Print Friendly, PDF & Email

Malaysia bakal menyambut ulangtahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019. Ramai yang menanam hasrat, tetapi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah, bagaimanapun, berlaku di luar jangkaan.

Justeru itu, kebanyakan rakyat Malaysia seakan-akan tidak bersedia untuk berdepan dengan apa yang berlaku selepas 9 Mei 2018. Sebuah masyarakat yang berbilang etnik, agama, bahasa, budaya dan sebagainya, sudah tentu memiliki imaginasi yang berbeza terhadap masa depan Malaysia selepas jatuhnya regim UMNO-BN.

Lantaran daripada itu, tidak hairan apabila PH diasak dari kiri kanan oleh kumpulan yang berbeza selepas memegang tampuk kuasa kerajaan persekutuan. Masyarakat muslim ditanam doktrin dan persepsi bahawa bumi Malaysia ini sedang didominasi Cina; sementara masyarakat non-muslim (atau Cina secara khususnya) pula bertanggapan bahawa kerajaan PH semakin cenderung ke arah perkauman (menekankan agenda Melayu dan Islam).

Hubungan kaum yang dijangka akan berdamai, kembali tegang ada kalanya. Isu seperti hina nabi berlaku, dipersepsikan sebagai “non-muslim semakin berani untuk mempersendakan agama Islam”; kemudian hukuman yang menyusul (penjara 10 tahun 10 bulan), dilihat “terlalu berat” oleh sebahagian masyarakat, lantas dipertikaikan apakah hukuman yang sama akan dijatuhkan ke atas muslim yang menghina agama lain?

Bukan isu agama sahaja, tetapi bahasa dan pendidikan. Masyarakat bukan Melayu dituduh gagal menguasai Bahasa Melayu, dan ia dipersalahkan ke atas aliran pendidikan Cina. Sementara itu, ia semestinya mengundang reaksi masyarakat Cina apabila muncul suara-suara ke arah menghapuskan sekolah aliran Cina.

Bagai main tarik tali, masyarakat Malaysia terperangkap dalam zero-sum game – kemenangan Cina disamakan sebagai kekalahan Melayu, begitu juga sebaliknya. Hakikatnya, kita telah dibuktikan berkali-kali, bahawa formula ini tidak membawa kita ke mana-mana. Sentimen sedemikian semestinya mencungkil rasa iri hati terhadap kejayaan masyarakat etnik berlainan, lantas timbul niat untuk sabotaj masing-masing. Apa yang pasti, akhirnya semua akan gagal atau digagalkan, tanpa sesiapa yang menang.

Dalam konteks ini, sebuah badan bukan kerajaan, Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA telah ditubuhkan. Antara misi yang dipikul adalah untuk membina jambatan, tatkala tembok prejudis dibina di merata-rata. Kami sedia maklum bahawa bukan mudah untuk membawa semua pihak yang diselubungi prejudis masing-masing ke satu meja, tetapi usaha ini perlu dimulakan, dari mana-mana.

Kami berbesar hati kerana ustaz Wan Ji sudi menyertai usaha kami. Kursus “Memahami Islam dan Muslim” telah dimulakan, untuk memperkenalkan latar belakang sejarah Islam, gerakan Islam, perundangan Islam, isu-isu yang berkaitan dengan Islam kepada non-muslim. Untuk menguji sejauh mana kesungguhan peserta yang mendaftarkan diri, kami mengenakan sedikit yuran pendaftaran untuk menanggung kos.

Apa yang berlaku sesungguhnya di luar dugaan kami. Kira-kira 85 orang peserta dari pelbagai latar belakang, hadir untuk kursus empat minggu berturut-turut di Kuala Lumpur, pada Januari 2019, yang sudah hampir dengan sambutan Tahun Baru Cina. Kemudian kami dihubungi NGO di Pulau Pinang, diajak untuk melanjutkan usaha ini di luar Kuala Lumpur. Bilangan pesertanya tidak seramai di Kuala Lumpur lantaran keterbatasan ruang, tetapi kualiti peserta cukup mengujakan. Bukan sahaja untuk memahami, tetapi sering mengajukan soalan apakah yang harus kita lakukan untuk memperbaiki keadaaan?

Minggu lalu, SAUDARA dijemput pula ke pantai timur semenanjung, iaitu Kuantan. Apa yang terharu buat kami semua, seorang ibu membawa anak kecilnya ke kelas, untuk mendengar sendiri apa sebenarnya tentang Islam dan muslim. Pada mulanya saya cuba menawarkan diri sebagai penterjemah, seandainya peserta Cina tidak memahami Bahasa Melayu dengan baik – rupa-rupanya saya tidak begitu diperlukan, malah mereka mengajukan soalan kepada ustaz Wan Ji dalam Bahasa Melayu yang agak lincah.

Mungkin tiba waktunya kita mengikis prejudis dalam diri kita, dengan persepsi yang dibina atas imej stereotaip. Kita ingat kita tampil untuk “mengajar” masyarakat di luar sana, tetapi ada kalanya, ada juga sesuatu yang harus kita “belajar” daripada mereka. Tidak dinafikan ramai lagi yang tebal prejudisnya ke atas komuniti yang berbeza, namun manusia yang kami jumpa sepanjang kursus-kursus ini dijalankan, memberi harapan bahawa mereka bersedia untuk reformasi sistem negara dan mentaliti masyarakat.

Facebook Comments