Cadangan pemansuhan hukuman mati mencungkil pertikaian di Malaysia, khususnya masyarakat Cina, baru-baru ini. Kebanyakannya menolak pemansuhan hukuman mati, dengan hujah bahawa “nyawa harus diganti dengan nyawa”. Pandangan sebegini diulangi dan diperkukuhkan apabila media cetak arus perdana memberi liputan luas kepada keluarga mangsa, yang sudah tentu meraih simpati ramai lantaran kehilangan orang tersayang.
Dengan kata lain, cadangan untuk memansuhkan hukuman mati oleh kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya menongkah arus dalam masyarakat. Sepertimana yang dibimbangkan, pemansuhan hukuman mati akan menjurus kepada peningkatan kes jenayah bunuh, kerana hukuman penjara seumur hidup kononnya tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi, pembayar cukai perlu menanggung kos sara hidup mereka dalam penjara.
Apapun, pertikaian ini mungkin akan reda berikutan keputusan kabinet untuk hanya memansuhkan hukuman mati mandatori, tetapi mengekalkan hukuman mati, menurut laporan eksklusif Sin Chew Daily. Pada masa yang sama, sebuah drama siri berjudul “Dunia Antara Kita” (The World Between Us) terbitan Taiwan sedang berlangsung, mengundang perbincangan hangat di laman media sosial (di kalangan kelompok berbahasa Cina) – kerana kisahnya bertemakan hukuman mati.
Jalan ceritanya bermula dari satu kes penembakan dalam panggung wayang oleh seorang pemuda berusia 20-an, yang berakhir dengan 9 mati dan 21 cedera. Watak-watak seperti keluarga si-pembunuh, peguambela pembunuh, keluarga mangsa pembunuhan, pengamal media dan sebagainya ditampilkan, dengan konflik yang tegang di antara mereka.
Antara yang menarik, dan barangkali tidak pernah terlintas dalam otak kita – keluarga si pembunuh dikecam hebat masyarakat lantaran tragedi ini. Keluarga mangsa menuntut pampasan daripada ibu bapa si pembunuh, malah ada orang yang melepaskan rasa dendam ke atas mereka dengan menyerang tempat kediaman mereka. Ibu bapa dan adik si pembunuh terpaksa menyorokkan diri dari mata masyarakat, dan hidup dalam kegelapan.
Mujur atau tidak, seorang peguam menawarkan perkhidmatan untuk membela si pembunuh. Sebagaimana yang dijangka, peguam ini juga dipandang serong kerana dianggap “membela orang yang jahat”. Namun, setiap warga diperuntukkan hak yang samarata di sisi undang-undang. Doktor tetap akan menyelamatkan nyawa seseorang mangsa kemalangan sekiranya dihantar ke wad, tidak kira dia orang baik atau tidak. Lagipun, apakah ada kayu ukur yang menjadi piawaian bersama, untuk menilai sama ada seseorang insan itu baik atau jahat?
Pembelaan untuk si-pembunuh tidak bermaksud menyokong penjenayahan yang dilakukannya. Isteri peguam itu yang sedang mengandung, antara orang yang tidak merestui keputusan suaminya. Sebagai seorang ibu (yang dibesarkan dalam keluarga yang serba ada), dia menuntut satu persekitaran yang aman dan selamat untuk anaknya. Justeru itu, untuk mereka, si pembunuh atau mereka yang berkecenderungan sedemikian harus disekat kebebasannya, agar tidak mengancam keselamatan orang lain.
Akhirnya suami itu mendedahkan mengapa dirinya memilih untuk membela “orang-orang sedemikian”. Peguambela ini berasal dari latar belakang yang serba tiada, terjerumus dalam kancah gejala sosial pada usia remajanya. Beliau terselamat kerana bernasib baik, tetapi rakan-rakannya yang tidak bernasib baik, disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Malah peguam ini memarahi isterinya, kerana hanya mampu berdepan dengan penjenayahan sedemikian dengan ketakutan, kemarahan dan dendam – memilih jalan paling singkat untuk membunuh si pembunuh – tanpa keinginan untuk menerokai apa yang berlaku terhadap pembunuh sebelum dia memilih untuk membunuh.
Persoalannya, tragedi sedemikian tidak berakhir di situ dengan membunuh si pembunuh. Seandainya kita tidak tahu punca di sebalik pembunuhan itu, maka kita tidak akan dapat penyelesaian untuk mencegahnya, atau lebih tepat, mengurangkannya. Tragedi sebegini tetap akan berulang pada masa depan, dengan pemangsa baru untuk memangsakan mangsa baru.
Berbalik kepada watak keluarga si pembunuh, ibu bapa yang dipersalahkan masyarakat umum – mengakui kesalahan tetapi tidak tahu di manakah salah mereka. Mereka sibuk dengan kerja untuk menampung kos sara hidup, di samping memberi ruang peribadi kepada anak-anak mereka yang sedang mendewasa. Mereka juga tertanya-tanya mengapa anak mereka menjadi sebegitu. “Tiada ibu bapa di dunia ini yang sanggup membesarkan anaknya untuk tempoh 20 tahun, semata-mata untuk menjadi seorang pembunuh!”
Luahan ini menusuk hati penonton. Pengarah cuba menampilkan latar belakang setiap watak, mengajak penonton untuk menilai sesuatu dari sudut yang berlainan, cuba memahami apa yang berlaku di dunia yang berbeza dengan kita. Pengarah drama ini tidak terburu-buru untuk membuat penilaian, sebaliknya mencungkil renungan bersama – Kebanyakan kita mahu menjadi insan yang baik, tetapi kita tidak tahu di manakah puncanya yang menyebabkan tragedi berlaku.
Lebih-lebih lagi, sikap kita yang mahu menegakkan keadilan, ada kalanya memangsakan orang lain, misalnya komen kita di sosial media, yang kebanyakan masanya, tidak membawa kebaikan atau impak yang membina untuk masyarakat. Tanpa kita sedari, kita sedang menerakakan dunia ini dengan niat kita untuk menempah tiket di syurga. Sesungguhnya, masyarakat kita perlu bermuhasabah diri.
Gambar dari laman: https://www.facebook.com/theworldbetweenus2019/photos/p.2195226894140086/2195226894140086/?type=1&theater
Facebook Comments