sosiologi, malah hanya dengan bersangka baik, kita akan terdorong untuk menggali kisah di sebalik setiap jenayah yang berlaku. Mereka yang mencuri mungkin terdesak kerana kesempitan, maka ia ada kaitannya dengan ekonomi. Mereka yang melakukan aksi lucah sehingga mencabul kehormatan orang lain, barangkali terbelenggu dengan penyakit mental, maka ia ada kaitannya dengan psikologi.

Apapun, kita perlu berhati-hati, agar kenaifan kita tidak diambil kesempatan. Ada bezanya antara mereka yang meragut beg tangan di tepi jalan untuk puluhan wang ringgit, dengan mereka yang merembat jutaan wang ringgit untuk beg tangan. Ada beza juga antara mereka yang mengalami penyakit mental sehingga berperlakuan tidak senonoh, dengan mereka yang sengaja menggunakan kuasa dan pengaruh sendiri untuk melepaskan nafsu ke atas orang lain.

Namun, persamaan yang dikongsi kedua-duanya adalah, di sebalik setiap jenayah yang berlaku, ada mangsa yang terkesan. Mereka yang diragut mungkin tercedera, atau sekurang-kurangnya, kehilangan wang tunai. Mereka yang dicabul, sudah tentu mengalami trauma, kemurungan dan sebagainya, dan boleh jadi detik hitam itu menghantui seumur hidupnya.

Justeru itu, undang-undang digariskan untuk mengurus tadbir sesebuah masyarakat. Pemangsa wajib dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, tidak lebih dan tidak kurang. Hukuman dijatuhkan dengan harapan agar pemangsa bertaubat, di samping menegakkan keadilan untuk mangsa, juga sebagai amaran kepada mereka tergerak hati untuk melakukan jenayah.

Mengapa perbicaraan dijalankan? Selain untuk membuktikan kesalahan mangsa, proses ini ditelusuri agar kita mengenal pasti punca yang menjurus kepada jenayah tersebut. Misalnya, latar belakang kehidupan penjenayah, suasana masyarakat, ataupun kepincangan dalam sistem yang diambil kesempatan untuk melakukan jenayah. Kesemua ini perlu diperbaiki, untuk mengurangkan, jikalau gagal mencegah jenayah yang sama berulang pada masa depan.

Demikianlah beberapa prinsip asas dalam soal urus tadbir sesebuah masyarakat. Kerangka ini menjawab beberapa kemusykilan masyarakat, misalnya, mengapa tidak dibunuh terus penjenayah jikalau sempat dicekup di tempat kejadian? Kerana kita ingin tahu puncanya. Membunuh terus seseorang pengganas misalnya, gagal mencegah kes pengganasan pada masa depan. Akan ada pengganas yang lain tampil sebagai pengganti, dan melakukan jenayah yang sama di tempat lain, jikalau suasana masyarakat yang sama dikekalkan untuk melahirkan pengganas. Kita mahu menyelami apa yang dilalui insan itu, sehingga dia berakhir sebagai seorang pengganas.

Kes video Chua Soi Lek

Bertitik tolak dari kerangka ini, saya cuba menerokai pendekatan yang lebih baik untuk mengendali kes gangguan seksual, yang dikaitkan dengan seorang pendakwah baru-baru ini. Tidak adil untuk kita membuat andaian sebelum polis mengumumkan hasil siasatan, malah bukan saya untuk mengambil alih peranan sebagai polis, apatah lagi hakim. Pendirian saya jelas, tugas mengumpul dan mengenalpasti kesahihan bukti harus diserahkan kepada polis, dan tugas menentukan sama ada suspek yang terbabit bersalah atau tidak, diserahkan kepada mahkamah.

Cuma saya kurang bersetuju apabila “bahan bukti” kononnya, yang berupa video, tangkapan skrin perbualan peribadi ditularkan sewenang-wenangnya di media sosial, lebih-lebih lagi, apabila ia mengandungi unsur-unsur lucah. Sudah tentu saya bukan “polis moral”, tetapi perkembangan terkini mencungkil ingatan saya terhadap kes video seks pemimpin MCA, Chua Soi Lek pada awal tahun 2008.

Ramai yang cenderung untuk mempercayai bahawa video seks itu adalah konspirasi pemimpin MCA untuk menamatkan kerjaya politik Chua sebelum PRU12, kerana Chua antara pemimpin veteran yang meraih sokongan akar umbi parti. Ketika video seks itu menjadi buah mulut ramai, seorang ahli politik non Muslim yang tidak bersetuju dengan “politik longkang” ini berkongsi pandangannya kepada saya. “Jikapun nak guna cara sedemikian (untuk menjatuhkan Chua), cukuplah dengan video itu henti pada adegan dia (Chua) mula nak tanggal baju. Kita semua cukup dewasa untuk mengetahui apa yang berlaku selanjutnya. Tak usah nak tayangkan proses itu sehingga melondehkan kesemua bahagian tubuhnya.”

Perbualan kami berlanjutan, berkongsi simpati terhadap keluarga Chua. Ahli politik ini menambah, “Andainya pendedahan video yang menelanjangkan Chua ini bukan disebabkan kecuaian teknikal, tetapi disengajakan sebegitu, ia memperlihatkan betapa kejinya dalang di sebalik tabir. Bukan sahaja dia mahu menamatkan kerjaya politik Chua, malah dia mahu mengaibkan Chua dengan menjatuhkan maruahnya.”

Keghairahan mengaibkan orang lain

Sememangnya, kes Chua Soi Lek berbeza dengan kes yang hangat ditularkan baru-baru ini, kerana daripada keterangan yang terkumpul sehingga hari ini, “mangsa” kes gangguan seks yang dikaitkan dengan pendakwah, kelihatan tidak menjangkakan apa yang berlaku terhadap dirinya. Apapun, dari segi teknikalnya, saya tidak nampak keperluan untuk mendedahkan “bahan bukti” yang mengandungi adegan lucah di media sosial, walaupun apa alasannya, sama ada untuk mendedahkan wajah sebenar si pemangsa, mahupun menggalakkan lebih ramai mangsa untuk tampil ke depan.

Jikapun itu “bahan bukti” yang terkumpul, apa salahnya jikalau ia diserah kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti kesahihannya, dan diberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara profesional? Jikapun seseorang individu terpanggil untuk menegakkan keadilan untuk mangsa, bukankah ia cukup sekadar menjadi penyelaras, tanpa perlu heboh di sina sana, dengan ramalan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam tempoh sehari dua?

Apa yang berlaku beberapa hari ini cukup membeliakkan mata saya. Jikalau apa yang dikisahkan mangsa itu benar, bukankah ia satu pengalaman yang seram dan pahit? Dan siapakah kita pula untuk menghebohkannya seolah-olah sesuatu yang dinanti-nantikan media dan orang ramai? Apakah mentaliti di sebalik kesemua ini? Dan siapakah kita pula untuk mengaibkan orang lain dengan video lucah, sebelum dia dibicarakan dan dibuktikan bersalah? Dan jikapun suspek itu bersalah akhirnya, suci sangatkah kita untuk menginjak-injak maruahnya?

Saya termenung panjang. Teringat saya istilah “hudud”, yang mencungkil saraf kebanyakan non Muslim. Sejak “hudud” diperbincangkan, saya cuba membaca dan menelaah konsep di sebaliknya. Sudah tentu saya tidak arif dalam soal Islam, tetapi saya tahu bahawa hudud padahalnya bermaksud had, atau batasan. Maka saya menafsirkannya sebagai apapun yang kita lakukan, ia ada had dan batasnya.

Dalam kes ini, bukankah keghairahan untuk mengaibkan orang lain, juga perlu dijaga batasnya? Tepuk dada tanya selera, apakah kita terlajak batasnya dalam keghairahan kita menegakkan keadilan, sehingga kita teruja untuk membuktikan diri kita di pihak yang benar dengan cara mengaibkan orang lain, sama ada sengaja atau tidak? Dan jikalau ditanya selanjutnya, siapakah diri kita untuk mengaibkan orang lain?

Jangan salah faham, saya tidak berniat sesekali untuk membela sesiapa. Cuma saya berpandangan bahawa kita perlu bersikap rasional dan adil kepada semua pihak yang terlibat dalam siri kejadian ini. Biar kita kembali kepada kerangka yang saya ketengahkan pada mukadimah tulisan ini. Kesemua suspek berhak diadili seadil-adilnya sebelum diputuskan mahkamah sama ada dia bersalah atau tidak. Pemangsa yang bersalah, harus dihukum setimpal dengan kesalahannya; mangsa yang teraniaya, harus kita hulurkan bantuan agar mereka keluar dari trauma masing-masing, selain “keadilan ditegakkan”.

Dan yang tidak kurang pentingnya, kejadian ini harus dikaji sedalam-dalamnya, apakah yang terjadi dalam sistem masyarakat kita, sehingga kes sedemikian berleluasa tanpa disedari (atau sengaja tidak sedar) masyarakat umum sebelum ini?

*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (28 September 2021): https://www.malaysiakini.com/columns/593065

Facebook Comments