Print Friendly, PDF & Email

Hukuman penjara satu tahun yang dijatuhkan ke atas Wan Ji mencungkil semula perdebatan tentang Akta Hasutan 1948. Sementara kerajaan Pakatan Harapan yang menjanjikan pemansuhan Akta Hasutan dalam manifesto PRU14-nya dikecam lantaran lambat bertindak untuk menepati janjinya, terdapat juga kumpulan manusia yang mendesak agar Akta Hasutan dikekalkan.

Sememangnya ia sesuatu yang lumrah tatkala Malaysia berada di peringkat peralihan, dari sebuah negara yang authoritarian ke arah sebuah negara yang lebih demokratik. Kumpulan reformis menuntut agar masyarakat ini dibebaskan dari cengkaman kuasa, diberi hak dan kebebasan yang lebih untuk menyuarakan pandangan, lantas mengambil bahagian dalam proses melakarkan masa depan Malaysia.

Di samping itu, tuntutan ini mengaduk kegusaran segolongan manusia yang khuatir seandainya beberapa tunggak asas negara tergugat, jikalau kebebasan bersuara yang diperuntukkan itu dipergunakan untuk mempertikaikan kewibawaan institusi yang sedia ada. Tarik tali antara dua kumpulan ini akan menentukan sejauh manakah perubahan yang mengambil tempat.

Kegusaran ini bukan tidak berasas sepenuhnya, dan harus dirungkaikan sebaik mungkin. Namun saya terganggu sedikit melihat reaksi ke atas apa yang menimpa Wan Ji pada 9 Julai 2019. Komen-komen yang dilontarkan di media sosial agak kasar, tidak mengambil kira kerumitan isu yang sedia ada, malah lebih kepada tindak tanduk untuk melepaskan rasa geram semata-mata.

Pertama, menyatakan pandangan untuk tidak bersetuju dengan hukuman ke atas Wan Ji tidak boleh disamakan dengan “menghina mahkamah”. Andainya kedua-duanya disamakan, maka semua peguambela yang merayu ke atas keputusan mahkamah akan disamakan dengan “menghina mahkamah”. Sudah tentu tidak masuk akal jikalau perundangan memperuntukkan saluran “merayu” ini untuk menghina mahkamah, bukan?

Kedua, menyatakan solidariti bersama Wan Ji tidak semestinya membawa makna bersetuju dengan apa yang dilakukan Wan Ji. Dalam kes ini, mungkin ramai yang tidak merestui pandangan Wan Ji, atau gaya bahasa Wan Ji ketika melontarkan pandangannya terhadap institusi raja, namun pada masa yang sama, mereka juga tidak bersetuju jikalau Wan Ji “terlebih dihukum”.

Lebih-lebih lagi, jikalau isu ini diteliti dalam konteks desakan untuk memansuhkan Akta Hasutan. Hakikatnya, “hasutan” hanya akan berjaya dalam sesebuah masyarakat yang gagal berfikir secara rasional. Ketidakupayaan membezakan antara yang benar dengan yang salah memberi ruang sebesar-besarnya kepada penghasut untuk mengapi-apikan sentimen dan emosi masyarakat. Jadi, penawarnya adalah untuk membina sebuah masyarakat yang mampu berfikir secara berdikari. Persoalannya, bagaimana sesebuah masyarakat boleh diasuh untuk berfikir secara berdikari, seandainya penguasa sahaja yang boleh menentukan apa itu benar dan apa itu salah?

Tetapi, bagaimana pula dengan kewibawaan institusi negara, yang sudah tentu akan dinodai dengan tohmahan yang tidak berasas? Pertama, kewibawaan sesebuah institusi dibina melalui integritinya, kecekapannya, keadilannya, malah jiwa besarnya. Kedua, tohmahan yang tidak berasas gagal memalit imej sesebuah institusi seandainya sesebuah masyarakat itu mampu membezakan antara tuduhan yang berasas dengan tuduhan yang tidak berasas.

Nampak? Ia bagai debat “ayam atau telur duluan”. Yang jelas, kita memerlukan satu persekitaran yang sihat untuk perbincangan, budaya untuk berfikir secara berdikari, dan sikap rasional ketika berhujah. Soalan yang paling kerap diketengahkan, apakah kita bersedia? Sesebuah masyarakat tidak akan boleh bersedia untuk kebebasan bersuara selama-lamanya jikalau tidak didedahkan persekitaran sebegitu. Manusia terpaksa menerjun ke dalam kolam untuk belajar sebelum pandai berenang, bukan?

Jadi, isu ini sepatutnya mengajar kita untuk memperincikan pendekatan dan kaedah masyarakat Malaysia mengendalikan kebebasan bersuara. Sudah tentu Wan Ji perlu bertanggungjawab ke atas hujahnya, tetapi beliau tetap memiliki hak untuk membela dirinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam perundangan.

Apapun, saya agak terkejut dengan sumpah dan tohmah yang dilemparkan ke atas Wan Ji dalam Facebook. Ada yang menuntut Wan Ji dipenjara seumur hidup, disebat malah dipenggal kepalanya. Saya tertanya-tanya, apa yang dendam sangat dengan Wan Ji, sehingga sesetengah netizen gagal menyampaikan pandangan dengan baik? Apakah dengan memakinya kita menjadi lebih suci?

Pernahkan terlintas dalam otak netizen-netizen ini, ketika mereka menaip komen dengan jarinya – bahawa semua yang ditulis, mungkin ditatapi oleh isterinya, anaknya, ibu bapanya, adik-beradiknya yang sedang diselubungi kebimbangan dan kesedihan apabila orang tersayang mereka dipenjarakan? Di manakah empati, belas kasihan, perikemanusiaan kita, tatkala kita mengutuk mereka yang kita labelkan sebagai pengkhianat, penderhaka, petualang dan sebagainya?

*Disiarkan di akhbar Amanah, Julai 2019.

Facebook Comments